Saturday, June 9, 2012

Bicara Rumah Kedai

HARI sudah mula kelam. Munsyi Abdullah menuruni anak tangga dari tingkat dua rumah kedai lalu menjejaki kaki lima yang menjadi ciri khas deretan rumah kedai di situ. Entah mengapa, dia tetap berkeras untuk cuba mendapatkan teh Inggeris yang diidamkannya daripada Paderi Claudius. Maka disusuri kaki lima itu sambil matanya melilau-lilau mencari kereta kuda yang diharapkan masih melalui tempat yang mulai gelap.

            Sedang matanya asyik mencari yang diingini, Munsyi Abdullah terpandang seorang lelaki yang berdiri di laluan bertentangan, sedang memerhatikan geraknya. Lelaki itu sedang bersandar pada tembok sesebuah kedai dengan pakaian yang cukup kemas. Diyakini lelaki itu bukan sembarangan, maka dikumpul keberanian untuk berjumpa dengannya. Apa yang diharapkan ialah lelaki itu boleh membantu, sekurang-kurangnya menemaninya mencari kereta kuda.

“Saudara ini Munsyi Abdullah, bukan?” Lelaki yang dimaksudkan itu agak terkejut kerana disapa sebelum sempat merapati lelaki yang kemas itu. Namun timbul sekelumit bangga dalam diri kerana jelaslah dirinya kini sudah dikenali oleh orang tempatan. Munsyi Abdullah tersenyum setuju lalu menunjukkan ibu jarinya kepada lelaki tersebut tanda berselang soalan. Lelaki tersebut membalas senyum sebelum menjawab, “Saya Cikgu Hasan. Saya mengajar di salah sebuah sekolah Arab di Kampung Gelam. Jika tidak menjadi keberatan, saya mahu berbicara dengan Tuan Munsyi.”

Munsyi Abdullah menjadi curiga dengan kehadiran lelaki di hadapannya. Adakah dia mahu menyerangnya? Pasti tiada lain kerana tindakannya yang menulis tentang orang Melayu. Lebih hebat jika serangan itu akibat keputusannya untuk menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu. Pasti dia akan dikeroyok hingga mati! Namun melihatkan susuk Cikgu Hasan, Munsyi Abdullah yakin dia seorang yang berbudi dan panjang akal serta tidak akan menggunakan kekerasan.

“Jika Cikgu ingin berbicara, saya sebenarnya mahu ke tempat Paderi Claudius. Ada hal sedikit. Jika Cikgu sudi, kita ke sana lalu bersambung dengan minum petang bersama.” Sebenarnya ajakan Munsyi Abdullah itu terlepas dari bibirnya. Dia sendiri tidak menyangka bahawa dia berani mempelawa lelaki yang baru dikenalinya itu untuk berlama dengannya. “Maaf Tuan Munsyi. Saya hanya ingin berjumpa dengan Tuan sebenar sahaja. Ada perkara yang ingin saya bincangkan. Setelah itu, kita boleh sama-sama ke hala tujuan masing-masing.”

Penolakan Cikgu Hasan merupakan suatu kelegaan bagi Munsyi Abdullah. “Jika demikian, kita berbincang di sini sahaja ya? Saya harus mencari kereta kuda untuk ke tempat sahabat saya itu.” Raut Cikgu Hasan berubah sebaik sahaja Munsyi Abdullah menyebut perkataan ‘sahabat’. Daripada senyuman berubah serius. “Tuan Munsyi, saya sekadar mahu menyampaikan kebimbangan sebilangan orang Melayu tempatan mengenai kemesraan Tuan dengan orang Inggeris. Kami sangat menghormati Tuan. Kami berharap dalam Tuan berbaik-baik dengan orang Inggeris, Tuan masih lagi ingat tentang persaudaraan kita sebagai seumat Islam”.

Abdullah Munsyi tersenyum. Sudah diagak inilah isu yang mahu dibangkitkan. Dia menarik nafas sebelum menjawab kata-kata Cikgu Hasan. “Cikgu, persahabatan dan kebaikan saya dengan orang Inggeris tidak lain adalah atas dasar ilmu. Saya pasti Cikgu juga tidak pernah menafikan bahawa ilmu Allah itu maha luas dan terpulang kepada hambaNya untuk mencarinya. Cikgu tidak perlu takut. Saya masih beriman atas keesaan Allah. Malah saya menghormati Cikgu dan orang Melayu di Singapura.”

