Sedang matanya asyik mencari yang
diingini, Munsyi Abdullah terpandang seorang lelaki yang berdiri di laluan
bertentangan, sedang memerhatikan geraknya. Lelaki itu sedang bersandar pada tembok
sesebuah kedai dengan pakaian yang cukup kemas. Diyakini lelaki itu bukan
sembarangan, maka dikumpul keberanian untuk berjumpa dengannya. Apa yang
diharapkan ialah lelaki itu boleh membantu, sekurang-kurangnya menemaninya
mencari kereta kuda.
“Saudara ini Munsyi Abdullah, bukan?” Lelaki yang dimaksudkan itu agak
terkejut kerana disapa sebelum sempat merapati lelaki yang kemas itu. Namun
timbul sekelumit bangga dalam diri kerana jelaslah dirinya kini sudah dikenali
oleh orang tempatan. Munsyi Abdullah tersenyum setuju lalu menunjukkan ibu
jarinya kepada lelaki tersebut tanda berselang soalan. Lelaki tersebut membalas
senyum sebelum menjawab, “Saya Cikgu Hasan. Saya mengajar di salah sebuah
sekolah Arab di Kampung Gelam. Jika tidak menjadi keberatan, saya mahu
berbicara dengan Tuan Munsyi.”
Munsyi Abdullah menjadi curiga dengan kehadiran lelaki di hadapannya.
Adakah dia mahu menyerangnya? Pasti tiada lain kerana tindakannya yang menulis
tentang orang Melayu. Lebih hebat jika serangan itu akibat keputusannya untuk
menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu. Pasti dia akan dikeroyok hingga
mati! Namun melihatkan susuk Cikgu Hasan, Munsyi Abdullah yakin dia seorang
yang berbudi dan panjang akal serta tidak akan menggunakan kekerasan.
“Jika Cikgu ingin berbicara, saya sebenarnya mahu ke tempat Paderi
Claudius. Ada
hal sedikit. Jika Cikgu sudi, kita ke sana
lalu bersambung dengan minum petang bersama.” Sebenarnya ajakan Munsyi Abdullah
itu terlepas dari bibirnya. Dia sendiri tidak menyangka bahawa dia berani
mempelawa lelaki yang baru dikenalinya itu untuk berlama dengannya. “Maaf Tuan
Munsyi. Saya hanya ingin berjumpa dengan Tuan sebenar sahaja. Ada perkara yang ingin saya bincangkan.
Setelah itu, kita boleh sama-sama ke hala tujuan masing-masing.”
Penolakan Cikgu Hasan merupakan suatu kelegaan bagi Munsyi Abdullah. “Jika
demikian, kita berbincang di sini sahaja ya? Saya harus mencari kereta kuda
untuk ke tempat sahabat saya itu.” Raut Cikgu Hasan berubah sebaik sahaja
Munsyi Abdullah menyebut perkataan ‘sahabat’. Daripada senyuman berubah serius.
“Tuan Munsyi, saya sekadar mahu menyampaikan kebimbangan sebilangan orang Melayu
tempatan mengenai kemesraan Tuan dengan orang Inggeris. Kami sangat menghormati
Tuan. Kami berharap dalam Tuan berbaik-baik dengan orang Inggeris, Tuan masih
lagi ingat tentang persaudaraan kita sebagai seumat Islam”.
Abdullah Munsyi tersenyum. Sudah diagak inilah isu yang mahu
dibangkitkan. Dia menarik nafas sebelum menjawab kata-kata Cikgu Hasan. “Cikgu,
persahabatan dan kebaikan saya dengan orang Inggeris tidak lain adalah atas
dasar ilmu. Saya pasti Cikgu juga tidak pernah menafikan bahawa ilmu Allah itu
maha luas dan terpulang kepada hambaNya untuk mencarinya. Cikgu tidak perlu
takut. Saya masih beriman atas keesaan Allah. Malah saya menghormati Cikgu dan
orang Melayu di Singapura.”
Cikgu Hasan memandang lantai sambil memproses maklumat yang baru diterima.
Sebenarnya bukan isu ini yang membuatnya mahu berjumpa dengan Munsyi Abdullah. Ada sekelumit kekesalan
tentang cara layanan pihak Inggeris terhadap Habib Nuh. Sudah puas dia
mendengar cerita bahawa Residen Crawfurd serta beberapa pegawai Inggeris sering
mempermain-mainkan kewalian Habib Nuh. Dia terlalu kecewa dengan Munsyi
Abdullah yang seolah-olah membiarkan hal ini terjadi sedangkan mereka
bersaudara seIslam. Cikgu Hasan merasakan tingkah Munsyi Abdullah harus
ditegur.
