Thursday, January 19, 2012

Si Suci Lara, Lari Dari Diri

TERKURUNG. Kata kerja itu cukup lengkap untuk menerangkan siapa saya sebenar. Saya adalah mangsa kurungan. Malah terhimpit di tembok-tembok serba merah ini. Nasib saya terjatuh akibat mempercayai kata-kata seorang lelaki. Ah! Saya yang mencintai lelaki ini. Tanpanya, saya tidak bernyawa. Vice versa sebenarnya!

Kini dia sedang lena. Dengkurnya diselang-seli dengan nafas yang berbau minuman syaitan. Saya sudah lali menghidunya. Kamar gelap ini hanya diisi dengan suara ‘hiuu hiuu’ yang keluar dari mulutnya. Malah bunyi itu lebih nyaring dari kipas angin yang berpusing pantas di atas kepala.

Saya sedih dengan keadaannya yang sebegini.

Adakalanya kesedihan yang saya pikul terasa seperti mahu diekspresikan. Namun bagaimana? Saya dikurung Andy di kamar merah ini. Hanya dirinya yang boleh melangkah keluar dan nikmati nikmat bumi. Walhal saya disuruh menurut ke tempat ini sebagai peneman, pelindung diri. Namun Andy telah membuatkan saya benar-benar bersedih. Ibarat penduduk kelas kedua!

Dia adalah lelaki yang paling saya sayang. Saya rasakan saya harus melakukan sesuatu yang bodoh demi untuk menarik perhatiannya. Biar saya yang sudah lama dipinggirkan, kembali mendapat tempat dalam hidupnya. Ada pada suatu ketika, saya terfikir untuk membunuh diri. Namun Andy dapat menebak, lantas saya dikurung lebih hebat daripada sebelumnya. Rantai besi yang merentang pintu itu adalah bukti kekerasannya. Serta-merta saya dapat mengesani bahawa perasaan sayang itu kian pudar.

“Biar! Biar kau suci di dalam sini!” Andy mengherdik sekali lewat cermin yang terpantul wajahnya sendiri. Saya mengerti lantas membekukan diri. Ini semuanya bukan rencana awal kami! Saya dan dia seharusnya saling melengkapi kerana nyata, kami saling mencintai!

Kasih kami berputik sudah lama. Lebih lama dari apa yang kau sangkakan. Dengan itu, kasih kami payah dilerai. Seandainya ia mampu terlerai, saya adalah yang paling berbahagia. Saya tidak sanggup lagi bersekongkol dengan dirinya yang semakin hancur tambah bobrok.

Sejak kasih kami bertunas, saya melantik diri sendiri untuk menemaninya ke mana sahaja. Andy seorang anak lelaki yang hampir sempurna. Hanya 1% sahaja yang kurang, demi untuk membezakannya dengan Rasul Junjungan, manusia terlengkap di muka bumi. Sejak kecil, dia telah diberi didikan agama yang selengkapnya. Didikan duniawi juga tidak kurang hebat. Jika tidak, mana mungkin dia mampu meraih tempat pertama dalam setiap peperiksaan sejak di sekolah rendah. Oh! Betapa saya berbangga menjadi pendampingnya.

Suara ‘hiuu hiuu’nya terhenti apabila Andy tersedak sebentar. Pasti nafasnya tersekat dek badannya yang tidak terurus. Badannya tidak lagi disalut jubah, tetapi sekadar kemeja T dan seluar tiga-perempat. Size tubuh yang semakin tambun, semakin menjengkelkan. Andy benar-benar hodoh saat ini. Dengan badan yang bercampur-aduk bauan jasad yang memualkan, digauli dengan bau minuman syaitan dan wangian wanita-wanita kelab, Andy bukan lagi insan yang senonoh lahiriahnya. Setiap kali saya melihat dirinya yang semakin jelik, saya terasa mahu mencederakan diri sendiri. Biar kita sama-sama hodoh, sama-sama sakit.

Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang sakit. Dirinya juga sedang sakit. Sakit mental! Kewarasannya dilubangi dengan gerudi pembaratan. Barat yang memualkan. Kerana perkara yang meloyakan itu, maka saya dan dia menjadi entiti yang jelas terpisah, lantas cinta kami tidak mewangi seperti dahulu.

Bersalah menghurung kini. Saya sudah berjanji di hadapan orang tuanya untuk mengawal dirinya. Tawaran yang diterima untuk bekerja di rantauan memang sukar untuk mendapatkan lampu hijau daripada mereka. Maka saya yang memujuk dengan meyakinkan bahawa Andy akan berada dalam jagaan rapi saya. Mereka menyetujui, lantas membenarkan keputusan Andy.

Tembok merah ini seakan-akan bergerak. Semakin menyempit, semakin menghimpit. Sebenarnya saya pernah mengelar diri sendiri. Saya sengaja cederakan diri. Pada saat itu, barulah Andy tahu betapa saya ini amat bernilai dalam hidupnya. Diusapnya wajah saya lembut sambil dinyanyikan senandung agama. Pada saat itu, saya terlupa tentang amarah yang membungkus lantas menghentikan kelakuan bodoh sendiri. Sayangnya, pujukan itu hanya topeng yang membianglala pandangan saya.

Pada saat itu, saya yang berfikiran bahawa tindakan itu melangkau kewarasan. Saya yang terlalu beremosi. Dia masih mengingati saya, cuma terpengaruh dek akal yang ‘terlalu bijak’. Walaupun saya tidak memiliki sebarang gulungan ijazah, saya tetap berperasaan. Malah pasti benar saya penuh dengan perasaan. Hanya dia yang sudah meluat barangkali dan kerana itu, dia memilih untuk menjauh.

Jangan salahkan saya! Ini kerana pada asalnya, dia seorang yang masih 99% sempurna. Kedatangannya ke mandala penuh salji ini adalah tujuan dakwah. Oh, sungguh murni sekali! Saya masih ingat dia berkopiah yang lebih putih dari salji di luar jendela itu. Dia sering mendendangkan puji-pujian kepada Yang Maha Esa, lantas ruang merah ini pernah bertukar rona. Merah jambu. Cantik betul saat itu. Saya adalah yang tertenang di dalam dunia ini.

Namun saban hari, dirinya berubah. Irama kudus semakin mengering di bibirnya. Solat dalam seminggu juga sudah boleh dihitung jari. Saya pernah menegur, namun dijeling dengan anak mata yang paling bersembilu. Pedih sekali. Maklumlah, saya tidak pernah keluar dari ruang merah ini. Teman sembang saya hanya dirinya yang semakin hari semakin bisu. Kehadiran saya ke mari juga cuma berbekalkan cinta yang kuat terhadapnya.

Airmata Disember semakin menyucikan bumi di luar kamar. Saya teringat keriangan yang pernah kami lalui bersama sejak kaki berpijak di bumi orang kulit pucat ini. Saat pertama kali kami tiba ke sini, Andy sentiasa membisikkan kata-kata pujian buat yang Maha Kuasa pada saya. Dia kerap bertanya pendapat saya tentang segala hal, dan pada setiap kali itu juga, kata-kata saya yang dituruti. Apakan tidak, saya sentiasa mengingatkannya tentang kasih orang tuanya yang jauh di mata. Pada waktu itu, pasti dia akan tersenyum dan membisikkan, “Terima kasih, cahaya hatiku.”

Betapa sedihnya saya apabila mengenangkan kesucian kamar ini sudah lama tercemar dengan tingkah busuk Andy. Kini saya betul-betul sudah jauh hati. Andy lebih mementingkan orang luar daripada saya yang lebih dekat dengan dirinya.

Ada pada suatu ketika, dia menyiram kamar ini dengan sejenis minuman yang agak asing bagi saya pada mulanya. Saya sangkakan dia sudah gila atau terlalu kacau dengan tekanan di tempat kerja. Namun apabila ditanya, dikatakan dia sengaja mahu merasa nikmat iblis. Teman-teman yang lain juga pernah mencuba dan responnya hanya satu; mempesonakan. Walhal kamar ini jadi masam dan baunya masih terlekat hingga ke hari ini.

