Sunday, October 9, 2011

ARAH SUJUD

JAM 0730. Tia menyudahkan kerja-kerja mengajar dengan pantas. Anak didknya juga melihatkan kegelisahan ibu saudaranya, dengan segera menyelesaikan kerja yang diberikan. Walau demikian, Tia tetap mengambil serius tentang apa yang sedang dilakukan oleh anak saudaranya.

Sesekali dia mengintai jam yang digantung di sudut pojok rumah itu. Tidak cukup dengan itu, Tia menyelak pula jam tangan di balik lengan bajunya. Sah jam menunjukkan 0730. Serba salah mengantikan kegelisahan tadi.

Jika mahu pulang dari rumah abangnya ini, tentu dia tidak sempat untuk menunaikan solat Maghrib. Rumahnya, walaupun terletak di dalam pulau yang sama, tetapi ia bertentangan dengan kawasan rumah itu. Pernah sekali dia kehilangan waktu solat kerana tidak singgah di mana-mana untuk melangsaikan hutang insani tersebut.

Dalam keserbasalahannya, dia terpandang pembantu rumah abangnya. Di waktu itu, cuma mereka bertiga sahaja di dalam rumah. Jemalanya bergerak pantas, namun segera hatinya berbelah bagi. Pembantu rumah itu pula apabila dipandang, segera dia memaling muka. Mafhumlah dirinya bahawa matanya telah dibaca dengan baik oleh wanita genit itu.

Harus bagaimana dia memulakannya? Dia mahu benar mengimarahkan kediaman itu dengan bacaan ayat suci. Namun untuk memulakannya, dia sangat teragak-agak. Ini kerana dia kenal benar dengan abangnya. Personaliti abangnya yang tidak memberatkan agama sedikit sebanyak menganggu hidup orang lain. Malangnya, orang lain itu termasuk dirinya.

Ah! Inilah buktinya. Kini dia teragak-agak untuk menunaikan ibadah yang menjadi tunggak keimanan seorang muslim. Lalu bagaimana harus diselesaikan masalah ini? Maka dengan berat hati dia membuka mulut, “Kakak,” panggilan itu merujuk kepada pembantu rumah yang cuba bersembunyi itu. “Tia mahu tumpang untuk bersolat maghrib.”

Kakak terkedu. “Tia ambil wuduk dahulu ya. Biar kakak siapkan kelengkapan solat.” Lalu dia pun berlalu pergi.

Terselit rasa lega kerana kakak nampaknya tidak punya masalah untuk membantunya. Segeralah Tia berlalu mencari kamar kecil untuk mengangkat air sembahyang. Keluar sahaja dari kamar itu, matanya terpandang kakak di luar salah sebuah kamar kondominium itu. Kakak tersenyum dan mempersilakannya masuk.

Bilik tidur yang merupakan tempat rehat anak saudaranya begitu manis. Hiasan dan warna dindingnya menepati ciri-ciri seorang kanak-kanak perempuan. Namun jauh di sudut hatinya, Tia tidak begitu menyenangi beberapa anak patung yang diletakkan di dalam almari kaca di dalam bilik tersebut. Jelas sekali mainan itu bukan dimanfaatkan sebagaimana sifatnya melainkan sebagai hiasan semata-mata.

Pada mulanya, Tia agak keberatan untuk bersolat di tempat sebegitu. Namun setelah difikirkan bahawa dirinya hanya menumpang, dia terpaksa akur.

Dia dengan pantas mencapai kain telekung, bersedia untuk bertemu Ilahi. Kakak yang tadinya mengiring, tergesa-gesa pula keluar dari kamar tersebut. “Kakak!” Panggilan Tia menghentikan langkah pembantu rumah itu.

Sebenarnya Tia masih tidak mengerti sebab kakak berlalu dengan pantas, seolah-olah melarikan diri dari sesuatu. Adakah dia takutkan Tia? Namun mengapa pula? Apabila menoleh untuk menjawab panggilan Tia, kakak masih kelihatan gelisah. Semakin terpingga-pingga Tia dibuatnya.

