Sunday, October 9, 2011

ARAH SUJUD

JAM 0730. Tia menyudahkan kerja-kerja mengajar dengan pantas. Anak didknya juga melihatkan kegelisahan ibu saudaranya, dengan segera menyelesaikan kerja yang diberikan. Walau demikian, Tia tetap mengambil serius tentang apa yang sedang dilakukan oleh anak saudaranya.

Sesekali dia mengintai jam yang digantung di sudut pojok rumah itu. Tidak cukup dengan itu, Tia menyelak pula jam tangan di balik lengan bajunya. Sah jam menunjukkan 0730. Serba salah mengantikan kegelisahan tadi.

Jika mahu pulang dari rumah abangnya ini, tentu dia tidak sempat untuk menunaikan solat Maghrib. Rumahnya, walaupun terletak di dalam pulau yang sama, tetapi ia bertentangan dengan kawasan rumah itu. Pernah sekali dia kehilangan waktu solat kerana tidak singgah di mana-mana untuk melangsaikan hutang insani tersebut.

Dalam keserbasalahannya, dia terpandang pembantu rumah abangnya. Di waktu itu, cuma mereka bertiga sahaja di dalam rumah. Jemalanya bergerak pantas, namun segera hatinya berbelah bagi. Pembantu rumah itu pula apabila dipandang, segera dia memaling muka. Mafhumlah dirinya bahawa matanya telah dibaca dengan baik oleh wanita genit itu.

Harus bagaimana dia memulakannya? Dia mahu benar mengimarahkan kediaman itu dengan bacaan ayat suci. Namun untuk memulakannya, dia sangat teragak-agak. Ini kerana dia kenal benar dengan abangnya. Personaliti abangnya yang tidak memberatkan agama sedikit sebanyak menganggu hidup orang lain. Malangnya, orang lain itu termasuk dirinya.

Ah! Inilah buktinya. Kini dia teragak-agak untuk menunaikan ibadah yang menjadi tunggak keimanan seorang muslim. Lalu bagaimana harus diselesaikan masalah ini? Maka dengan berat hati dia membuka mulut, “Kakak,” panggilan itu merujuk kepada pembantu rumah yang cuba bersembunyi itu. “Tia mahu tumpang untuk bersolat maghrib.”

Kakak terkedu. “Tia ambil wuduk dahulu ya. Biar kakak siapkan kelengkapan solat.” Lalu dia pun berlalu pergi.

Terselit rasa lega kerana kakak nampaknya tidak punya masalah untuk membantunya. Segeralah Tia berlalu mencari kamar kecil untuk mengangkat air sembahyang. Keluar sahaja dari kamar itu, matanya terpandang kakak di luar salah sebuah kamar kondominium itu. Kakak tersenyum dan mempersilakannya masuk.

Bilik tidur yang merupakan tempat rehat anak saudaranya begitu manis. Hiasan dan warna dindingnya menepati ciri-ciri seorang kanak-kanak perempuan. Namun jauh di sudut hatinya, Tia tidak begitu menyenangi beberapa anak patung yang diletakkan di dalam almari kaca di dalam bilik tersebut. Jelas sekali mainan itu bukan dimanfaatkan sebagaimana sifatnya melainkan sebagai hiasan semata-mata.

Pada mulanya, Tia agak keberatan untuk bersolat di tempat sebegitu. Namun setelah difikirkan bahawa dirinya hanya menumpang, dia terpaksa akur.

Dia dengan pantas mencapai kain telekung, bersedia untuk bertemu Ilahi. Kakak yang tadinya mengiring, tergesa-gesa pula keluar dari kamar tersebut. “Kakak!” Panggilan Tia menghentikan langkah pembantu rumah itu.

Sebenarnya Tia masih tidak mengerti sebab kakak berlalu dengan pantas, seolah-olah melarikan diri dari sesuatu. Adakah dia takutkan Tia? Namun mengapa pula? Apabila menoleh untuk menjawab panggilan Tia, kakak masih kelihatan gelisah. Semakin terpingga-pingga Tia dibuatnya.

“Kakak, sebelum kakak keluar, Tia hendak tanya tentang arah kiblat.” Hanya soalan itu sahaja yang mahu diajukan. Ini kerana kakak hanya meninggalkannya dengan kain telekung, sedangkan kiblat yang menjadi syarat solat yang sah tidak disertakan. Kakak terdiam dan tertunduk. Tia semakin binggung.

“Kakak tidak tahu arah kiblat, Tia.” Tia agak keliru pada saat itu. Apa sebenarnya maksud kakak? Tidak tahu adakah bermaksud tidak faham erti frasa tersebut? Namun kakak beragama Islam. Hal itu tidak mungkin terjadi.



Serentak itu juga Tia terpana. Tidak tahu arah kiblat adakah bermaksud, dia tidak mengetahui kedudukan kiblat di dalam rumah ini? Aduh! Dia benar-benar terkelu. Tidak mengetahui arah kiblat menyebabkan seorang muslim itu tidak mendapat solat yang diterima Tuhan. Lalu bagaimana dengan solat ahli bait ini?

Sanubari Tia terlalu berkocak keras. Adakah segalanya bermakna bahawa keluarga abangnya ini tidak pernah bersolat? Air di matanya terasa mahu berlinang. Mengapa hingga begini sekali nasib keluarga ini? Hanya kerana mengejar kemewahan dunia, maka hukum Tuhan yang paling utama dikecualikan? Sungguh Tia teramat kecewa.

Walaupun berat jiwanya, digagahi juga mulutnya untuk bersuara. “Kakak,” mulanya kali ini terlalu tenang. Malah ini adalah sandiwara yang paling berat untuknya. “Arah kiblat seorang muslim harus dipastikan melalui kompas. Kakak punya kompas?” Wanita Indonesia itu benar-benar kelihatan keliru, seolah-olah anak muridnya yang tidak mengerti ilmu matematik yang diperturunkan.

Sekali lagi Tia mengambil nafas dalam-dalam, nafas bertenang campur geram. “Kakak, kalau tiada kompas, kakak tahu arah matahari terbenam?” Kakak itu serba salah tetapi jari telunjuknya disuakan kepada pojok kamar tersebut. “Kakak pasti?” Pertanyaan Tia ini direspon dengan sebuah anggukan.

Tia tersenyum lantas mengucapkan terima kasih. Setelah kakak berlalu, Tia yang ditinggalkan menghempaskan punggung di atas katil empuk anak saudaranya. Airmatanya mengalir juga walaupun tidak sederas arus hampa di hati. Tia benar-benar kecewa, malah lebih kecewa dari perkataan ‘kecewa’.

Benarlah dia tidak punya hak untuk menghukum sesiapa. Namun bagaimana pula nasib abangnya di akhirat kelak. Telekung yang dipakai di badan juga terasa baru, seingatnya itu adalah hadiah hari perkahwinan daripada ibunya buat abang. Jika wanita mulia itu tahu kedudukan hadiahnya yang paling istimewa, pasti ibu benar-benar kecewa. Tunjuk ajar agama yang dikongsikan bersama salah seorang anaknya hilang begitu sahaja.

Simpati ditumpahkan lagi buat abangnya. Bagaimana nasibnya kelak jika berhadapan yang maha Esa? Berat sudah tanggungan dosa pahala sendiri, inikan pula ditambah lagi dengan kepunyaan ahli keluarganya. Ah! Tidak dikira pula dosa membiarkan pekerjanya yang juga di dalam dosa. Aduh!

Sambil bertasbih, Tia mencari kewarasan akal untuk membantu keluarga malang ini. Betapa sedihnya kerana di dalam kemewahan harta dunia, seseorang juga mampu digulung kedaifan harta akhirat. Bagi Tia, semakin lama dia di dalam rumah itu, semakin kecewa menghimpit nubarinya. Maka dengan segera dilunaskan hutangnya pada Yang Maha Kuasa.

Malangnya, solat yang dikerjakan sekadar gumaman bacaan. Ini kerana fikirannya terlalu jauh melayang. Namun segera dipujuk hati yang walang. Tidak mungkin dia membodohkan diri untuk memikirkan hal orang lain. Biar pahala ibunya terus disemai melalui amalan agamanya memandangkan abangnya sudah jelas menghampakan seisi keluarga.