Sekali itu pula, kepulangannya dari entah mana beserta jambangan bunga. Indah-indah belaka. Saya menjadi begitu teruja dan terlupa pada layanan yang semakin kering diberikan kepada diri ini. Apabila disoal tentang acara pada hari itu, dia malu-malu dalam gembira. Saya mencuitnya hingga terpantul daripada geseran bibir bahawa bebunga itu adalah hasil dari duit yang dipertaruhkan. Katanya, seronok apabila bermain wang bersama rakan-rakan.

Kesedihan itu masih membekas hingga ke hari ini. Dan malam ini, tanpa mempedulikan saya benar-benar terluka, dia sudah membawa pulang seorang wanita. Mereka berasmara ibarat saya tiada di sini! Lupakah dirinya bahawa saya sentiasa mendampinginya? Saya terlalu dekat dengannya!

Saya betul-betul sudah tidak betah tinggal di sini. Ruang merah ini semakin tidak elok untuk didiami. Jika saya cakar dinding-dinding yang mengurung ini, mungkin saya punya peluang untuk melepaskan diri. Bebas dan berlari! Iya, saya akan cuba. Biar dia terseksa sebagaimana saya sudah puas diseksa. Kalau boleh, saya mahu membunuh Andy.

Namun itu semua tidak mungkin. Atau mungkinkah? Sudah bersediakah saya untuk berkorban demi rohnya? Sebagai organ yang berperasaan, kematian Andy pastinya berpunca daripada saya. Tanpa saya, Andy adalah jasad kaku, sebuah bangkai. Hakikatnya, Andy sudah lama mati. Saya yang bernama kalbu milik pemuda bernama Andy sudah lama mati! Degup hatinya ini bakal berhenti! Maka kini, saya nekad. Noktah.

* * *

Suara ‘hiuu hiuu’ Andy terhenti secara tiba-tiba. Lenanya diganggu sesuatu yang diluar jangkaan. Jantungnya terlalu sakit hingga terasa nafasnya menjadi sesak. Dia cuba mengurut dadanya sendiri sambil cuba mencuri-curi nafas yang semakin menjauh daripada raga. Hiruk-pikuknya membuatkan gadis yang hanya berbaju selimut di sebelah terjaga dari tidur. Perempuan Hispanic itu terlalu cemas untuk membantu lantas segera mencapai baju-bajunya yang berselerakan di lantai bilik hotel murah itu. Andy masih termengah-mengah. Tiba-tiba dia menjadi kaku. Tinggallah bunyi kipas siling sahaja yang giat berputar.




*Cerpen ini disiarkan di Berita Minggu Singapura pada 18 Disember 2011. Karya penutup tahun yang paling indah*

Friday, January 13, 2012

Janji

SUASANA tenang di Tanjung Pura diganggu dengan kehadiran susuk itu. Mata yang galak menakutkan setiap orang hingga tiada yang berani menghentikan langkahnya. Gaya pula tidak seperti orang tempatan, menambahkan lagi curiga di kalangan mereka di sekeliling. Maranya terlalu keras dan berani. Seolah-olah ada sesuatu yang harus diselesaikan.

Gadis itu terus maju ke hadapan, membiarkan orang lain melihat dengan penuh tanda tanya. Arah tujunya cuma satu, istana. Di situ ada jawapan segala persoalan yang bermain di benak. Namun gagah langkahnya tidak pula pantas. Ada sesuatu yang menghalang dan semua orang di sekeliling itu tahu.

Ada bekas darah pada kainnya. Bekas yang terlalu besar dan banyak hingga kain berwarna kuning yang dipakai bertukar menjadi jingga. Langkahnya juga terhincut-hincut. Terdengar dari sesetengah kaul mengatakan dia seorang gila meroyan. Ada pula yang berbisik itu bukti seorang gadis yang tercemar kesuciannya. Juga terdengar ada yang memekik ‘Ada hantu yang laparkan darah!’