“Kakak, sebelum kakak keluar, Tia hendak tanya tentang arah kiblat.” Hanya soalan itu sahaja yang mahu diajukan. Ini kerana kakak hanya meninggalkannya dengan kain telekung, sedangkan kiblat yang menjadi syarat solat yang sah tidak disertakan. Kakak terdiam dan tertunduk. Tia semakin binggung.

“Kakak tidak tahu arah kiblat, Tia.” Tia agak keliru pada saat itu. Apa sebenarnya maksud kakak? Tidak tahu adakah bermaksud tidak faham erti frasa tersebut? Namun kakak beragama Islam. Hal itu tidak mungkin terjadi.



Serentak itu juga Tia terpana. Tidak tahu arah kiblat adakah bermaksud, dia tidak mengetahui kedudukan kiblat di dalam rumah ini? Aduh! Dia benar-benar terkelu. Tidak mengetahui arah kiblat menyebabkan seorang muslim itu tidak mendapat solat yang diterima Tuhan. Lalu bagaimana dengan solat ahli bait ini?

Sanubari Tia terlalu berkocak keras. Adakah segalanya bermakna bahawa keluarga abangnya ini tidak pernah bersolat? Air di matanya terasa mahu berlinang. Mengapa hingga begini sekali nasib keluarga ini? Hanya kerana mengejar kemewahan dunia, maka hukum Tuhan yang paling utama dikecualikan? Sungguh Tia teramat kecewa.

Walaupun berat jiwanya, digagahi juga mulutnya untuk bersuara. “Kakak,” mulanya kali ini terlalu tenang. Malah ini adalah sandiwara yang paling berat untuknya. “Arah kiblat seorang muslim harus dipastikan melalui kompas. Kakak punya kompas?” Wanita Indonesia itu benar-benar kelihatan keliru, seolah-olah anak muridnya yang tidak mengerti ilmu matematik yang diperturunkan.

Sekali lagi Tia mengambil nafas dalam-dalam, nafas bertenang campur geram. “Kakak, kalau tiada kompas, kakak tahu arah matahari terbenam?” Kakak itu serba salah tetapi jari telunjuknya disuakan kepada pojok kamar tersebut. “Kakak pasti?” Pertanyaan Tia ini direspon dengan sebuah anggukan.

Tia tersenyum lantas mengucapkan terima kasih. Setelah kakak berlalu, Tia yang ditinggalkan menghempaskan punggung di atas katil empuk anak saudaranya. Airmatanya mengalir juga walaupun tidak sederas arus hampa di hati. Tia benar-benar kecewa, malah lebih kecewa dari perkataan ‘kecewa’.

Benarlah dia tidak punya hak untuk menghukum sesiapa. Namun bagaimana pula nasib abangnya di akhirat kelak. Telekung yang dipakai di badan juga terasa baru, seingatnya itu adalah hadiah hari perkahwinan daripada ibunya buat abang. Jika wanita mulia itu tahu kedudukan hadiahnya yang paling istimewa, pasti ibu benar-benar kecewa. Tunjuk ajar agama yang dikongsikan bersama salah seorang anaknya hilang begitu sahaja.

Simpati ditumpahkan lagi buat abangnya. Bagaimana nasibnya kelak jika berhadapan yang maha Esa? Berat sudah tanggungan dosa pahala sendiri, inikan pula ditambah lagi dengan kepunyaan ahli keluarganya. Ah! Tidak dikira pula dosa membiarkan pekerjanya yang juga di dalam dosa. Aduh!

Sambil bertasbih, Tia mencari kewarasan akal untuk membantu keluarga malang ini. Betapa sedihnya kerana di dalam kemewahan harta dunia, seseorang juga mampu digulung kedaifan harta akhirat. Bagi Tia, semakin lama dia di dalam rumah itu, semakin kecewa menghimpit nubarinya. Maka dengan segera dilunaskan hutangnya pada Yang Maha Kuasa.

Malangnya, solat yang dikerjakan sekadar gumaman bacaan. Ini kerana fikirannya terlalu jauh melayang. Namun segera dipujuk hati yang walang. Tidak mungkin dia membodohkan diri untuk memikirkan hal orang lain. Biar pahala ibunya terus disemai melalui amalan agamanya memandangkan abangnya sudah jelas menghampakan seisi keluarga.