Dengan bacaan fatihah seusai wirid, Tia berdoa. Harapannya tinggi: semoga bacaan ayat-ayat suci daripadanya kekal dan tetap bergema di dalam rumah itu. Mudah-mudahan.

*cerpen ini disiarkan di Berita Harian, Singapura pada Oktober 2011*

Saturday, October 8, 2011

PEWARIS MANDALA MEWANGI

SUDAH lama merpati putih itu tidak dilepas pergi. Namun kelam malam itu mendorong Raja Rukfas Olya untuk membiarkan merpatinya berkelana lagi. Tidak dikirim pada siapa warkah dituju, tidak dibisik juga hala sang merpati. Ah! Si putih itu sudah mengerti. Sememangnya ia menjadi tugas unggas suci itu di kala kecamuk bersarang di nubari Raja Rukfas Olya.

Kecamuk jiwanya datang dan pergi. Bagaimana masalah ini harus diselesaikan? Mahu diminta pendapat para jemaah menteri, ternyata tanggungannya melampaui hemah para memanda. Di kamar pustaka dalam mahligai hinggapnya yang diisi penuh dengan kitab-kitab lama, dirasakan sedang memujuk beliau untuk tidak berdukacita. Raja Rukfas Olya mundar-mandir di bahagian ruangan kecil di pojok kamar tersebut. Tiada berselera mahu bersantap aksara pada kitab-kitab di hening malam tersebut. Bingung dirinya serasa mahu dijerit agar terlepas pergi.

Sedang kakinya tidak pernah letih dari pekerjaan tiada bermusabab itu, mata memanah sebuah kitab usang yang terduduk kemas, di atas sebuah rehal emas. Kitab itu sudah berdarsawarsa lamanya menjadi pedoman sekalian raja-raja di mahligai tersebut, tidak terkecuali Raja Rukfas Olya juga. Ia memang agung sifatnya. Maka kerana keagungannya, ia kini menjadi beban di atas jemala raja negeri Mandala Mewangi itu.

Taj as-Salatin. Sebuah kitab yang menjadi kemegahan para pewaris takhta kerajaan Mandala Mewangi. Kemakmuran pemerintahan raja-raja terdahulu saksi kepada kebenaran kitab ulung tersebut. Pengajarannya berhaluan. Sayang nasihat-nasihatnya menyepit ruang pilihan seorang ayahanda. Terngiang-ngiang bait-bait qit’ah daripada kitab tersebut yang sering dibacakan oleh permaisurinya:
Yang adil itu umpama matahari adanya
Dan yang zalim itu maklumkan adanya daripada kehinaan dirinya juga,
Maka pada tiap-tiap hari akan menambah kehinaan dirinya
Dan menambah kerugian dirinya jua adanya.

Keadilan dan seorang raja. Ibarat suatu kelahiran berkembar. Keadilan juga menjadi pokok intipati Taj as-Salatin. Keadilan juga menjadi akar yang utuh bagi setiap pemerintahan raja–raja yang terdahulu di Mandala Mewangi. Keadilan bukan sahaja disalurkan kepada rakyat, malah ahli keluarga juga termasuk anak-anak raja di mahligai tersebut.

Iya… itu yang menjadi musykil pada Raja Rukfas Olya. Keadilan di antara putera dan puteri cintanya. Begitu juga himpitan ajaran Taj al-Salatin yang memeras keadilan dari dalam dirinya. Mahu sahaja dimungkiri kesetiaan keluarganya terhadap kitab itu. Akan tetapi, bagaimana? Jika jalan itu yang dipilih, pasti buruk padahnya, bakal sejuta kawi bisa menimpa.

Seluruh tetangga Mandala Mewangi pasti mengambil kesempatan jika disangka negeri itu mulai kendur pentadbirannya. Rakyat pasti kehilangan rasa percaya kepada raja, yang selama ini berdarah daging dalam diri mereka. Maka tiada pilihan yang lain bagi Raja Rufkas Olya walau tersemat di dadanya rasa bersalah yang hebat.

Qiafah dan firasah. Lenggok tulisan Bukhari al-Jauhari mengenai hal ini pada fasal ke lapan belas dan sembilan belas dalam kitab tersebut telah diulit semalaman. Ada ilmu yang cuba diamalkan oleh Raja Rukfas Olya. Namun prasyarat yang dikemukakan di dalam fasal tersebut sangat melemahkan semangat kepimpinannya, sekaligus menggetarkan pegangan keadilannya.

Walhal sudah disepakati bahawa Putera Biltaz Runi bakal menduduki takhta setelah kewafatan dirinya. Namun qiafah dan firasah yang diajarkan oleh kitab ulung tersebut menyatakan sesuatu petanda yang buruk! Walau masih awal untuk perkara ini dibahaskan, ternyata penangguhan perbicaraannya mengundang gundah di dalam diri Raja Rukfas Olya.

Dari paras dan cara puteranya, menurut kitab Taj as-Salatin, pemuda itu tidak pantas menduduki takhta. Pancapersada itu perlukan seorang imam yang mempunyai keperibadian yang indah. Tidak dikatakan bahawa puteranya itu nihil istimewanya, namun mungkin benar tunjuk ajar dari kitab pegangan raja-raja Mandala Mewangi.

Dari segi qiafah, kepala Putera Biltaz Runi yang kecil menandakan kurang budi dan bicara. Adapun matanya yang terlalu biru, yang menjadi pujaan bondanya sejak putera itu kecil lagi, menandakan kecelaan yang bakal menimpa pada dirinya. Putera Mandala Mewangi itu juga punya dada yang bidang. Walau dari hemah para memanda menteri bahawa itu menambahkan keindahan dari susuk tubuh puteranya itu, namun menurut kitab agam tersebut, itu adalah tanda alpa dan malas.

Iya… bagaimana Raja Rukfas Olya mampu menyerahkan tampuk pemerintahannya kepada seorang raja yang dari awalnya sudah terserlah kekurangannya? Sekian sahaja fikirannya mengenai putera kasihnya, muncul Permaisuri Chempaka Sri bersama seorang mandera perwara di kamar pustaka. Permaisuri membaling senyum lalu membisikkan sesuatu pada dayang yang menemaninya dan akhirnya mereka dibiar berdua di kamar tersebut.

Permaisuri Chempaka Sri berlalu, berarah kepada kekanda imamnya. “Mengapa kekanda bermuram durja seusai berbicara bersama jemaah menteri tadi? Ada sesuatu yang memusykilkan kekanda, bukan? Sabdakanlah kepada adinda agar penawarnya mudah disegera.” Rautnya bertindih ayu bersama selendang sutera yang lembut diusik bayu degil menyisip lewat jendela kamar tersebut. Hal itu diperhatikan oleh Raja Rukfas Olya. Begitu indah kiranya permaisuri istana itu.

Mahu dikhabarkan gulana hati pada wanita di hadapannya itu. Entah mengapa, diusir sahaja niatnya itu pergi. Tidak mahu dibiarkan wanita suci itu juga berdurja dengan masalah yang melanda pemerintahan Mandala Mewangi. Aduh… ternyata masalah itu terlalu berat itu dipikul sendirian. Mahu ditumpahkan air jernih dari kelopak mata, namun ditahan erat agar jangan sampai tertitis.

Permasuri Chempaka Sri menangkap murung dari wajah raja sukmanya. Masalah yang dikunci kelihatan mahu sahaja tersembur keluar, namun wanita itu pasti ianya dibendung kemas oleh jiwa raja itu. Perlahan, ia tahu membujuk lelaki itu. “Kekanda kekasih, sampai bilakah kekanda mahu berdiam diri? Laksana pawana yang menderu, akan adinda segera berkirim kesatria untuk mencari penawar walangnya. Tetapi… kisahkanlah dengan jelas, wahai kekanda Raja Rukfas Olya.”

“Adinda…” mula Raja Rukfas Olya agak bergetar nadanya. “Maafkan kekanda kerana merungsingkan adinda. Walang ini tiada ubatnya. Adalah puncanya daripada kitab pedoman raja-raja juga iaitu kitab Taj as-Salatin juga. Adinda tahu bukan, kitab itu menjadi panduan kerajaan Mandala Mewangi sejak bertahun-tahun lamanya? Kali ini senjata kerajaan negeri itu terasa sedang memakan diri ini. Keadilan kekanda menjadi taruhan. Bagaimana harus kekanda tabalkan Putera Biltaz Runi sebagai peneraju tampuk pemerintahan setelah kekanda? Tidakkah adinda sedar bahawa qiafahnya bertentangan dengan ajaran kitab pedoman itu?”

