Tuesday, April 1, 2014

Bila Bayangan Berbisik

Cerpen Dewan Siswa Januari 2009

Oleh Siti Aisyah binte Mohamed Salim

CHEM perlukan masa untuk bersendirian. Peristiwa semalam masih mekar di ingatannya. Andy. Chem begitu rindu untuk menyebut nama itu. Namun api kemarahan terhadap peristiwa semalam meranapkan kasmaran yang melitupi hati. Andy benar-benar melampau. Semua lelaki sama sahaja; membikin janji semata-mata untuk memungkirinya.

Kau yakin bahawa Andy benar-benar telah menduakanmu kerana dia seorang lelaki, atau kerana dia seperti semua orang yang di sekeliling, yang sudah bosan dengan telatahmu lalu menyakiti hatimu? Hati kembali berkata-kata. Chem muak untuk melayan suara tersebut. Oleh kerana kebosanan, Chem melakukan tawaf di sekitar kamarnya.


Andai dia boleh menyepak mulut yang mengeluarkan suara itu, sudah lama Chem melakukannya. Kau berani untuk menampar aku? Sergah suara hati. Siapa engkau? Tanpa aku, engkau kesunyian! Aku yang selama ini menemani ketika engkau muram. Malah mamamu juga meminggirkan engkau daripada hidupnya.

                                                                        *          *          *

            “Sudah Chem. Sudah beberapa kali mama lihat kamu membersihkan bangku ini daripada daun kering. Bangku ini sudah bersih. Cukuplah, penat mama lihat kamu.” Dengus Mama menutup bicara. Chem masih tidak peduli dengan kata-kata Mama. Dibiarkan sahaja Mama membebel sementara dia asyik mengebas daun-daun kering yang boleh dikatakan sudah tiada di atas bangku.

            Chem terpaksa melakukan hal yang sedemikian. Jika tidak, dia akan merasa tidak selesa sepanjang punggungnya berada di atas bangku taman perumahan itu. Mama benar-benar kesal dengan tingkah Chem. Apatah lagi, tegurannya semakin tidak diambil pusing, bertambah geram menapak di dada.

“Chem! Jangan buat perkara sebegitu lagi. Bosan mama nasihatkan. Bukan sekali dua mama bilang. Sudah berkali-kali. Chem buka-tutup pintu tingkap, Chem basuh semula sudu garpu yang mama sudah cuci, Chem buat perkara-perkara yang mengarut. Jangan sampai ada yang katakan anak Puan Azira seorang yang sakit mental. Gila!” Keras sekali teguran Mama kali ini, tidak seperti selalu. Chem begitu terkesan dengan ucapan Mama sebentar tadi. Kepulangannya ke asrama pada petang itu langsung tidak membawa apa-apa kenangan indah bersama Mama.

*          *          *

Hati: Masih menafikan bahawa engkau berpenyakit mental? Gila?
Chem: Ah, bodoh. Engkau terpengaruh dengan kata-kata mama dahulu. Aku tidak sakit! Aku masih siuman. Jika tidak masakan aku di menara gading sekarang ini?

Hati: Jika demikian, mengapa engkau masih melakukan hal yang sama? Satu soalan untukmu; engkau tidak penat dengan telatahmu yang suka mengulangi perbuatan yang sama?

Chem: Tidak. Aku tidak pernah merasa penat, malah aku begitu berpuas hati kerana sekurang-kurangnya aku tahu diri ini terlindung daripada bahaya kuman dan penyakit yang semakin bercambah jumlah pertumbuhannya.

Hati: Cukuplah Chem. Engkau pasti dengan kenyataanmu? Haha... engkau lupa bahawa manusia tidak pernah dapat menipu perasaannya sendiri? Engkau lupa siapa gerangan aku sebenarnya?

Chem: Jadi jika sudah engkau tahu, mengapa lagi mahu bertanya?

Hati: Sengaja. Tanpa sebab. Jika sudah engkau merasa penat, mengapa masih meneruskan pekerjaanmu yang sia-sia?

Chem: Engkau ini pengacau! Terpulang pada aku sama ada mahu meneruskannya atau tidak.
Hati: Siapa kata aku suka? Lihat sahaja perbuatanmu. Engkau juga kehilangan Andy akibat tabiat bodohmu.

*          *          *

Andy berjalan begitu pantas ke kafé. Tercungap-cungap juga Chem mengejar. Akhirnya dapat juga dia menarik lengan baju teman lelakinya. Sebaik sahaja ditegur begitu, Andy terpaksa menghentikan langkah.