Dengan bacaan fatihah seusai wirid, Tia berdoa. Harapannya tinggi: semoga bacaan ayat-ayat suci daripadanya kekal dan tetap bergema di dalam rumah itu. Mudah-mudahan.

*cerpen ini disiarkan di Berita Harian, Singapura pada Oktober 2011*

Saturday, October 8, 2011

PEWARIS MANDALA MEWANGI

SUDAH lama merpati putih itu tidak dilepas pergi. Namun kelam malam itu mendorong Raja Rukfas Olya untuk membiarkan merpatinya berkelana lagi. Tidak dikirim pada siapa warkah dituju, tidak dibisik juga hala sang merpati. Ah! Si putih itu sudah mengerti. Sememangnya ia menjadi tugas unggas suci itu di kala kecamuk bersarang di nubari Raja Rukfas Olya.

Kecamuk jiwanya datang dan pergi. Bagaimana masalah ini harus diselesaikan? Mahu diminta pendapat para jemaah menteri, ternyata tanggungannya melampaui hemah para memanda. Di kamar pustaka dalam mahligai hinggapnya yang diisi penuh dengan kitab-kitab lama, dirasakan sedang memujuk beliau untuk tidak berdukacita. Raja Rukfas Olya mundar-mandir di bahagian ruangan kecil di pojok kamar tersebut. Tiada berselera mahu bersantap aksara pada kitab-kitab di hening malam tersebut. Bingung dirinya serasa mahu dijerit agar terlepas pergi.

Sedang kakinya tidak pernah letih dari pekerjaan tiada bermusabab itu, mata memanah sebuah kitab usang yang terduduk kemas, di atas sebuah rehal emas. Kitab itu sudah berdarsawarsa lamanya menjadi pedoman sekalian raja-raja di mahligai tersebut, tidak terkecuali Raja Rukfas Olya juga. Ia memang agung sifatnya. Maka kerana keagungannya, ia kini menjadi beban di atas jemala raja negeri Mandala Mewangi itu.

Taj as-Salatin. Sebuah kitab yang menjadi kemegahan para pewaris takhta kerajaan Mandala Mewangi. Kemakmuran pemerintahan raja-raja terdahulu saksi kepada kebenaran kitab ulung tersebut. Pengajarannya berhaluan. Sayang nasihat-nasihatnya menyepit ruang pilihan seorang ayahanda. Terngiang-ngiang bait-bait qit’ah daripada kitab tersebut yang sering dibacakan oleh permaisurinya:
Yang adil itu umpama matahari adanya
Dan yang zalim itu maklumkan adanya daripada kehinaan dirinya juga,
Maka pada tiap-tiap hari akan menambah kehinaan dirinya
Dan menambah kerugian dirinya jua adanya.

Keadilan dan seorang raja. Ibarat suatu kelahiran berkembar. Keadilan juga menjadi pokok intipati Taj as-Salatin. Keadilan juga menjadi akar yang utuh bagi setiap pemerintahan raja–raja yang terdahulu di Mandala Mewangi. Keadilan bukan sahaja disalurkan kepada rakyat, malah ahli keluarga juga termasuk anak-anak raja di mahligai tersebut.

Iya… itu yang menjadi musykil pada Raja Rukfas Olya. Keadilan di antara putera dan puteri cintanya. Begitu juga himpitan ajaran Taj al-Salatin yang memeras keadilan dari dalam dirinya. Mahu sahaja dimungkiri kesetiaan keluarganya terhadap kitab itu. Akan tetapi, bagaimana? Jika jalan itu yang dipilih, pasti buruk padahnya, bakal sejuta kawi bisa menimpa.

Seluruh tetangga Mandala Mewangi pasti mengambil kesempatan jika disangka negeri itu mulai kendur pentadbirannya. Rakyat pasti kehilangan rasa percaya kepada raja, yang selama ini berdarah daging dalam diri mereka. Maka tiada pilihan yang lain bagi Raja Rufkas Olya walau tersemat di dadanya rasa bersalah yang hebat.

Qiafah dan firasah. Lenggok tulisan Bukhari al-Jauhari mengenai hal ini pada fasal ke lapan belas dan sembilan belas dalam kitab tersebut telah diulit semalaman. Ada ilmu yang cuba diamalkan oleh Raja Rukfas Olya. Namun prasyarat yang dikemukakan di dalam fasal tersebut sangat melemahkan semangat kepimpinannya, sekaligus menggetarkan pegangan keadilannya.