Permaisuri cinta itu beribtisam. Halus tambah murni dengan kulitnya yang putih mulus. “Apakah itu yang berdiam di jemala kekanda selama ini?” Raja Rukfas Olya semakin bermusykil. Bukan sahaja itu yang difikirkan, dari segi firasah juga, anakandanya itu punya kemiskinan. Ilmu memanahnya masih lemah, petanda perlindungannya pada negeri juga tidak kuat. Semakin dihalusi, semakin azmat rawan hatinya.

“Kekanda, mengapa kekanda masih berpegang pada adat lama? Qiafah dan firasah tidak mampu diamalkan lagi sekarang ini. Jika kerana wajahnya yang tidak menepati ciri adat lama itu, buruk sungguhkah petandanya?” Jeda. “Baiklah. Adinda mengerti. Memandangkan Putera Biltaz Runi masih hijau usianya, mengapa tidak diangkat Puteri Alwinda Mea, anakanda sulung kita sahaja sebagai pewaris takhta? Selesai bukan pada musykilnya?”

Raja Rukfas Olya bangun sejak dari tadi berkabung di sisi jendela berbingkai perak. Jubah baldunya menyapu kembali marmar kamar pustaka tersebut. Permaisuri Chempaka Sri membiarkan rajanya melayan pendapat yang baru dikemukakan. Kelihatan suaranya diserap dalam-dalam. Adakala fikirannya diterima pakai juga oleh raja Mendala Mewangi itu.

“Adinda asmara dewi, tidakkah adinda mengerti? Ilmu itu mampu diamali pada bila-bila masa pun adinda. Daripada zaman Nabi Sulaiman alaihi salam sehingga kepada zaman hayatnya Imam Syafie. Kitab itu mulia sifatnya. Jelas pula pada fasal kelima dibicarakan tentang syarat utama seorang pemimpin negara adalah laki-laki, bukan perempuan. Mana mungkin kekanda rela membiarkan diri ini disebut-sebut orang sebagai ‘orang yang bebal’? Adinda maklum bukan bahawa raja yang adil itu lawannya raja yang bebal. Bukan sahaja itu melanggar adat, malah ia mencemar keturunan pemerintah Mandala Mewangi.”

Kitab Taj as-Salatin yang sudah lama diperhati, diambil dengan molek oleh Permaisuri Chempaka Sri. Dibukanya fasal kelima pada menyatakan peri pangkat kerajaan dan hukumat dan Sultan dan sebagainya. Benar pada kata Raja Rukfas Olya. Orang yang mampu diperakui kesultanannya hanya jika dia adalah seorang lelaki, bukan wanita. Bermula dengan segala hal yang disabitkan pada wanita itu adalah aurat dan tidak mampu berhadapan dengan jemaah menteri yang pastinya dari laki-laki belaka. Wanita tempatnya di belakang tirai, kurang budinya dan itu tidak layak menjadi seorang raja. Malah kesucian agama Islam sendiri mengisbatkan bahawa raja adalah imam. Maka imam itu haruslah seorang lelaki sehingga tidak dapat imam itu dijadikan pada antara segala perempuan.

Sekali lagi, Permaisuri Chempaka Sri membuang senyum. Perkara itu yang menjerut sukma Raja Rukfas Olya. Ibtisam permaisurinya tidak pernah lekang dari bibir merah itu, walau dalam genting mana masalahnya. Sedang Raja Rukfas Olya terlalu bingung memikirkan sempitnya ruang pilihan miliknya.

Lamunan raja itu terhenti ketika Permaisuri Chempaka Sri menutup kitab itu dengan kerasnya. “Ampun beribu ampun, sembah patik harap diampun. Bukankah tuanku seorang raja yang adil lagi bijaksana di Mandala Mewangi ini? Kitab ini menjadi saksi ketinggian ilmu tuanku. Hanya kerana masalah sekecil ini, tuanku sudah bermuram durja hingga memusykilkan seluruh isi istana? Masalah enteng ini mampu kita selesaikan malam ini juga, wahai raja kerajaan Mandala Mewangi.”

“Aduhai kencana sari, sabdakan penawar tirani yang menyeksa diriku ini. Sudah tidak mampu lagi kekanda menahan panahan sembrani ini. Jelaskan adindaku, jelaskan dengan segera!” Desakan Raja Rukfas Olya disambut senyuman Permaisuri Chempaka Suri sebelum memulakan sabdanya. “Kekanda terlalu bergantung kepada kitab usang ini.”

Jeda antara mereka. “Maafkan adinda wahai kekanda kerana menggunakan kata yang tidak sepatutnya dituturkan kepada kitab yang menjadi sanjungan kerajaan ini. Namun tidak pernahkah kekanda menelaah kitab Bustan as-Salatin? Pada kerajaan ayahanda di negara Dikra Kurnia, kitab tersebut menjadi telaahan setiap puteri istana termasuk adinda sendiri. Kitab tersebut mengangkat kedudukan setiap ratu yang memerintah sesebuah negara, terutamanya Ratu Safiatuddin Taj al-Alam, permaisuri kepada Iskandar Thani. Kerajaannya di Acheh yang makmur menandakan duduk ilmu itu lebih mulia daripada siapa gerangan rajanya. Tidak mahukah kekanda melihat nuansa Ratu Acheh itu yang dihormati oleh setiap manusia di pelusuk nusantara sampai ke negara Benggali Putih, India dan Arab tertumpah pada raut Puteri Alwinda Mea?”

Raja Rukfas Olya masih membisu. Setiap ayapan ilmu yang baru diterima, dicerna perlahan-lahan ke dalam batu jemalanya. Melihatkan beban suaminya sudah mulai meringan, Permaisuri Chempaka Sri menyambung hujahnya, “Atau setidak-tidaknya, tidak mahukah kekanda melihat cahaya citra Saidatina Khadijah bersinar di wajah puteri cinta kekanda? Isteri Rasulullah yang paling dicintai baginda itu merupakan seorang wanita yang berpengaruh disebabkan kekayaan dan kecerdasannya di kalangan bangsa Arab pada zamannya. Masih tidak adilkah kekanda jika mengangkat seorang wanita yang mulia kerana ilmunya sebagai pemimpin negara?”

Raja Rukfas Olya terkesima dengan titah permaisurinya. Tidak pernah difikir sebegitu mendalam mengenai hal demikian. Walaupun dirinya mahukan pewaris takhta laki-laki yang terhormat, tidak salahnya jika dipilih dari kalangan perempuan yang indah juga disifatnya.

“Maafkan kekanda wahai permaisuriku Chempaka Sri. Khilaf kekanda terlalu azmat sebentar tadi. Baru kini kekanda menyedari bahawa keadilan bukan sahaja berpihak pada kekanda sahaja, bahkan keadilan terhadap rakyat adalah yang paling utama. Rakyat berhak memiliki seorang pemimpin yang bijaksana, sedangkan ilmu Putera Biltaz Runi belum mampu mentadbir negeri. Biar Puteri Alwinda Mea yang sudah jauh berguru sahaja melaksanakan tugas berat ini.”

Sekian kali, Permaisuri Chempaka Sri menghadiahkan senyum. “Lalu di manakah letaknya keadilan kekanda sebagai raja Mandala Mewangi yang berpandukan kitab Taj as-Salatin?” Senyuman mula menguntum di wajah Raja Rukfas Olya yang sejak semalaman berfikir tanpa henti. Maka dijawabnya, “Keadilan kekanda adalah untuk memberikan rakyat seorang pemimpin yang berwibawa dan adil, bukan seorang raja yang dipaksa-paksa dan bebal.”
[Qiafah merujuk kepada ilmu mengenai segala tanda yang ada pada sesuatu anggota badan manusia. Sementara firasah pula merujuk kepada ilmu mengenai segala kelakuan sesuatu anggota manusia yang dengan itu perasaan budi dan bicara sampai akan sesuatu erti yang tersembunyi.]