“Saya cuma kesal dengan cara orang Inggeris melayan Habib Nuh.” Itu
sahaja yang mampu diucapkan Cikgu Hasan. Sambil itu, lelaki pun menunduk. Dia
amat berharap pertemuannya dengan Munsyi Abdullah dapat merubah keadaan,
walaupun tidak banyak.
Munsyi Abdullah terdiam. Dia sendiri juga sebenarnya agak kesal dengan
perlakuan yang ditunjukkan oleh Residen Crawfurd terhadap Habib Nuh. Oleh sebab
itu dia sering terlari-lari dari bertentang mata dengan lelaki suci itu. Jauh
di lubuk hatinya, dia rasa bersalah walaupun tidak diketahui apa sebabnya. Namun
tidak adil juga jika dia membuta dalam membela Habib Nuh sahaja.
“Cikgu, bukan salah mereka sekiranya tidak menghormati Habib. Cikgu lihat
sendiri betapa penampilan Habib tidak mencerminkan dirinya yang sebenar?
Sebagai seorang yang layak dihormati, setidak-tidaknya Habib harus mengenakan
baju yang rapi dan bersih. Ini tidak! Habib sering tidak berbaju dan lebih suka
duduk berkumpul serta melayan anak-anak kampung. Cuba Cikgu bayangkan dengan
ketokohan yang tercermin pada pegawai Inggeris. Malah penghormatan yang
diberikan oleh masyarakat tempatan kepada Habib sudah setinggi layanan mereka
terhadap Residen Crawfurd. Dengan itu, selayaknya dia membawa penampilan
sehebat residen Singapura itu.”
Cikgu Hasan menggeleng kepala. Pendapat Munsyi Abdullah itu dicairkan di
minda untuk diberikan hujah balas. Dia mengambil nafas sebentar sementara mata
pasangan bicaranya rajin mencari-cari kereta kuda. “Tuan Munsyi, adakah penampilan
adalah segalanya buat seorang pemimpin? Mungkin Tuan terlupa bahawa Habib Nuh
bukan sekadar pemimpin tetapi juga seorang wali. Penampilan adalah perkara yang
kedua buatnya. Jika hebat benar pemimpin yang Tuan banggakan itu, mengapa tidak
beliau bermesra dengan rakyat? Saya dengar sendiri bahawa seorang penghulu
telah bertemu Residen Crawfurd, namun beliau tidak mengendahkannya sewaktu
beliau meminta tolong tentang keadaan pulaunya dilanda kemarau(Isa Kamari
2011:309). Namun Habib jugalah orang yang datang memberi bantuan. Habib berdoa
lalu turunlah hujan. Sewaktu seorang peranakan India hendak belayar pula, Habib
telah datang ke kenduri doa selamatnya. Apabila sampai waktu hendak belayar,
Habib yang memilih untuk duduk di atas beg lelaki itu masih tidak berganjak
lalu membuatkannya terlepas kapal. Rupa-rupanya, kapal yang seharusnya
ditumpangi karam di tengah lautan. Tambahan pula, semua penumpang dikhabarkan
terkorban (Isa Kamari 2011: 295-297). Ada
pelbagai lagi kisah yang disebarkan oleh orang Melayu di sini berkenaan dengan
Habib. Adakah itu masih kurang lagi untuk menggambarkan ketokohan wali Allah
itu?”
Munsyi Abdullah yang pada mulanya terkejut dengan hujah Cikgu Hasan
menjadi begitu tertarik untuk berdebat dengan lelaki tersebut. Dia kian terlupa
untuk mencari kereta kuda di kawasan tersebut dan memberi perhatian pada
perbincangan mereka. “Wali Allah? Makanya, wali Allah itu seharusnya tidak
berpenampilan? Dangkal benar jika itu maksud Cikgu. Saya tidak mengharapkan dia
mengenakan pakaian yang cantik-cantik. Cukup sekadar kemas. Kemas seperti
Cikgu!” Munsyi Abdullah ketawa kecil untuk melembutkan keadaan. Ternyata Cikgu
Hasan tidak berselera untuk ikut ketawa.
“Baiklah Cikgu. Daripada apa yang Cikgu sebutkan tadi dan Cikgu kaitkan
dengan kata atau konsep wali Allah, adakah kewalian itu hanya berkisar pada hal
yang fizikal sahaja? Adakah wali Allah itu hanya diberi kehebatan dari aspek
fizikal tetapi akalnya kosong?” Cikgu Hasan benar-benar terkejut dengan pernyataan
biadab Munsyi Abdullah. Dia membulatkan matanya sebelum menjawab. “Biadab sekali
Tuan berbicara! Di manakah hormat Tuan terhadap orang Melayu, pemilik tanah
yang Tuan berpijak kini?”