Walhal sudah disepakati bahawa Putera Biltaz Runi bakal menduduki takhta setelah kewafatan dirinya. Namun qiafah dan firasah yang diajarkan oleh kitab ulung tersebut menyatakan sesuatu petanda yang buruk! Walau masih awal untuk perkara ini dibahaskan, ternyata penangguhan perbicaraannya mengundang gundah di dalam diri Raja Rukfas Olya.

Dari paras dan cara puteranya, menurut kitab Taj as-Salatin, pemuda itu tidak pantas menduduki takhta. Pancapersada itu perlukan seorang imam yang mempunyai keperibadian yang indah. Tidak dikatakan bahawa puteranya itu nihil istimewanya, namun mungkin benar tunjuk ajar dari kitab pegangan raja-raja Mandala Mewangi.

Dari segi qiafah, kepala Putera Biltaz Runi yang kecil menandakan kurang budi dan bicara. Adapun matanya yang terlalu biru, yang menjadi pujaan bondanya sejak putera itu kecil lagi, menandakan kecelaan yang bakal menimpa pada dirinya. Putera Mandala Mewangi itu juga punya dada yang bidang. Walau dari hemah para memanda menteri bahawa itu menambahkan keindahan dari susuk tubuh puteranya itu, namun menurut kitab agam tersebut, itu adalah tanda alpa dan malas.

Iya… bagaimana Raja Rukfas Olya mampu menyerahkan tampuk pemerintahannya kepada seorang raja yang dari awalnya sudah terserlah kekurangannya? Sekian sahaja fikirannya mengenai putera kasihnya, muncul Permaisuri Chempaka Sri bersama seorang mandera perwara di kamar pustaka. Permaisuri membaling senyum lalu membisikkan sesuatu pada dayang yang menemaninya dan akhirnya mereka dibiar berdua di kamar tersebut.

Permaisuri Chempaka Sri berlalu, berarah kepada kekanda imamnya. “Mengapa kekanda bermuram durja seusai berbicara bersama jemaah menteri tadi? Ada sesuatu yang memusykilkan kekanda, bukan? Sabdakanlah kepada adinda agar penawarnya mudah disegera.” Rautnya bertindih ayu bersama selendang sutera yang lembut diusik bayu degil menyisip lewat jendela kamar tersebut. Hal itu diperhatikan oleh Raja Rukfas Olya. Begitu indah kiranya permaisuri istana itu.

Mahu dikhabarkan gulana hati pada wanita di hadapannya itu. Entah mengapa, diusir sahaja niatnya itu pergi. Tidak mahu dibiarkan wanita suci itu juga berdurja dengan masalah yang melanda pemerintahan Mandala Mewangi. Aduh… ternyata masalah itu terlalu berat itu dipikul sendirian. Mahu ditumpahkan air jernih dari kelopak mata, namun ditahan erat agar jangan sampai tertitis.

Permasuri Chempaka Sri menangkap murung dari wajah raja sukmanya. Masalah yang dikunci kelihatan mahu sahaja tersembur keluar, namun wanita itu pasti ianya dibendung kemas oleh jiwa raja itu. Perlahan, ia tahu membujuk lelaki itu. “Kekanda kekasih, sampai bilakah kekanda mahu berdiam diri? Laksana pawana yang menderu, akan adinda segera berkirim kesatria untuk mencari penawar walangnya. Tetapi… kisahkanlah dengan jelas, wahai kekanda Raja Rukfas Olya.”

“Adinda…” mula Raja Rukfas Olya agak bergetar nadanya. “Maafkan kekanda kerana merungsingkan adinda. Walang ini tiada ubatnya. Adalah puncanya daripada kitab pedoman raja-raja juga iaitu kitab Taj as-Salatin juga. Adinda tahu bukan, kitab itu menjadi panduan kerajaan Mandala Mewangi sejak bertahun-tahun lamanya? Kali ini senjata kerajaan negeri itu terasa sedang memakan diri ini. Keadilan kekanda menjadi taruhan. Bagaimana harus kekanda tabalkan Putera Biltaz Runi sebagai peneraju tampuk pemerintahan setelah kekanda? Tidakkah adinda sedar bahawa qiafahnya bertentangan dengan ajaran kitab pedoman itu?”