Dia tetap memekakkan telinga. Tujuannya mengembara merentas waras bukan untuk menghebohkan keadaan. Dia harus segera ke istana. Biar dengan keadaan sebegitu. Ini adalah bukti ketidakadilan dan betapa dia tidak dapat menerima hakikat. Kelana merentas adat masa itu juga membolehkannya menarik sehelai pelepah kelapa di sisi. Bukan pelepah itu menjadi persoalan. Pokoknya, ada sosok yang berbaring lemah pada pelepah tersebut. Sekali lagi, semua yang melihat bertambah sepi kerana takut menerima nasib yang sama seperti pemuda malang itu.

Bersusah payah dia mengharung waktu untuk bertemu dengan pemuda tersebut. Mahunya cuma penjelasan. Sewaktu lelaki itu kelu dan terkejut, dia terpaksa memukul kepalanya dengan batang kayu. Hanya itu sahaja caranya untuk menarik orang yang biadab itu bersama-samanya mendengar dan menerima hukum.

Pemuda itu masih diam. Ada bibit khuatir di benak gadis itu. Tidak mahu Yang Tertuduh terus terlena hingga masuk ke alam selanjutnya. Susah untuk dia menyedarkan pemuda itu jika ia benar-benar terjadi. Dan jika ia benar-benar terjadi, kasusnya menjadi semakin berat. Tidak! Perkara ini harus selesai dengan segera. Demi nama baik keluarganya yang sudah hancur remuk.

Sekelumit sorak terbit di hatinya apabila terlihat sebuah binaan besar lagi cantik tidak jauh di hadapan mata. Walau masih terdengar-dengar beberapa suara menghalang dan menghentam, tekadnya yang bulat memekakkannya dari segala lemparan nista. Batang kayu yang meragut kesedaran pemuda di tepinya sentiasa dipegang kuat, buat senjata bagi sesiapa yang berani ke hadapannya. Mahligai yang tersergam, yang semakin menghampir itu menjadikan pelepah yang dari tadi ditariknya terasa ringan. Mungkin kerana semangat ayahnya datang membantu, demi nama keluarga mereka.

Di gerbang istana mega itu, beberapa hulubalang cuba menghentikan langkah gadis itu. Disebabkan ketegarannya hingga sanggup merentas waras, menjadikan dirinya seolah-olah lutsinar. Tiada suatu apapun yang dapat menyentuh srikandi tersebut. Lembing dan tombak terus-menerus mencucuk perutnya tetapi tiada apa yang berlaku. Pada mulanya, disangka kerana darah di badan sudah puas berhabisan akibat peristiwa kejahilan rajanya. Namun setelah lama, disedari bahawa tiada sekelumit pedih pun hinggap pada tubuh saat senjata istana itu terus-menerus menyerang.

“Aku mahu ke dalam!” Gempita. Suara keras gadis itu mendobrak kelelakian pemuda-pemuda di hadapan. Rupa-rupanya ada perasaan takut pada hulubalang yang menyerang bertubi-tubi tadi. Serba salah menguasai diri orang suruhan raja semuanya. Akhirnya salah satu berpamitan, mengalah untuk mengkhabarkan pada raja mereka.

Pergi si hulubalang, tinggal yang lain memandang perempuan itu dengan seribu curiga. Baru mereka menyedari bahawa ada seorang pemuda yang berdarah di dahi di samping perempuan itu. Kaki mahu melangkah membantu, namun pantas wanita itu membuka pencak. Walaupun sumbang, mata tajamnya cukup mewakili langkah yang bakal diambil jika ada yang berani menggangu.

Pemuda itu nampak kembali sedar. Puas dirinya meraih simpati daripada para hulubalang, apakan daya mereka juga terperangkap dengan mata perempuan itu. Lelaki muda itu juga sebenarnya terperangkap. Tangan dan kakinya terlebih dahulu sudah diikat dengan akar rotan oleh gadis itu. Beberapa ketika kemudian, kembali hulubalang yang menyampaikan pesan pada rajanya. Diizinkan kededua hamba itu masuk dengan berat hati.