“Saya hendak katakan sesuatu.” Seluruh isi kafé menjadi saksi sidang yang berlangsung antara pasangan ideal universiti tersebut. Andy masih kelu untuk membalas kata. Walau dapat mengagak tentang hukuman yang bakal dijatuhkan oleh hakim di hadapannya, dia masih berlagak santai. Gayanya umpama menyimbah minyak di atas api amarah dalam diri Chem.

“Awak fikir saya tidak nampak awak bersama Sta semalam?” Hanya soalan itu sahaja yang mampu keluar dari geseran bibir Chem. Andy pula masih membisu. Di jemalanya mencongak kata yang paling sesuai untuk meredakan api kemarahan teman istimewanya.

Andy sedar ahli kafé itu sedang memerhatikan mereka berdua. Dengan pantas dia menarik Chem ke sebuah pojok yang agak tersembunyi. Chem yang masih lagi menanti jawapan balas dari Andy, hanya menurut.

“Kami berdua hanya keluar bersama untuk menghabiskan tugasan berkumpulan. Kenapa? Saya tidak nampak mana salahnya.” Mata Andy masih melilau, berjaga-jaga supaya perbalahan mereka tidak kedengaran oleh pelajar lain. “Tidak perlu salah sangka.”

Chem hanya mampu menjeling Andy, sudah puas dia mendengar alasan cliché. Tanpa diduga, muncul Rat, salah seorang teman mereka. Memang tujuan Rat adalah mencari Chem untuk memberikan alat tulis yang dikirimnya sebentar tadi. Kali ini Andy pula yang menghadiahkan jelingan kepada Chem. Tidak suka benar dia jika ada orang luar muncul tika mereka sedang bertengkar. “Maaf Chem, Andy. Ini dia fail yang engkau kirim dari aku, Chem. Engkau berhutang denganku 80 sen.” Rat masih lagi tercungap-cungap. Mungkin kerana dia baru sahaja berlari.

Chem pun dengan pantas mengeluarkan beberapa keping syiling untuk melangsaikan hutangnya. Setelah meletakkan beberapa keping duit syiling di telapak tangan, dia mengira berulang-ulang kali untuk memastikan jumlah yang diberikan itu tepat. Andy hanya merenung tajam pada perlakuan Chem. Mulutnya ditahan untuk mengeluarkan kata marah.

“Tidak apa Chem. Aku yakin engkau kira dengan tepat. Jika hendak tunggu engkau mengiranya sampai 100 kali, lambat juga aku sampai ke kelas nanti. Terima kasih ya.” Rat melemparkan ‘ciuman terbang’ tanpa rasa bersalah kepada kedua orang sahabatnya dan beredar dari tempat itu.

“Seronok mengulang perbuatan awak?” Ayat Andy ringkas. Chem semakin meluat bila dia dapat mengagak bahawa Andy cuba mengubah judul perbualan. “Awak cuba lari dari mauduk perdebatan kita?” Ayat Chem pula yang ringkas kali ini. Andy membalas dengan kerlingan.

“Awak tahu, kerana tingkah awak yang sebegini yang buat saya rimas dengan awak? Awak bukan lagi Chem yang saya kenal. Chem dahulu adalah seorang yang mendengar kata apabila saya menegur.” Chem dilupakan sebentar tentang judul perdebatan yang awal, digantikan dengan tajuk yang baru.

“Awak fikir saya tidak cuba membuang tabiat ini? Saya sudah cuba beberapa kali. Tetapi dengan adanya orang di sekeliling yang tidak memberi dorongan seperti awak, saya akan terus bertambah sakit!” Puas Chem melontarkan kemarahannya pada Andy. “Maka awak salahkan saya?” Chem menjeling tajam. Bosan juga bertengkar tanpa penyelesaian.

Pergaduhan semalam masih lagi hijau di ingatannya. Chem begitu bosan dengan keadaan mereka yang di sekeliling yang hanya tahu menegur, tetapi tidak membantu. Mama dan Andy sama sahaja.

Obsessive compulsive disorder atau OCD adalah sejenis penyakit mental yang membuatkan seseorang itu yang tidak dapat berhenti daripada memikirkan sesuatu yang negatif akan berlaku. Ia membuatkan seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan berulang kali untuk menyenangkan hati daripada terus runsing tentang sesuatu perkara. Perbuatan mereka ini dinamakan ritual. Kebiasaannya mereka yang menghadapi penyakit ini adalah mereka yang ‘cintakan kesempurnaan’. Hey Chem… bukankah ini semua sinonim dengan situasi diri engkau? Hahaha.”


Chem akui, jika dirinya mampu lari dari suara hati sendiri, sudah lama dia akan lakukan perkara sebegitu. Suara hatinya sudah melampau. “Engkau sedar atau tidak, bahawa engkau telah menyakiti dirimu sendiri? Engkau telah menyakitkan hatiku!” Hendak atau tidak, Chem terpaksa bersuara demi menghentikan hatinya dari terus berucap.