*cerpen ini disiarkan di Berita Harian Singapura pada Ogos 2010 dan di Tunas Cipta Malaysia pada September 2010

Friday, September 30, 2011

SUATU PENERBANGAN



“HAN, saya tunggu awak bawah blok ya? Lagi lima minit” aku habiskan perbualan di telefon dengan teman lelakiku dengan amat mudah sekali. Yang terdengar dari hujung talian, dia berkata ‘iya’ lalu meletakkan telefon. Sehari sudah tiba di tanah tumpah darah, aku seperti terlalu rindu. Tentu bermacam perkara yang telah terjadi yang tidak diketahui.

“Tia..” terdengar suara ibu memanggil namaku dari arah dapur. Rumah flat tiga bilik ini bergema sebentar dengan suara ibu yang nyaring, apatah lagi pada waktu hari belum tinggi.

“Kenapa mother?” aku menyahut setelah keluar dari bilik tidur, bilik yang dikongsi bersama kakak yang pada masa ini lagi di Malaysia. Seronok pula bila menggunakan bilik itu seorang diri. Terasa lapang dan nyamannya tanpa dia yang selalu menghafal nota-nota pelajaran berbahasa Arabnya. Bukan aku tidak menghormati bahasa al-Quran, cuma bosan apabila setiap kali dia membuka mulut, tiada satu pun kata yang dapat diproses di dalam otakku.

Ibu aku lihat sedang memotong taufu. Mungkin lontong menjadi menu pada hari ini. Timbul pula rasa bersalah kerana niat ingin keluar bersama dengan Raihan. Tentu lontong yang dibikinnya tidak luak. Apa tidaknya, yang makan di rumah itu hanya ibu, abah dan aku.

“Tia hendak keluar?” ibu semakin membuatku tambah rasa bersalah. Pasti dia kesal jika tidak makan masakannya yang dibikin banyak, khas buatku yang baru pulang dari Perth. Ah.. aku sudah pun bersiap. Lagipun, telah dikhabarkan padanya dari semalam. Dia tentu sudah maklum. “Iya, hendak keluar dengan Han. Mother mahu kirim apa-apa?”

Mother. Itu panggilan manjaku padanya. Sejak dari bangku sekolah, aku melihat teman-teman berbangsa Cina sering memanggil ibu mereka ‘mother’. Pelik bunyinya tetapi itulah realiti. Hingga hari ini masih ramai lagi anak Cina memanggil ibu mereka dengan gelaran ‘mother’. Aku terpengaruh dengan budaya di sekeliling. Itulah manusia. Kuat terpengaruh.

“Nak kirim apa ya? Tidak lah. Mother masak lontong. Kalau boleh, Tia ajak Han datang ya? Mother masak banyak.” aku hanya menganggguk. Kemudian diambil tangannya lalu menciumnya, sesuatu perkara yang aku jarang lakukan pada masa kini. Maklumlah, diri ini belajar di Curtin University, dia pula di Bedok, Singapura. Terasa tandusnya aku melahirkan rasa kasih sayang pada ibu sekarang ini.

“Eh.. Tia. Kalau Tia hendak jalan-jalan dengan Han, Tia ajaklah Han pergi ‘Singapore flyer’. Seronok tetapi mahal memang lah. Tia bukankah sudah lama dilamun kerinduan pada Singapura? Kalau naik ‘Singapore flyer’, boleh lihat kota Singa, Malaysia dan Batam. Pergi lah Tia. Nanti pulang ceritakan pada mother.”

Aku hanya mampu tersenyum sambil melangkah keluar rumah. ‘Singapore flyer’?! Manakan mahu Raihan diajak menaikinya. Malah bila ditarik menaiki ‘The Eyes on Malaysia’ pada awal tahun ini, dia bersungguh menolak. Aku faham. Dia terlalu gayat. Malah jarang sekali hendak naik ke rumahku yang berada di tingkat 14. Katanya teramat tinggi.

Sewaktu menunggu Han di bawah blok, aku merenung lagi kata-kata ibu. ‘Singapore flyer’; boleh lihat seluruh kota Singa, sedikit Malaysia (mungkin hanya Johor sahaja) dan pulau Batam. Dari ayat yang diutarakan oleh ibu, aku teringat tentang artikel suratkhabar yang pernah dibaca sebelum berangkat ke Australia. Jika tidak silap aku, itu juga yang ditulisnya. Sama sekali. Ibu itu menghafal barangkali.

Mungkin kesemua orang Singapura menjadi begitu teruja dan terkesima dengan pembinaan ‘Singapore flyer’. Aku juga terpesona dengan inisiatif Singapura membina sebuah lagi bahan tarikan pelancong. Apatah lagi apabila ia digambarkan sebagai lebih besar dari ‘The London’s eye’. Pasti ianya sesuatu yang hebat.

Tambahan pula, dikatakan gondolanya besar. Malah boleh diadakan acara di dalam sebuah gondola. Wow… hebat sekali. Sangat teruja bila aku membaca mengenainya pada waktu itu. Kos pembinaan dan harga masuknya yang mahal juga membuat jemala ini terfikir-fikir samada benar ianya berbaloi atau sekadar untuk aku menghabiskan wang biasiswa.

Namun sebentar tadi, aku terfikir tentang kata-kata yang keluar dari mulut ibu. Aku menginterpritasikannya dengan maksud yang berbeza. Mungkin ibu sengaja ingin membuatku teruja untuk mendapat pengalaman menaiki ‘Singapore flyer’. Namun lain pula yang muncul di kepala ini sekarang.

Itukah yang telah diisi di dalam pemikiran orang Singapura; ‘Singapore flyer terlalu hebat’? Isy… kenapa sehinggakan orang Melayu juga terkesan dengan pemikiran sedemikian? Aku begitu kesal. Ibuku juga terjangkit dengan ‘virus’ ini.

Eh.. nanti. Tunggu sebentar. Bukan semua orang Melayu itu orang Islam bukan? Ah.. aku begitu dangkal. Orang Islam maksudku tadi. Orang Islam di Singapura juga terkesan dengan pemikiran itu? Bukankah itu teramat tidak seharusnya. Tidak patut orang Islam juga memuji pembinaan robot besar itu. Malu aku malu..

Sedangkan kita diajar bahawa tanda hari kiamat adalah munculnya pembinaan manusia yang mencecah angkasa. Kenapa kita patut memuji usaha yang dianggap murni ini? Kononnya untuk menarik perlancong, sedangkan kota Singa sudah sesak dengan tarikan pelancong.

Ah.. aku tidak begitu endahkan semua perkara itu. Yang aku pedulikan ialah umat Islam di Singapura. Kenapa begini jadinya? Jika di ruangan forum pada akhbar harian, ada sahaja mereka yang memuji kehebatan Singapura dalam membina ‘Singapore flyer’.

Tiba-tiba ada sebuah plastik kuning diacukan ke muka, terkejut aku sebentar. Plastik ‘Old Chung Kee’, makanan segera kesukaanku yang di hadapan muka menghalang dari terus mengelamun. Bila mendongak, terlihat wajah ceria Raihan tersenyum kearah ku. Aku turut tersenyum memikirkan kejutan yang diberikan. Hilang sebentar gundah di benak sedari tadi.

“Amboi.. jauhnya mengelamun. Teringat siapa sahaja dari negara kangaroo?” usikan Raihan sudah lali didengar. Jika dahulu, boleh aku pura-pura merajuk. Sekarang bukan sahaja dia yang sudah muak dengan rajukanku, malah aku juga sudah penat hendak menarik muka masam.

“Negara kangaroo itu juga tempat saya mengenali awak. Kalau di sini, mana sering saya hidupkan komputer, apa lagi hendak masuk bilik bual.” Balasku ringkas sambil mengambil epok-epok yang masih panas dari dalam plastik itu. Mmmhh.. aromanya sangat mengecurkan liur.

“Kenapa nampak macam runsing sahaja? Risaukan saya? Sudah lah. Hari ini saya pinjam kereta ayah. Ayuh kita jalan” Raihan memang suka bercanda. Kadangkala ia boleh membuatku tersenyum, kadangkala semacam rasa rimas pun ada.

“Awak, jom kita naik ‘Singapore flyer’. Gaji awak sudah masuk bukan? Saya teringin sekali.” Sengajaku uji emosinya. Tidak mungkin dia akan mengikut kehendakku. Kebetulan idea itu muncul. Biarkan dia terkedu.