“Jika demikian kiranya, biarlah patik pulang dahulu, mengkhabarkan perkara ini pada keluarga patik.” Terdengar gema dari ruang balai penghadapan. Serta-merta gadis itu mempercepatkan langkah. Pelepah kelapa ditinggalkan, lalu ditarik rambut pemuda di samping agar dapat menandingi kelajuan kakinya. Mereka harus pantas. Jika tidak, sia-sia kembara gadis itu selama ini. Ayahnya pasti kecewa apabila mereka bertemu nanti.

“Tunggu dahulu!” Tempik perempuan itu tanpa hormat seraya tiba di hujung balai penghadapan. Segera juga si hulubalang yang mengiring melepaskan hentakan pada bahu gadis tersebut. “Jangan pukul dirinya! Biarkan dia ke hadapan. Paman, tunggu dahulu. Hamba mahu paman bersama hamba mendengar rintihan, hamba rakyat ini.” Lelaki yang dimaksudkan itu segera kembali ke tempat duduk demi menurut perintah rajanya.

“Daulat tuanku patik berdatang sembah. Kedatangan hamba adalah berkenaan dengan perjanjian tuanku dan paman Demang Lebar Daun sebentar tadi.” Terbit segunug hairan pada raja yang bergelar Seri Teri Buana itu. Mana mungkin perbicaraan antaranya dan pamannya yang baru berlangsung beberapa ketika yang lalu didengari oleh orang lain. Kehairanannya dikongsi sama oleh susuk di hadapannya yang bergelar Demang Lebar Daun.

Namun yang memikul kebingungan yang paling azmat adalah pemuda yang berdarah di dahi. Seakan tidak percaya, dua lelaki yang dihadapannya sudah pasti individu yang menggerakkan karyanya selama ini. Mereka berdua menjadi punca segala kekecohan yang berlaku di dalam riwayat raja dan rakyat Melayu di kemudian hari. Tidak kurang pentingnya kedua-dua insan ini yang mencorakkan cara hidup orang Melayu di dalam sejarah.

“Ampunkan patik tuanku,” rafakan sembah daripada Demang Lebar Daun menunjukkan bahawa beliau juga sudah tertarik dengan sembah gadis tersebut. “Wahai anak perempuan, siapa geranganmu dan apakah hajatmu yang sebenar? Jangan terus berkisah sebegini kabur. Kami punya acara lain iaitu mempersiapkan majlis buat baginda Seri Teri Buana.” Hujah lelaki itu disambut dengan senyuman sinis gadis tersebut. Dia mahu segalanya terungkai dengan segera sepertimana hajatnya lelaki tersebut.

“Ampun tuanku, nama hamba Cendana, anak perempuan Sang Rajuna Tapa. Hamba berdatang sembah kerana kejadian yang menimpa hamba serta seisi rakyat negeri Singapura yang tidak berkesudahan ditimpa musibah. Semuanya berpunca daripada sumpah setia yang disepakati antara tuanku dan paman Demang Lebar Daun.” Sekali lagi, pemuda di sisinya tersentak kuat. Entah kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu dirasakan sebagai satu kejutan atau kekaguman. Jauh benar rasanya jasadnya merentas waras.

“Lalu apa kaitannya hamba serta paman di dalam masalah tuan hamba? Adakah kami punya jawabnya? Ataupun kedatangan tuan hamba sekadar untuk membuat onar di Tanjung Pura ini?” Tikaman soalan bertalu-talu terlepas dari Seri Teri Buana. Musykilnya yang pertama belum terjawab, ditambah pula dengan hujah baru gadis bernama Cendana ini.

“Ampun tuanku, ada kiranya mungkin ini ketikanya patik berdatang sembah, buat membantu menjelaskan keadaan.” Kudrat pemuda itu yang sudah mulai pulih dikutip sedikit demi sedikit. Dia dapat rasakan bahawa masalah yang berada di hadapan matanya punya kaitan dengan dirinya. Lagi pula, ini ’kan ibarat sebuah pertemuan dengan watak-watak utama di dalam tulisannya?