“Aku tahu Chem. Namun aku berpuas hati. Aku dapat mengingatkan engkau tentang situasi dirimu sekarang. Apa yang engkau inginkan sebenarnya? Setelah semua yang engkau kasihi lari dari dirimu, engkau sudah tidak punya apa-apa. Jadi apa  sebenarnya yang engkau mahu?” Chem mundar-mandir di dalam kamar kecil itu, merangka jawapan yang ringkas dan padat.

“Engkau tahu Chem,” suara hati kembali menyambung pembicaraan, “Mama sudah memiliki Encik Al. Bila-bila masa sahaja dia dapat hidup bersama dengan lelaki korporat itu dan membina kehidupan yang baru. Andy pula sudah memiliki Sta. Engkau juga akan dibuang dari hidupnya. Akhirnya apa yang engkau ada selain aku?”

Chem sudah mula risau. Benar kata suara hatinya kali ini. Giliran matanya pula yang mentawafi bilik tidurnya sementara akalnya dipaksa memikirkan jalan penyelesaian terbaik. “Engkau ada sebarang buah fikiran, wahai suara hati?”

“Engkau meminta fikrah dari aku? Engkau meminta aku membantumu? Bukankah aku yang dahulunya ‘penyibuk’ di dalam hidup kau?” Dengus Chem memulakan ayatnya, “Jangan mengada-ngada. Kali ini aku memerlukanmu. Bantu aku.”

Suara hati membisu. Chem membisu. Tiba-tiba bilik itu juga bisu. Tiada suatu bunyi pun yang kedengaran. Chem menunggu suara hati memulakan bicara. “Engkau cederakan dirimu sendiri.” Cadangan suara hati agak mengejutkan Chem. Sesuatu perkara yang tidak pernah difikirkan, telah diajukan.

“Untuk apa? Aku hanya menokok sakit pada diri sendiri.”

“Engkau mungkin tidak diendahkan kerana engkau masih mampu berfikir. Apa kata engkau berlakon, berpura-pura hilang kawalan diri hingga sanggup mencederakan diri sendiri? Pasti mereka akan kembali dan memberikan engkau perhatian sepertimana yang diharapkan.” Syarahan suara hati begitu menarik minat Chem.

Memang tiada salahnya tentang apa yang diutarakan. Cuma masalahnya sama ada dia sendiri berani atau tidak untuk melakukan tindakan sedemikian. Dengan pantas matanya terpandang pada sebilah pisau pena di atas meja belajar teman sekamarnya. “Ambil itu. Ambil itu,” pengaruh suara hati.

Pisau pena yang berwarna merah jambu sudah berada di tangan. Chem memanahnya dengan pandangan yang tajam. Yakin, dia akan melakukannya. “Apa lagi, kelar-kelar badanmu. Lagi baik biar sampai berdarah. Biar Andy dan mama cuak.” Suara hati tiba-tiba dilantik sebagai ‘guru’ oleh Chem pada ketika itu.

“Aku mahu kelar di bahagian pergelangan tangan,” balas Chem. Berkeyakinan.  Kali ini suara hati pula yang kehairanan. “Bagaimana jika engkau terkerat nadi dirimu sendiri? Atau sebenarnya engkau mahu membunuh diri?”

“Engkau gila?! Aku masih tahu hukum membunuh diri itu berdosa besar dan kebodohan yang teramat. Aku sekadar mahu mencederakan diriku sendiri, sepertimana nasihatmu sebentar tadi. Jika aku lakukan di bahagian pergelangan tangan, ia menampakkan kesan yang lebih mendalam.” Suara hati membisu. Oleh kerana tiada respon, Chem nekad melangsungkan niatnya.

Tangannya terkelar. Ada cecair merah keluar dari sisi gelang maniknya. Terasa benar sakitnya, namun Chem membiarkan sahaja. “Benar engkau telah mengelar tanganmu? Aku tidak rasa pun. Cuba engkau lakukan sekali lagi.” Chem akur. Cecair merah makin banyak meluncur keluar. Dirinya sudah lemah.

“Sekali lagi Chem! Engkau lakukannya dengan salah tadi. Buat sekali lagi. Kenapa dengan engkau?! Penakut!” Tempelak suara hati terus membangkitkan semangat Chem  bahawa dia harus melakukan lagi.

“Sekali lagi Chem! Buat dengan betul-betul!”

Chem kehilangan kudrat. Pandangannya semakin kelabu. Ingatannya hanya pada Tuhan, mama dan Andy.

“Sekali lagi Chem! Sekali lagi!”


“Sekali lagi!”

*cerpen disiarkan di Dewan Siswa Januari 2009.