Mukanya kelihatan pucat sebentar. Dia tahu jika aku inginkan sesuatu, pasti dia dipaksa. “Kenapa tiba-tiba hendak naik pula? Seingat saya, awak komen habis-habisan bila ‘Singapore flyer’ dibina.” Tidak perlu diingatkan lagi, bisik benakku. Aku memang khuatir jika ianya dibina. Aku sudah menjangka isu yang aku debatkan bakal terjadi.

“Kenapa tiba-tiba hendak naik pula?” sambung Raihan lagi. Malas mahu menjawab pertanyaannya. Aku masuk ke perut kereta, membiarkan dia sendiri yang menjawab soalan yang ditanya itu.

“Yang saya tahu,” mula Raihan lagi setelah kereta mula berjalan keluar dari parkir flat. “Saya hendak bawa awak ke sebuah masjid di Bishan. Cantik sekali seni binanya.”

Sekali lagi aku muak mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Raihan. Masjid? Cantik seni binanya? Hisy.. Raihan juga terpengaruh dengan ideologi sebegini. Aku harus selamatkan semua orang yang disayangi.

“Awak...” aku memulakan langkah. “Awak rasa megah?” Soalan itu memeranjatkannya. Memang itu tujuanku, agar dia sedar terlajak perahu boleh berudur, terlajak kata memakan diri.

“Kenapa dengan awak hari ini? Ada yang tidak kena?” Raihan sudah mula menghidu sesuatu. Mungkin dia sudah dapat mengagak apa yang bermain di fikiranku sejak dari tadi.

“Tidak ada apa-apa,” ringkas jawapan yang diberi. Tajuk perbualan cuba ku alihkan memandangkan jika aku terus berbicara soal ini, pasti tiada kesudahannya. Malangnya, otak terasa beku di saat itu. Yang terlepas dari jemalaku hanyalah isu masyarakat Islam di Singapura.

Akhirnya aku tewas. Jika terus membiarkan mulut ini membisu, pasti akalku terus rancak memikirkan perkara yang sama. Ah.. lebih baik aku luahkan sahaja. Bukan jarang kami berborak-borak perkara yang serius.

“Han..” jemalaku menari, mencari kekata yang sesuai agar ianya tidak mengguris perasaannya. “Kenapa masyarakat Islam di sini merasa bangga dengan pembinaan megah pemerintah?”

Kami berdua terdiam. Jeda kami berdua agak lama. Ku biarkan dia mencongak jawapan. Kereta mulai memasuki lebuhraya PIE yang agak lengang pada waktu sebegini. Sudah lama kawasan ini tidak ku susuri. Terasa ada bezanya dari beberapa bulan yang lalu. Mungkin kerana tarnya yang sering diganti.

“Begini..” aku rakus mendengar jawapan Raihan. Walau adakalanya tewas dengan katanya, namun hari ini pasti kemenangan berada di dalam genggamanku. Tiada dalil untuknya dalam menguatkan hujah.

“Sebagai rakyat Singapura, kenapa kita tidak berbangga? Sedangkan negara kita bukanlah negara Islam. Cuba lihat di negara Islam yang lain, ada awak lihat mereka berlumba-lumba dalam membina rumah Allah yang cantik? Awak tidak bangga ke Singapura sebegini bersungguh-sungguh?” Diam. Keduanya berjeda lagi. Raihan memikirkan yang dia sudah menang, sedangkan aku lagi sibuk melakar jawapan. Aku tidak akan kalah hari ini.

“Saya tidak bangga, saya sekadar gembira. Dan awak jangan tuduh sembarangan. Mana awak tahu keadaan di luar Singapura? Jaga kata-kata awak.” Balasku kecewa. Raihan begitu dangkal. Manakan dia tahu keadaan di luar negera. Dia hanya hidup selama 25 tahun di pulau Singa ini sahaja.

“Baiklah. Saya minta maaf. Begitu cetek pemikiran saya. Kenapa awak terlalu berkira tentang isu ini? Yang penting, kita semua gembira bukan? Tiada kerugian di pihak pemerintah dan rakyat ketika pembinaan megah itu didirikan.”

Aku menjeling tajam. Ada sahaja alasan untuk memenangkan pihak syaitan. Hisy.. itulah manusia. Sentiasa memihak pada pihak yang salah. Yang benar sentiasa dipandang ke tepi.

Raihan hanya tersenyum. Dia tahu aku sudah beteh dengan hujahnya. “Iya. Benar awak cakap. Tetapi lihat sahaja. Orang Islam sudah mula lupa diri. Sedangkan salah satu dari tanda-tanda hari kiamat adalah wujudnya pembinaan insan mencakar langit. Jadi awak berbangga apabila manusia sendiri memanggil hari kiamat? Hinggakan masjid pun ibarat hilang nilai keagungan milik yang maha Esa-nya sebab terlalu dikaburi dengan kecantikkan yang dijelmakan oleh manusia.”

Keduanya terdiam. Kali ini aku betul-betul yakin, hujahku terlalu kuat untuk disangkal. Biarkan dia menggerutu, mencari idea baru. Namun fikirlah... tidak ada cara lain yang boleh mengalahkan dalilku.

“Baik lah. Sekarang saya hendak awak fikirkan. Awak hendak tidak duit masyarakat Islam di sini digunakan untuk mencantikkan bangunan yang dibina untuk tarikan pelancong, atau membina rumah ibadat agama lain? Awak rela melihat rumah Allah lebih tidak cantik dari rumah ibadat agama lain?”

Sekali lagi, berlangsung jeda antara kami. Aku mengakui kebenaran kata-katanya, namun tidak mungkin mengaku kalah. Aku alihkan mata ke luar tingkap kereta. Baru tersedar, kereta sudah tidak lagi di lebuh raya PIE. Raihan sudah membawa keretanya masuk ke dalam sebuah gang yang tidak pernah aku lalui.

“Awak suka manusia memanggil hari kiamat?” soalan seringkas itu sahaja yang mampu aku luahkan. Tetiba serasa penat pula hendak ku fikirkan jawapan balas untuk Raihan.

“Memanggil hari kiamat? Awak tidak sedar, manusia sememangnya sentiasa memanggil hari kiamat. Kita tidak boleh lari dari situasi ini. Tentang petanda yang dianggap mustahil, segalanya kini boleh jadi. Ingat tentang haiwan bersifat luaran yang sangat pelik dan juga pandai berbicara?”

Aku hanya mengangguk. Entah kenapa, aku mahu sekali mendengar syarahnya pada tengah hari itu. Aku sudah malas mahu melihat keluar jendela. Pokok-pokok rendang yang beratur di sisi jalan raya itu sungguh membosankan pula rasanya.

“Haiwan yang boleh berkata-kata seperti manusia...” Raihan menyelangkan ayatnya dengan tawa kecil. Pandangan mata yang tepat ke mukanya membuatkan dia tahu bahawa aku sangat berharap agar dia segera meneruskan kata-kata.

“Tentu awak tahu tentang ‘genetic engineering’ bukan? Iya.. manusia yang boleh mencipta makanan yang lebih berkhasiat. Suntik gene haiwan ke dalam buah tomato untuk menjadikannya lebih segar dan tahan lama untuk diekspot?”

Aku hanya tersenyum. Perbincangan kami berdua semakin hangat. Terasa teruja benar dengan setiap kata yang keluar dari mulut Raihan. Nampaknya kali ini, aku bakal ditundukkan dengan kata-katanya. Tidak bermakna aku tewas. Ingat, aku tidak tewas.

“Di Singapura pula, ada ura-ura untuk memperkenalkan prosedur ‘baby designing’. Pernah dengar bukan sayang?” Aku mengangguk. Iya, pernah ku dengar tentang perkara itu. Isu yang menentang takdir ilahi, fitrah manusia. Manakan boleh sepasang suami isteri menentukan sifat-sifat dalaman zuriat mereka. Suatu isu yang betul-betul membuatkan aku naik radang suatu masa dahulu.

“Sedangkan manusia boleh melakukan perkara sedemikian dengan tanpa rasa bersalah. Tidak mustahil suatu hari nanti, manusia mengambil gene percakapan manusia dan mencantumkannya dengan gene haiwan yang pelbagai. Di saat itu, sahlah kita sudah sampai akhir zaman.”

Meremang bulu romaku mendengar kata-katanya. Bukankah ia adalah benar? Aku akui itu. Iya, sekelumit rasa sedih menjengah lubuk hatiku. Manusia sentiasa begini bukan? Sentiasa merosakkan mereka sendiri. Itu pun, masih lagi berbangga dengan kemajuan yang dikecapi, tanpa disedari ianya menjahanamkan diri sendiri.