Setelah diperkenankan oleh Seri Teri Buana, pemuda itu pun menyambung bicaranya, “Baru sekarang hamba faham mengapa hamba ditarik sama oleh gadis ini. Jika benar pada firasat hamba, Cendana ini adalah anak gadis Sang Rajuna Tapa yang dihukum sula akibat fitnah daripada gundik- gundik Raja Iskandar Syah, Raja Singapura. Malang, hukumannya pula dilaksanakan di khalayak ramai…” Ada sekelumit sesal dan berat bagi pemuda iu menyampaikan kisah tersebut. Namun demi kepentingan semua, hal ini harus dibicarakan agar mereka tidak menyuluh di dalam mendengar cerita gelap selanjutnya.

“Lalu apa kaitannya hamba dan paman ini dengan masalah tuan hamba berdua? Sila jelaskan dari awal agar hamba berdua tidak terus tertanya-tanya” Puncak kesabarannya sudah hampir didobrak oleh kedua-dua insan yang berdiri di hadapannya ini. Demang Lebar Daun juga sudah panas punggung kerana diam di situ. Niat untuk mengkhabarkan berita gembira pada keluarganya terus melayang-layang di hadapan matanya.

Baru pemuda berdarah di dahi itu tersedar akan keterlanjurannya hingga terlupa memperjelaskan kedudukan dirinya yang sebenar. “Maafkan hamba, tuanku. Adalah sebenarnya hamba berdua datang daripada masa hadapan. Cendana ini hidup setelah salah sebuah negeri Melayu bernama Singapura diserang ikan todak. Sementara hamba fakir pula hidup jauh terkemudian lalu ditugaskan oleh raja hamba Sultan Abdullah Ma’ayah Syah untuk menyuratkan seluruh hikayat raja-raja Melayu, bermula dengan asal usul keturunan Melayu dari Sultan Iskandar Zulkarnain hingga kepada Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah. Maka dengan sebab itu juga hamba mampu mengetahui segala apa yang telah berlaku sejak saat ini sampai apa yang berlaku pada zaman hamba. Nama hamba Tun Muhammad, bergelar Tun Seri Lanang.”

“Sebentar…” Seri Teri Buana nampaknya sudah terpikat pada cerita Tun Seri Lanang tadi. Tiba-tiba pula senyum memekar di wajah gadis bernama Cendana tersebut. Sebuah senyuman mengagakkan sesuatu. “Bicara kamu melanggar batas kewarasan. Susah bagi hamba mempercayainya. Buktikan dahulu bahawa benar kamu tahu tentang hamba sebelum kita teruskan bicara lagi.” Tidak perlu berlama masa, Tun Seri Lanang mula berkisah. Segera diulang kembali di hadapan kedua-dua insan Tanjung Pura itu tentang sebab musabab pertemuan mereka berdua pada hari itu adalah kerana kemasyghulan Seri Teri Buana yang mahukan anak Demang Lebar Daun. Ketergesaan paman Demang Lebar Daun juga mahu menguruskan majlis pernikahan antara Seri Teri Buana dengan anaknya.

Walaupun muncul sekelumit hairan berganda marah kerana rahsia mereka diketahui, kedua-dua lelaki yang molek pakaiannya itu tetap akur tentang kehebatan pemuda bernama Tun Seri Lanang tersebut. “Bukan sahaja itu, hamba juga tahu bahawa dengan waad yang termeterai sebentar tadi, ia banyak membentuk sejarah raja dan hamba Melayu dan Cendana ini juga menerima padah akibat waad tersebut. Padah akibat Raja Singapura yang memberi aib pada hamba Melayu.”
“Kamu cuba katakan bahawa anak cucu hamba telah memberi aib kepada hamba Melayu? Anak cucu hamba telah melanggar waad yang telah hamba lakukan ini?” Tanpa merafak sembah, Cendana lekas mencelah demi melihat peluang baginya melepaskan amarah. “Benar tuanku. Bukankah telah dinyatakan bahawa hamba ini dihukum oleh raja hamba di khalayak ramai? Lupakah tuanku bahawa waad sebentar tadi menyatakan bahawa keturunan tuanku tidak dibenarkan memberi aib kepada hamba Melayu. Nah! Itulah yang terjadi pada hamba!”