Permaisuri cinta itu beribtisam. Halus tambah murni dengan kulitnya yang putih mulus. “Apakah itu yang berdiam di jemala kekanda selama ini?” Raja Rukfas Olya semakin bermusykil. Bukan sahaja itu yang difikirkan, dari segi firasah juga, anakandanya itu punya kemiskinan. Ilmu memanahnya masih lemah, petanda perlindungannya pada negeri juga tidak kuat. Semakin dihalusi, semakin azmat rawan hatinya.

“Kekanda, mengapa kekanda masih berpegang pada adat lama? Qiafah dan firasah tidak mampu diamalkan lagi sekarang ini. Jika kerana wajahnya yang tidak menepati ciri adat lama itu, buruk sungguhkah petandanya?” Jeda. “Baiklah. Adinda mengerti. Memandangkan Putera Biltaz Runi masih hijau usianya, mengapa tidak diangkat Puteri Alwinda Mea, anakanda sulung kita sahaja sebagai pewaris takhta? Selesai bukan pada musykilnya?”

Raja Rukfas Olya bangun sejak dari tadi berkabung di sisi jendela berbingkai perak. Jubah baldunya menyapu kembali marmar kamar pustaka tersebut. Permaisuri Chempaka Sri membiarkan rajanya melayan pendapat yang baru dikemukakan. Kelihatan suaranya diserap dalam-dalam. Adakala fikirannya diterima pakai juga oleh raja Mendala Mewangi itu.

“Adinda asmara dewi, tidakkah adinda mengerti? Ilmu itu mampu diamali pada bila-bila masa pun adinda. Daripada zaman Nabi Sulaiman alaihi salam sehingga kepada zaman hayatnya Imam Syafie. Kitab itu mulia sifatnya. Jelas pula pada fasal kelima dibicarakan tentang syarat utama seorang pemimpin negara adalah laki-laki, bukan perempuan. Mana mungkin kekanda rela membiarkan diri ini disebut-sebut orang sebagai ‘orang yang bebal’? Adinda maklum bukan bahawa raja yang adil itu lawannya raja yang bebal. Bukan sahaja itu melanggar adat, malah ia mencemar keturunan pemerintah Mandala Mewangi.”

Kitab Taj as-Salatin yang sudah lama diperhati, diambil dengan molek oleh Permaisuri Chempaka Sri. Dibukanya fasal kelima pada menyatakan peri pangkat kerajaan dan hukumat dan Sultan dan sebagainya. Benar pada kata Raja Rukfas Olya. Orang yang mampu diperakui kesultanannya hanya jika dia adalah seorang lelaki, bukan wanita. Bermula dengan segala hal yang disabitkan pada wanita itu adalah aurat dan tidak mampu berhadapan dengan jemaah menteri yang pastinya dari laki-laki belaka. Wanita tempatnya di belakang tirai, kurang budinya dan itu tidak layak menjadi seorang raja. Malah kesucian agama Islam sendiri mengisbatkan bahawa raja adalah imam. Maka imam itu haruslah seorang lelaki sehingga tidak dapat imam itu dijadikan pada antara segala perempuan.

Sekali lagi, Permaisuri Chempaka Sri membuang senyum. Perkara itu yang menjerut sukma Raja Rukfas Olya. Ibtisam permaisurinya tidak pernah lekang dari bibir merah itu, walau dalam genting mana masalahnya. Sedang Raja Rukfas Olya terlalu bingung memikirkan sempitnya ruang pilihan miliknya.

Lamunan raja itu terhenti ketika Permaisuri Chempaka Sri menutup kitab itu dengan kerasnya. “Ampun beribu ampun, sembah patik harap diampun. Bukankah tuanku seorang raja yang adil lagi bijaksana di Mandala Mewangi ini? Kitab ini menjadi saksi ketinggian ilmu tuanku. Hanya kerana masalah sekecil ini, tuanku sudah bermuram durja hingga memusykilkan seluruh isi istana? Masalah enteng ini mampu kita selesaikan malam ini juga, wahai raja kerajaan Mandala Mewangi.”