Munsyi Abdullah terasa mahu ketawa seraya mendengar kata-kata Cikgu
Hasan. Mungkin guru muda itu terlupa bahawa ketuanan Melayu sudah tergadai.
Namun jika dibangkitkan hal tersebut, pasti makin meluap-luap amarahnya. Maka
Munsyi Abdullah hanya menyimpan kemas senyuman ejek sambil menanti ayat
seterusnya dari Cikgu Hasan.
“Tuan Munsyi mungkin memandang dari sudut lahiriahnya sahaja. Memang
tidak dinafikan bahawa ketokohan Habib kebanyakannya berkisar pada aspek
fizikal. Lalu Tuan mengharapkan Habib menjadi seperti Residen dalam memegang
tampuk kepimpinankah? Adakah itu mampu berlaku? Akal Habib tidak pernah kosong,
Tuan. Wali Allah sepertinya mempunyai fokus yang lebih luas. Beliau memikirkan
kemaslahatan umat manusia di akhirat, alam abadi. Cuma hal ini tidak
dipancarkan dengan jelas. Ia hanya
diperlihatkan dengan ilmu agama yang dicurahkan kepada anak-anak tempatan,
sebagai bekalan hidup di dunia dan akhirat yang lebih aman dan sejahtera.”
Jeda sebentar antara mereka. Walaupun sudah lama berbahas, masih tidak
kelihatan sebarang kereta kuda. Rahmat! Bisik hati Cikgu Hasan.
Sekurang-kurangnya ia membuka peluang untuknya berdebat lebih panjang dengan orang
kuat bangsa Inggeris itu. “Cikgu tahu tidak,” Abdullah Munsyi mula bersuara.
“Kerana Habib tidak memperlihatkan kebijaksanaannya dengan jelas, maka orang
Inggeris memperlekehkannya. Kelakukan dan penampilannya ibarat orang yang tidak
bertamadun. Malah tidak salah orang Inggeris kerana mengaitkannya dengan agama
Islam yang tidak maju. Hal ini kerana Habib adalah lambang agama Islam pada
masa ini!”
Kelihatannya hujah Munsyi Abdullah semakin keras. “Hanya dengan tidak
berbaju dan tidak memperlihatkan ketokohan dalam hal kepimpinan sudah dianggap
tidak bertamadun? Tuan memang sudah melampau!” Darah sudah naik ke kepala Cikgu
Hasan. Lelaki di hadapannya ini memang biadab! Sudahlah menghina tokoh yang
disayangi orang tempatan, malah diselitkan juga dengan agama yang disanjungi.
Tidak boleh jadi! Dia harus membela.
“Kata-kata saya bukan cakap kosong, Cikgu.” Munsyi Abdullah sedar dia
sudah membuatkan telinga guru sekolah itu memerah. Kali ini dia harus lebih
berhati-hati. Dia tidak mahu sebarang kesusahan di kemudian hari. Maka
kata-kata yang bakal dilontarkan akan disusun serapi yang mungkin. “Saya
katakan sedemikian kerana kelakuannya mungkin mempengaruhi minda Melayu zaman
ini. Lihat sahaja segala keajaiaban yang mampu dilakukan! Dia boleh melihat apa
yang berlaku di tempat lain, boleh memanggil hujan. Saya juga terdengar yang
dia mampu menyembuhkan kaki kanak-kanak yang sudah patah hanya dengan bacaan
selawat, doa dan usapan! (Isa Kamari 2011: 179). Itu semuanya berunsur magis!
Cikgu harus sedar bahawa agama Islam sangat menentang unsur mistik selain kekuasan
Allah.”
Cikgu Hasan menggeleng kepala. Hal yang disebutkan oleh Munsyi Abdullah
mampu dipatahkan. Dia segera mengumpul segala idea yang mampu diperoleh untuk
menyerang balas. “Tuan Munsyi. Magis yang ditentang dalam Islam adalah segala
yang membuatkan manusia syirik atau menyekutukan Tuhan. Setiap magis yang
dilakukan oleh Habib Nuh tidak lain adalah sekadar tujuannya menghulurkan
pertolongan kepada orang yang dilanda musibah. Inilah yang disebutkan sebagai
karamah. Secara tidak langsung, ia memberi keyakinan kepada masyarakat tempatan
tentang kehebatan agama Allah. Hal ini seiring dengan pendapat Tuan bahawa
Habib adalah lambang agama Islam dalam masyarakat masa ini. Jika seseorang itu
percaya pada Allah, segalanya mampu terjadi. Kun fa yakun! Hal inilah yang cuba dibuktikan oleh Habib Nuh.