“Sayang...” suara Raihan mengembalikan pandanganku kepadanya. “Jika awak ingin fikirkan tentang hari pembalasan, kita memang jelas sudah hampir. Tiada cara untuk kita larikan diri. Kita tidak boleh menentang arus. Hendak atau tidak, awak terpaksa makan tomato yang disuntik tadi. Kita bukan menyokong atau berbangga, kita tersepit.”

Aku terdiam. “Awak seru kepada setiap umat Islam untuk memboikot usaha kejuruteraan genetik atau meruntuhkan pembinaan mencakar langit di seluruh dunia, kita tidak akan dapat lari dari hari pembalasan. Sebaliknya, bukan kita memanggil, tetapi itu hakikat hidup sekarang. Awak tidak boleh lari dari apa yang sudah sedia ada.”

Dalam sedar, aku melihat Raihan membelokkan keretanya ke perkarangan sebuah bangunan, lalu memasuki tempat meletak kereta di bawah tanah. Tidak ku sedar bangunan apa yang dimasuknya kerana leka memikirkan hujah Raihan tadi.

“Sudah lah, keluar. Kita solat zohor dahulu. Setelah solat nanti, kita sambung berjalan ke Suntec City.” Raihan tidak menunggu responku, lalu terus melepaskan tali pinggang keledarnya. Aku yang masih tidak tahu di mana kaki ini berpijak hanya menuruti sahaja.

“Han... kenapa tidak kita singgah di masjid sahaja? Lagipun, di bangunan pejabat ini, mungkin tiada surau atau mussola.” Raihan hanya tersenyum. “Kita di masjid an-Nahdhah, sayang.”

Terkejut, itu responku. Masjid? Punya tempat meletak kereta bawah tanah? Di Singapura, sebuah negara bukan Islam? Aku akui, timbul sekelumit rasa bangga di benak. Namun cepat-cepat dihirisnya pergi.

Raihan sedari tadi sudah keluar dari perut kereta. Aku yang terlalu terkejut, cepat-cepat mengikut jejaknya. Mata terlalu ghairah, meninjau-ninjau sekeliling. Raihan hanya tersenyum melihat reaksi teman wanitanya ini.

“Awak bangga?” Kata-kata itu keluar dari mulutnya, menyedarkan diri bahawa apa yang dikatakan itu benar. Tidak ada salahnya aku berbangga dengan keindahan rumah Allah. Namun responku hanya seukir senyuman.

Kaki kami berpasangan memasuki lif yang berdekatan dengan kereta. Mata ini masih terus melilau-lilau. Entah apa yang dicari, fikir jemalaku yang seakan-akan terhenti berfungsi saat itu.

Sesampainya di dewan solat wanita, ku lihat ramai kaum hawa yang sudah bersiap siaga hendak berjuang, dengan niat untuk menemui yang maha Esa walau dalam masa 5 minit. Tangan dengan pantas mencapai kelengkapan pakaian sembahyang di rak-rak yang tersusun rapi.

Setelah bersolat dua rakaat tahiyatul masjid, tangan ditadah dengan penuh zuhud. Doaku agar manusia semakin peka dengan apa yang berlaku. Doaku agar umat Islam sentiasa diselamatkan oleh dugaan dan cubaan yang sentiasa ditimpakan keatas kami, sebagai peringatan dan tempat kami meraih pahala yang lebih. Doaku agar kami diberi kekuatan dalam menyingkap antara yang hitam dan yang putih. Doaku agar umat Islam menjadi umat Islam yang sebenar.

Doaku disambut oleh azan yang merdu. Sebuah panggilan yang memuji kebesaran yang maha Esa, mengingatkan manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Panggilan yang sama mengingatkan manusia untuk berjuang menemui yang maha Esa walau dalam masa 5 minit dan berjuang untuk meraih kejayaan.

“Kakak, mari kita rapatkan saf sebelum solat sunat qabliah.” Lamunanku terhenti apabila terasa bahu ini dicuil. Apabila muka didongak, mata terpandang seorang gadis molek bertelekong merah jambu lembut sedang tersenyum ke arahku. Senyumannya ku balas, rupanya bukan aku sendirian di bumi Allah ini yang masih mahu menilai keindahan agama juga.

*cerpen ini disiarkan di Berita Harian, Singapura pada 2008*

ADIK SAYANG KAKAK

“KAKAK tunggu dahulu ya? Adik cari suami adik.” Pintaku pada Umaira, rakan baik sejak dari bangku sekolah. Tanpa melihat reaksinya, kaki pantas melangkah keluar dari restoran Thai. Hanya itu sahaja alasan yang paling kukuh mampu kufikirkan pada waktu itu untuk mengelak dari terus bersamanya.

Entah kenapa aku masih belum bersedia untuk melalui semua ini. Walaupun sudah hampir sebulan aku bernikah, aku masih ragu-ragu tentang penerimaannya terhadap abang Idi, suamiku yang tercinta. Aku bersyukur kerana di hari pernikahan kami, Umaira tidak dapat hadir kerana harus merawat ibu tirinya yang sakit di Kanada.

Aku tidak sedar kaki bergerak ke ruang meletak kereta di tingkat bawah pusat membeli-belah Compass Point. Tersedar bahawa kaki sudah membawa ku ke sana, aku masuk ke dalam kereta. Tangan ibarat mengikut kata hati agar segera menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan tempat itu. Namun nasib baik akal masih lagi waras untuk menghalang perbuatan itu.

Di dalam kereta kuhidupkan radio. Secara kebetulan deejay radio memainkan lagu kegemaran ku dan Umaira ketika kami di bangku sekolah. Lagu yang berkumandang itu betul-betul menggamit memori terhadap apa yang telah terjadi lebih kurang 15 tahun lalu.

Ketika itu aku dan Umaira sama-sama belajar di sebuah sekolah perempuan. Kami yang pada mulanya langsung tidak mengenali antara satu sama lain kerana berasal dari sekolah rendah berlainan, menjadi kawan baik selepas dua tahun belajar di sekolah yang sama. Aku selalu mendapat bantuannya tentang sesuatu pelajaran yang sukar difahami. Manakala dia sentiasa meminta dariku buah fikiran apabila sampai pada subjek karangan kerana memang minatku pada dunia penulisan.

Dalam masa berkawan, kami menjadi semakin rapat. Bermula apabila dia senantiasa dibuli rakan-rakan yang nakal. Apabila dia dibuli, aku akan membelanya hingga ada di antara mereka telah merasa buku limaku. Memang aku begitu berang jika ternampak Umaira menangis kerana tidak tahan dibuli di sekolah.

Semakin lama aku membelanya dari dibuli, semakin aku berasa puas. Pertama ialah kerana aku berasa diriku lebih hebat dari mereka yang hanya ‘menunjuk berani sahaja’. Kedua ialah kerana Umaira menjadi semakin rapat dengan diriku. Dia akan kemana-mana bersamaku, tidak orang lain. Padanya, dia rasa selamat apabila berada di sisiku. Ah.. betapa gembiranya aku ketika mendengarnya berkata begitu.

Aku lalu memanggilnya dengan gelaran ‘kakak’. Mangapa? Sengaja aku memanggilnya begitu. Memang aku pun setahun lebih muda darinya. Lebih menyeronokkan apabila dia juga memanggilku ‘adik’. Dari nada suaranya ketika menyebut ‘adik’, aku dapat rasakan keakraban dan kemesraan yang terjalin antara kami berdua.

Pada saat itu aku masih waras untuk menghalang sebarang perasaanku yang bukan-bukan terhadap Umaira. Namun bila aku fikirkan kembali, mungkin aku hanya butuh kasih sayang seorang kakak. Aku adalah anak tunggal ibu dan ayahku. Aku tidak pernah merasakan kasih sayang seorang kakak, hinggalah di saat aku dipertemukan dengan Umaira.

Setelah aku dinaikkan ke menengah tiga, perasaan sayangku makin meluap-luap terhadap dirinya. Aku sentiasa memberinya dorongan terhadap apa sahaja yang dilakukannya. Doronganku juga pernah dikatakan sebagai perangsang baginya untuk sentiasa melakukan yang terbaik. Dengan itu, rasa seronokku terus berbunga. Walaupun dia tidak dibuli lagi, aku tetap sentiasa bersamanya ke mana-mana.