Suasana sepi sebentar. Masing-masing cuba mencatur hujah dan pendapat. Beberapa ketika kemudian, Demang Lebar Daun menyuarakan fikrahnya, “Lantas adakah rajamu tidak mendapat hukuman?” Cendana tersenyum sebelum menyambung kisah. “Negeri Singapura telah dialahkan oleh angkatan tentera Majapahit. Itu juga kerana ayah hamba yang membuka pintu kota pada malam hari. Akibatnya, lasykar Jawa berjaya menumbangkan kerajaan Singapura. Ini tiada hamba persoalkan kerana hamba sedar bahawa ayah hamba sekadar menuntut bela. Namun mengapa setelah itu, ayah hamba juga dihukum hingga maut bersama ibu hamba? Adilkah waad jika sebegini jadinya?”

“Kerana Sang Rajuna Tapa menderhaka kepada raja Singapura.” Perlahan tetapi jelas sekali suara Tun Seri Lanang. Bergelodak amarah Cendana mendengar bisikan pemuda itu. Mahu dipukul lagi kepalanya, namun pantas dihalang oleh Demang Lebar Daun. Seraya itu, Seri Teri Buana melepaskan pendapat, “Maksud kamu, ayah dan ibu kamu bertemu ajal kerana memungkiri Sultan? Tiada salahnya di situ. Lantas mengapa kamu terlalu berang hingga sampai ke mari?”

“Patik pacal yang hina hanya mahukan keadilan. Raja menghukum patik tanpa usul periksa. Justeru ayah patik membalas perbuatan raja yang tiada kemanusiaan itu dengan menggulungkan takhta baginda. Namun ayah patik juga dihukum buana walaupun dia menegakkan keadilan. Persoalannya, perlukah ayah patik dihukum? Ternyata waad ini berat sebelah! Oleh itu, patik harapkan agar waad yang dimeterai tadi dibubarkan demi nasib sekalian raja-raja dan hamba-hamba Melayu di kemudian hari. Biar yang adil terus berdiri, yang zalim jatuh dan mundur!”

Serta-merta juga Tun Seri Lanang datang menyampuk, lupa pada menghormati raja di hadapan mata. “Ada baiknya jikalau tuanku tiada mengapa-apakan waad tersebut. Kerana tanpa waad, maka sejarah Melayu terus bercorak. Harus hamba akui bahawa bukan Cendana sekeluarga sahaja yang menghadapi petaka waad tersebut, ramai lagi tokoh-tokoh hebat tersepit kerana waad. Namun siapalah umat Melayu dikemudian hari tanpa sejarah hari ini?”

Sekali lagi, sunyi menghurung balairung seri tersebut. Keempat-empat individu tunduk bertafakur. Setiap daripada mereka cuba mencari jalan penyelesaian, cuba mencari keadilan. Tidak beberapa lama kemudian, kembali seorang hulubalang istana beserta keris di tangannya. Seraya merafak sembah, hulubalang itu menyampaikan pesan dari yang diluar, “Ampun tuanku Seri Teri Buana, ada dua orang pendekar sedang menanti di luar. Khabarnya mahu menuntut keadilan.”

Bingung melanda raja dan bendahara Tanjung Pura tersebut. Manakan mungkin negeri seaman itu masih ada yang menuntut keadilan. “Wahai hulubalang, siapakah gerangan pendekar tersebut? Tiada aman lagikah negeri Tanjung Pura ini?” Hulubalang tadi menjawab dengan keluhan yang berat. “Daripada pengamatan patik, mereka bukanlah rakyat negeri ini tuanku. Lihat sahaja pada keris miliknya ini,”

Lalu keris emas itu disambut oleh Demang Lebar Daun dengan penuh debar. Ada semacam keistimewaan yang bergegar dari senjata Melayu tersebut. Sebaik sahaja keris itu diangkat, alangkah terkejutnya Tun Seri Lanang. Hanya dua kekata yang terbit dari bibirnya, yang merungkai segala kemungkinan yang bermaharajalela. “Taming Sari!”








*Cepen ini disiarkan di Berita Minggu Singapura pada Februari 2011*