Habib cuba
menambah keyakinan orang tempatan untuk mempercayai agama Allah.”
Senyuman puas terukir di bibir Cikgu Hasan. Mungkin puas kerana sudah
habis segala amarah diwajarkan melalui hujah yang dibentangkan. Namun dia
sempat menyambung, “Unsur magis adalah cara yang termudah untuk meyakinkan
manusia terhadap sesuatu perkara yang tidak dapat dibuktikan oleh indera yang lima . Allah memberikan
mukjizat berbentuk magis kepada Nabi Musa untuk menentang Firaun. Tongkat
Baginda yang berupaya bertukar menjadi ular dan memakan semua ular-ular ahli
sihir yang sengaja mencabar kehebatan agama Allah. Rasulullah SAW sendiri
membelah bulan demi membuktikan kekuasan Allah. Adakah para Anbiya’ ini
menggunakan magis dengan tujuan syirik? Na’uzubillah!”
Munsyi Abdullah ibarat disentap apabila terdengar ayat akhir Cikgu Hasan.
Tidak sangka dia rupa-rupanya yang dangkal dalam hal ini. Namun egonya sebagai
seorang ilmuan menjadikannya kekal mahu menjawab, “Ah! Bukankah sudah disabdakan
oleh Rasulullah bahawa: “Keutamaan darjat seorang ‘alim (ahli ilmu) ke atas
seorang ‘abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama berbanding
bintang-bintang.” (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud). Maka jika Habib Nuh mahu
dijulang lebih tinggi, dia harus mencapai darjat orang ‘alim. Darjat tersebut
pula tidak mampu dicapai jika Habib hanya bergaul dengan anak-anak sahaja!
Natijahnya, beliau hanya dipandang sebagai seorang ‘abid, bukan seorang ‘alim.
Orang ‘alim atau bijak pandai tidak duduk di bawah pokok dan hanya berdendang
selawat (Isa Kamari 2011: 290). Mereka bermusyawarah, mengembangkan ilmu dan
memikirkan hal yang membangunkan manusia.”
Cikgu Hasan menghela nafas yang dalam. Jika sudah ungkal, Munsyi Abdullah
ini sememangnya tidak boleh dibentuk lagi. Akhirnya beliau memilih untuk
berkonklusi memandang hari pun semakin gelap. “Habib Nuh juga seorang yang
bijak. Habib bijak dalam mempromosikan agama Islam kepada orang luar. Tahukah
Tuan bahawa seorang lelaki memeluk Islam walhal pada mula dituduhnya Habib
mencuri di kedainya? Di situlah kebijaksanaan dan ketokohan Habib terpancar. Ia
bukan sekadar terlihat pada kepimpinan politik negara sahaja. Sudahlah Tuan.
Maaf kerana saya mengambil masa Tuan terlalu lama.”
Munsyi Abdullah hanya tersenyum. Dalam diam, dia sebenarnya seronok
berdebat dengan guru tersebut. sekurang-kurangnya jelaslah dia bahawa terdapat
juga orang Melayu yang pandai dan boleh mewakili bangsanya. “Terima kasih
kerana sudi berbincang bersama saya. Namun memandangkan hari semakin gelap,
saya rasa saya harus berpatah balik dan pulang ke rumah sahaja!” Mereka berdua
tertawa sama, menunjukkan bahawa perbincangan yang telah berlaku adalah
semata-mata kerana bersilang pendapat, bukan untuk permusuhan. Mereka kekal
saudara sesama Islam.
“Jika Tuan masih mahu mendapatkan kereta kuda, baik Tuan berjalan ke
hadapan sedikit. Di sana
mungkin ada yang lalu berbanding di sini yang agak sunyi. Saya pula hanya ingin
berjalan kaki ke rumah orang tua saya di kawasan ini. Saya tinggalkan Tuan di
sini sahaja ya?” Munsyi Abdullah membalas pertanyaan itu dengan seukir
senyuman. Mereka berjabat tangan, tanda ukhuwah yang telah dibina sebelum Cikgu
Hasan berlalu dari situ.
Munsyi Abdullah penuh dengan perasaan puas hati atas perbincangan ringkas
tadi. Dia memberanikan diri berjalan pulang sendirian di kaki lima
itu, Kaki lima menjadi ruang yang terlindung bagi
pejalan kaki daripada hujan dan panas. Namun kaki lima ini tidak berupaya melindunginya daripada
kejutan yang menerkamnya sejurus kemudian.
[Kisah ini
merupakan sisipan peristiwa daripada bab ‘Rumah Kedai’ daripada novel Duka Tuan Bertakhta karya Isa
Kamari pada tahun 2011 pada halaman 318.]