Pada suatu hari ketika kami sama-sama sibuk mengulangkaji pelajaran di perpustakaan sekolah, aku terpandang sesuatu yang cukup mencurigakan di dalam beg duit Umaira. Benda itu bersinar-sinar, seperti rantai nampaknya. Kalau diikutkan hatiku
yang risau waktu itu, ingin sahaja aku mencapai beg itu dan menggeledah isi perutnya. Namun aku memilih untuk bersabar dan bertanya dengan cara baik.

“Kak, apa tu dalam beg kakak? Macam ada sesuatu yang cantiklah.” Soalku dengan harapan dia tidak keberatan untuk menunjukkan aku benda itu.

“Oh.. nilah, rantai.” Tangannya yang lembut itu pantas mengeluarkan rantai emas putih keluar dari beg duitnya. Pada waktu itu memang tidak ramai orang yang berada di dalam perpustakaan itu. “Kakak pernah bilang adik tak fasal Farhan?”

Mendengar nama ‘Farhan’ disebut oleh Umaira, jantungku berdegup laju. Siapa pula ‘Farhan’ ni? bisik hatiku yang tiba-tiba berasa sangat panas. Kenapa sekarang baru dia menyebut nama lelaki? Selama ini aku tidak pernah pun terfikir yang dia mempunyai teman lelaki..

Petang itu aku pulang dengan hati yang bengkak. Entah kenapa rasa cemburu mengalir bersama darah ke seluruh badanku. Menurutnya, Farhan adalah teman yang telah dikenalinya sejak di menengah dua. Mereka bertemu ketika Umaira mewakili sekolah bagi peraduan deklamasi sajak, sementara Farhan turut hadir di majlis itu untuk menyokong peserta dari sekolah lamanya. Sejak saat itu, mereka semakin rapat dan akhirnya pada akhir tahun yang lepas, mereka mula bercinta.

Di saat itu aku dapat rasakan seluruh tubuhku berasa sangat lemah. Kakiku terus bergerak membuat pusingan di sekeliling bilikku yang sempit. Apa yang harus aku lakukan? Aku tidak mahu kehilangan Umaira, rakan yang aku anggap sebagai kakak.

Ketika itu baru aku tersedar, benarkah selama tiga tahun yang lepas, aku hanya menganggap Umaira sebagai kakak sahaja? Tidakkah lebih dari itu? Ah.. aku tidak peduli lagi pada apa yang sedang aku rasakan. Yang penting di saat itu, aku sangat menyayangi Umaira.

Malam itu, akalku rancak berfikir tentang langkah-langkah yang harus aku lakukan agar perasaanku pada petang itu tidak akan lagi berlanjutan hingga bila-bila. Aku harus menyusun strategi untuk mendapatkan ‘kakak’ku kembali setelah hatinya dirampas oleh seorang lelaki bernama Farhan.

Tiga hari kemudian, aku bertemu Umaira di kantin sekolah. Dia menyapaku ramah pada pagi itu, seperti yang selalu dilakukannya. Senyuman yang dilontarkan dari jauh olehnya cukup membuat hatiku riang pada saat itu. Bagaimanakah aku tegar membiarkan senyuman manis itu dikhususkan kepada orang lain? Tidak.. Umaira hanya untukku.

“Kak, petang nanti kakak ada kelas tak? Kalau tak ada, boleh teman adik pergi Junction 8?” Pinta ku dengan nada memujuk.

“Nasib baik adik beritahu kakak siang-siang. Kakak ingat nanti petang nak keluar dengan Farhan. Kalau adik nak keluar dengan kakak, bolehlah kita keluar sama-sama.” jawab Umaira. Jawapan Umaira ini memang menyakitkan hatiku. Kenapa masih lagi dia berani menyebut nama itu di hadapanku? Tidak sedarkah dia yang telingaku amat sakit mendengar nama itu?

“Kira kita kena keluar dengan ‘Farhan’ kakaklah ni? Alah, tak payah lah bawa dia. Macam selalu kita keluar, kan seronok jalan berdua saja.” Balasku ringkas. Aku bermati-matian mahu keluar berdua dengannya. “Ok? Jumpa kakak nanti eh?” Tanpa mendengar responnya, aku mencium pipi kanannya dan bergegas ke kelas.

Petang itu, kami jadi keluar. Alangkah seronoknya aku apabila Umaira tidak membawa Farhan bersama. Walaupun aku tahu dia merasa janggal, Umaira tetap membiarkan aku memaut tangannya sewaktu kami berjalan. Aku akan pastikan dia akan lebih selesa bersama denganku berbanding dengan Farhan.

Ketika kami lagi sibuk membelek-belek alat-alat tulis terbaru di toko buku ‘Popular’, Farhan menelefon Umaira. Menyampah aku mendengar Umaira menyebut nama Farhan, lebih-lebih lagi dengan nada manja.

“I dekat ‘Popular’ dengan Abida, adik angkat I yang I pernah ceritakan you tu. Kita bertiga keluar sama-sama lah lain kali. I pun memang nak sangat kenalkan dia dengan you..” Hanya itu sahaja yang mampu aku dengar. Dengan pantas kakiku melangkah keluar kedai. Tidak tahan telinga ini diseksa mendengar perbualan manja mereka.

Beberapa minit kemudian, aku terdengar suara Umaira memanggilku. “Kenapa adik keluar tak tunggu kakak? Kakak cari kat dalam tadi.” pujuk Umaira dengan suara yang paling sedap yang paling aku dengar dari seorang gadis. Sambil itu, diusapnya pipiku dengan tangannya yang putih itu. Perasaanku pada waktu itu bercampur -baur. Antara suka dan marah. Aku suka diperlakukan seperti itu. Dibelai dan diusap seperti anak kecil. Namun aku sangat marah pabila dia masih tidak mengerti segala gerak-geriku yang menunjukkan bahawa betapa dia sangat istimewa bagi diriku.

Aku harus lakukan sesuatu. Lebih lama aku membiarkan Umaira dan Farhan berasmara, makin pedih rasa hati ini. Aku harus bertindak lebih agresif. Jika tidak, sampai bila-bila pun aku tetap akan menjadi sebegini. Memendam rasa hingga memakan hati sendiri.

Ketika aku mengajak dia pergi makan bersamaku di restoran ‘Swensen’s’, dia langsung tidak menolak. Ini memudahkan lagi rancanganku pada petang itu. Di restoran itu, aku telah membuat satu kejutan. Kejutan yang langsung tidak diduga oleh Umaira.

“Kak, adik nak kasi kakak sesuatu,” aku memulakan perbualan ketika lagi sibuk menceduk buah ceri dari ais-creamnya. Tanganku pantas mengeluarkan rantai emas yang telah dihadiahkan oleh arwah nenekku sewaktu beliau mengerjakan umrah terakhirnya.

“Harap kakak terimalah. Rantai ni sangat berharga bagi adik. Arwah nenek adik yang berikan.” Aku dapat melihat wajahnya yang terkejut dengan kenyataanku. Sudah ku agak itu adalah reaksinya bila aku katakan sedemikian.

“Kenapa adik hadiahkan kakak kalau rantai ni sangat berharga? Adik patut simpan rantai ni. Inikan kenangan adik terhadap nenek adik? Takkan nak diberikan pada orang lain?” Soalan dari Umaira ini telah aku siapkan jawapannya sejak dari semalam. Ketika aku merancang untuk memberikannya hadiah istimewa itu.

“Sebab rantai tu berhargalah, adik berikannya pada kakak. Adik tahu kakak akan simpan dan hargai rantai tu.” Balasku bersahaja. Terlihat pada wajah Umaira reaksi yang keliru. Tanpa berfiir panjang, aku menyambung dengan nada sinis “Lagipun rantai adik tentu lebih mahal dari rantai yang diberikan Farhan kan?”

Entah kenapa apabila aku mengangkat muka setelah berkata sedemikin, ku lihat Umaira agak marah dan terkejut. Giliranku pula yang kaget melihat reaksinya. “Kira adik berikan kakak rantai ni untuk berlumba dengan Farhan? Kenapa adik? Kenapa adik sanggup buat kerja ni? Dari tadi kakak perasan adik dah lain macam. Tak macam selalu” Soalan Umaira kali ini tidak pula aku rancang apa jawapannya. Aku gugup seketika.