“Aduhai kencana sari, sabdakan penawar tirani yang menyeksa diriku ini. Sudah tidak mampu lagi kekanda menahan panahan sembrani ini. Jelaskan adindaku, jelaskan dengan segera!” Desakan Raja Rukfas Olya disambut senyuman Permaisuri Chempaka Suri sebelum memulakan sabdanya. “Kekanda terlalu bergantung kepada kitab usang ini.”

Jeda antara mereka. “Maafkan adinda wahai kekanda kerana menggunakan kata yang tidak sepatutnya dituturkan kepada kitab yang menjadi sanjungan kerajaan ini. Namun tidak pernahkah kekanda menelaah kitab Bustan as-Salatin? Pada kerajaan ayahanda di negara Dikra Kurnia, kitab tersebut menjadi telaahan setiap puteri istana termasuk adinda sendiri. Kitab tersebut mengangkat kedudukan setiap ratu yang memerintah sesebuah negara, terutamanya Ratu Safiatuddin Taj al-Alam, permaisuri kepada Iskandar Thani. Kerajaannya di Acheh yang makmur menandakan duduk ilmu itu lebih mulia daripada siapa gerangan rajanya. Tidak mahukah kekanda melihat nuansa Ratu Acheh itu yang dihormati oleh setiap manusia di pelusuk nusantara sampai ke negara Benggali Putih, India dan Arab tertumpah pada raut Puteri Alwinda Mea?”

Raja Rukfas Olya masih membisu. Setiap ayapan ilmu yang baru diterima, dicerna perlahan-lahan ke dalam batu jemalanya. Melihatkan beban suaminya sudah mulai meringan, Permaisuri Chempaka Sri menyambung hujahnya, “Atau setidak-tidaknya, tidak mahukah kekanda melihat cahaya citra Saidatina Khadijah bersinar di wajah puteri cinta kekanda? Isteri Rasulullah yang paling dicintai baginda itu merupakan seorang wanita yang berpengaruh disebabkan kekayaan dan kecerdasannya di kalangan bangsa Arab pada zamannya. Masih tidak adilkah kekanda jika mengangkat seorang wanita yang mulia kerana ilmunya sebagai pemimpin negara?”

Raja Rukfas Olya terkesima dengan titah permaisurinya. Tidak pernah difikir sebegitu mendalam mengenai hal demikian. Walaupun dirinya mahukan pewaris takhta laki-laki yang terhormat, tidak salahnya jika dipilih dari kalangan perempuan yang indah juga disifatnya.

“Maafkan kekanda wahai permaisuriku Chempaka Sri. Khilaf kekanda terlalu azmat sebentar tadi. Baru kini kekanda menyedari bahawa keadilan bukan sahaja berpihak pada kekanda sahaja, bahkan keadilan terhadap rakyat adalah yang paling utama. Rakyat berhak memiliki seorang pemimpin yang bijaksana, sedangkan ilmu Putera Biltaz Runi belum mampu mentadbir negeri. Biar Puteri Alwinda Mea yang sudah jauh berguru sahaja melaksanakan tugas berat ini.”

Sekian kali, Permaisuri Chempaka Sri menghadiahkan senyum. “Lalu di manakah letaknya keadilan kekanda sebagai raja Mandala Mewangi yang berpandukan kitab Taj as-Salatin?” Senyuman mula menguntum di wajah Raja Rukfas Olya yang sejak semalaman berfikir tanpa henti. Maka dijawabnya, “Keadilan kekanda adalah untuk memberikan rakyat seorang pemimpin yang berwibawa dan adil, bukan seorang raja yang dipaksa-paksa dan bebal.”
[Qiafah merujuk kepada ilmu mengenai segala tanda yang ada pada sesuatu anggota badan manusia. Sementara firasah pula merujuk kepada ilmu mengenai segala kelakuan sesuatu anggota manusia yang dengan itu perasaan budi dan bicara sampai akan sesuatu erti yang tersembunyi.]



*cerpen ini disiarkan di Berita Harian Singapura pada Ogos 2010 dan di Tunas Cipta Malaysia pada September 2010