Lama juga aku fikirkan jawapan yang terbaik untuk pertanyaan itu. Akhirnya aku menjawab, “sebab adik takut kehilangan kakak.” Aku terdiam sejenak. Hanya setelah beberapa saat selepas itu, aku menyambung, “bila kakak bilang adik yang kakak ada Farhan, nanti kakak akan sayang Farhan. Lama-kelamaan, kakak akan lupakan adik.” Tanpa disengajakan, aku mengeluarkan segala apa yang ku pendam. Memang benar aku dapat rasakan yang aku bakal kesunyian bila dia mula bersama dengan Farhan.

“Adik, kenapa adik rasa begitu? Kakak sentiasa sayang adik. Adik kan satu-satunya adik kakak?” Kata-katanya tetap tidak memberiku sebarang kepuasan.

“Adik tak nak kakak sayang orang lain. Kakak hanya boleh sayang adik seorang saja! Kakak hanya untuk adik! Sebab adik sayang kakak! Sayang sangat!” balasku dengan suara yang tinggi. Nasib baik kami diberikan tempat yang agak terpencil di
restoran itu. Jika tidak, pasti ramai yang akan melihat pergaduhan yang berlaku di antara kami.

“Adik! Tolong jangan mengarut! Adik sedar tak apa yang adik cakap ni?! Ni semua dah berbaur homo..?! Isy!” dia berjeda seketika. “Adik jangan sampai kakak ingat adik gila!” kali ini Umaira pula yang meninggikan suara. Mungkin dia terlalu terkejut dengan kenyataanku.

Mendengarkan yang dia akan menganggapku gila merupakan sesuatu yang sangat menyayat hatiku. Dengan serta-merta airmataku gugur. Kenapa sampai hati dia menganggap diriku gila hanya kerana aku menyayanginya?

“Kakak tak nak anggap adik gila.” Tiba-tiba Umaira bersuara ibarat dapat membaca fikiranku ketika itu setelah lama kami berdua berdiam diri. “Kalau adik gila, takkan adik dapat sekolah sampai menengah tiga kan? Dapat markah bagus pula tu. Kakak rasa kakak faham masalah adik. Mungkin kita berdua terlalu rapat. Sentiasa bersama. Masa adik banyak dihabiskan dengan kakak.”

“Kakak cadangkan kita jumpa Farhan. Adik tahu tak Farhan tu sebenarnya lagi belajar di kolej di Malaysia dalam bidang agama. Apa kata masa lapang adik yang kita sentiasa habiskan bersama dengan berbual kosong, kita habiskan dengan Farhan? Sambil tu, kakak minta Farhan berbincang dengan kita tentang ilmu agama yang mana kita tak tahu. Macam mana? Nak?”

Kata-kata Umaira yang panjang lebar itu aku terima dengan hati yang terbuka. Mungkin benar apa yang dikatakannya. Kami selalu bersama hingga aku terlupa batas perhubungan kami. Dengan itu, aku terima ajakan Umaira sedang aku terlupa bahawa Farhan pernah di suatu ketika dulu, aku anggap musuh ketat.

Setelah seminggu peristiwa di restoran itu berlalu, aku ditemukan Farhan oleh Umaira. Memang tidak salah bagi Umaira untuk menyukai pemuda itu. Dari segi fizikal, memang Farhan bertubuh tegap. Dalam erti kata lain, dia begitu ‘macho’. Apatah lagi ditambah pula dengan kepandaiannya dalam ilmu bukan sahaja agama, malah akademik juga. Dari itu, memang Farhan adalah pilihan yang tepat buat Umaira.

Sejak dari pertemuan pertama, kami begitu seronok mempelajari ilmu agama menerusi Farhan. Farhan belajar di sebuah kolej di Johor Bahru. Oleh itu, agak mudah bagi kami bertiga untuk bertemu pada hujung minggu. Secara tidak sengaja, perasaan benciku pada Farhan terhakis sedikit demi sedikit. Malah aku sungguh seronok apabila melihat Umaira begitu manja dengan Farhan.

Setelah Umaira mendapat keputusan O level-nya, aku ibarat diduga dengan berita yang mana dia akan berpindah ke Kanada. Bapanya yang duda mengambil keputusan itu setelah bercadang untuk berkahwin lagi dengan seorang wanita sana. Umaira dipaksa mengikutinya memandangkan mereka tidak punya sesiapa lagi di Singapura.

Waktu itu, tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum dia berangkat ke Kanada. Masih aku ingat pada perjumpaan itu, kami sama-sama tidak dapat menahan airmata masing-masing dari berguguran. “Adik janji dengan kakak, adik belajar rajin-rajin. Kalau adik ada masalah, adik minta tolong dengan kakak. Email kakak je. Insyaallah kakak balas. Kalau tak pun, adik minta tolong dengan abang Farhan. Ok?” Aku hanya mampu membalas kata-katanya dengan senyuman hambar.

Aku amat bersyukur kerana sebaik sahaja Umaira meninggalkanku di sini, tempatnya diisi oleh Farhan. Sejak saat itu, kami menjadi semakin rapat. Aku akan ajukan sebarang pertanyaan kepadanya. Sementara dia pula akan menjawab pertanyaanku dengan jawapan yang memuaskan hatiku.

Pada usiaku genap 20 tahun, aku menerima satu kad undangan. Rupa-rupanya, Umaira akan bertunang dengan Farhan. Memang ada ku dengar dari mulut Farhan tentang ura-uranya ingin melamar Umaira. Hanya Tuhan sahaja yang betapa gembiranya aku pabila mendapat berita itu.

Namun tidakku sangka 2 tahun selepas itu, Farhan mengkhabarkan padaku yang dia telah memutuskan pertunangannya dengan Umaira. Aku sangat marah padanya pada waktu itu. Sanggup dia lakukan sebegitu pada ‘kakak’ku. Namun alasannya tetap ku terima. Dia ibarat menipu Umaira jika diteruskan hubungan mereka sedangkan hatinya senantiasa pada orang lain. Sejak hari itu, aku terus jarang mendengar khabar tentang Umaira dari mulut Farhan.

**********************************************************

Hari ini, aku bertemu dengan Umaira sekali lagi setelah berbelas tahun kami berpisah. Sepatutnya aku berasa ghairah di atas pertemuan ini. Sebaliknya, aku masih lagi di dalam keretaku, mengelamun.

Tiba-tiba lamunanku terhenti apabila terpacul wajah suamiku di tingkap keretaku. Tercuit hatiku sebentar melihatkan wajahnya yang comel itu yang kelihatan keliru.

“Kenapa awak kat sini? Awak kan sepatutnya dekat atas sedang berbual dengan kawan lama awak?” soalnya sebaik sahaja aku keluar dan mengunci keretaku lalu kami sama-sama melangkah keluar dari parkir bangunan itu.

“Saya takutlah. Saya rasa bersalah sangat. Saya seolah-olah buang dia dalam hidup saya sebab tak beritahu dia yang saya akan kahwin dengan awak. Saya rasa berdosa sangat.” Kataku sewaktu kami berdua berada di dalam lif. Saat itu, memang aku dapat rasakan debaranku. Sama debarannya ketika aku terdengar nama Farhan buat pertama kalinya dahulu.

Tanpa aku sedari, kami sudah tiba di hadapan tempat yang ingin dituju. Umaira tidak dapat melihat kami kerana dia membelakangi pintu masuk restoran tersebut. Dengan suara terketar-ketar, aku memberi salam padanya. Hanya itu yang mampu aku fikirkan ketika itu. Sambil itu tanganku ku pautkan pada tangan suamiku. Abang Idi pun tidak berkata apa. Dibiarkan sahaja aku yang beraksi sendirian pada adegan itu.

Salamku dijawab oleh Umaira. Dia menoleh ke belakang dan berdiri. Aku lihat dia hanya memandang wajahku, belum suamiku. Aku tidak perlu menunggu dia melihat wajah suamiku. Mulutku pantas bersuara sambil kepalaku tertunduk, “Ni suami adik, Ustaz Farhan Ghamidi.” Sesekali aku mendongakkan kepalaku, ku lihat matanya berkaca. Tidak sangka sampai hatiku menyakitkan hati dia yang asalnya sangat aku sayang.