Cikgu Hasan memandang lantai sambil memproses maklumat yang baru diterima. Sebenarnya bukan isu ini yang membuatnya mahu berjumpa dengan Munsyi Abdullah. Ada sekelumit kekesalan tentang cara layanan pihak Inggeris terhadap Habib Nuh. Sudah puas dia mendengar cerita bahawa Residen Crawfurd serta beberapa pegawai Inggeris sering mempermain-mainkan kewalian Habib Nuh. Dia terlalu kecewa dengan Munsyi Abdullah yang seolah-olah membiarkan hal ini terjadi sedangkan mereka bersaudara seIslam. Cikgu Hasan merasakan tingkah Munsyi Abdullah harus ditegur.

“Saya cuma kesal dengan cara orang Inggeris melayan Habib Nuh.” Itu sahaja yang mampu diucapkan Cikgu Hasan. Sambil itu, lelaki pun menunduk. Dia amat berharap pertemuannya dengan Munsyi Abdullah dapat merubah keadaan, walaupun tidak banyak.

Munsyi Abdullah terdiam. Dia sendiri juga sebenarnya agak kesal dengan perlakuan yang ditunjukkan oleh Residen Crawfurd terhadap Habib Nuh. Oleh sebab itu dia sering terlari-lari dari bertentang mata dengan lelaki suci itu. Jauh di lubuk hatinya, dia rasa bersalah walaupun tidak diketahui apa sebabnya. Namun tidak adil juga jika dia membuta dalam  membela Habib Nuh sahaja.

“Cikgu, bukan salah mereka sekiranya tidak menghormati Habib. Cikgu lihat sendiri betapa penampilan Habib tidak mencerminkan dirinya yang sebenar? Sebagai seorang yang layak dihormati, setidak-tidaknya Habib harus mengenakan baju yang rapi dan bersih. Ini tidak! Habib sering tidak berbaju dan lebih suka duduk berkumpul serta melayan anak-anak kampung. Cuba Cikgu bayangkan dengan ketokohan yang tercermin pada pegawai Inggeris. Malah penghormatan yang diberikan oleh masyarakat tempatan kepada Habib sudah setinggi layanan mereka terhadap Residen Crawfurd. Dengan itu, selayaknya dia membawa penampilan sehebat residen Singapura itu.”

Cikgu Hasan menggeleng kepala. Pendapat Munsyi Abdullah itu dicairkan di minda untuk diberikan hujah balas. Dia mengambil nafas sebentar sementara mata pasangan bicaranya rajin mencari-cari kereta kuda. “Tuan Munsyi, adakah penampilan adalah segalanya buat seorang pemimpin? Mungkin Tuan terlupa bahawa Habib Nuh bukan sekadar pemimpin tetapi juga seorang wali. Penampilan adalah perkara yang kedua buatnya. Jika hebat benar pemimpin yang Tuan banggakan itu, mengapa tidak beliau bermesra dengan rakyat? Saya dengar sendiri bahawa seorang penghulu telah bertemu Residen Crawfurd, namun beliau tidak mengendahkannya sewaktu beliau meminta tolong tentang keadaan pulaunya dilanda kemarau(Isa Kamari 2011:309). Namun Habib jugalah orang yang datang memberi bantuan. Habib berdoa lalu turunlah hujan. Sewaktu seorang peranakan India hendak belayar pula, Habib telah datang ke kenduri doa selamatnya. Apabila sampai waktu hendak belayar, Habib yang memilih untuk duduk di atas beg lelaki itu masih tidak berganjak lalu membuatkannya terlepas kapal. Rupa-rupanya, kapal yang seharusnya ditumpangi karam di tengah lautan. Tambahan pula, semua penumpang dikhabarkan terkorban (Isa Kamari 2011: 295-297). Ada pelbagai lagi kisah yang disebarkan oleh orang Melayu di sini berkenaan dengan Habib. Adakah itu masih kurang lagi untuk menggambarkan ketokohan wali Allah itu?”

Munsyi Abdullah yang pada mulanya terkejut dengan hujah Cikgu Hasan menjadi begitu tertarik untuk berdebat dengan lelaki tersebut. Dia kian terlupa untuk mencari kereta kuda di kawasan tersebut dan memberi perhatian pada perbincangan mereka. “Wali Allah? Makanya, wali Allah itu seharusnya tidak berpenampilan? Dangkal benar jika itu maksud Cikgu. Saya tidak mengharapkan dia mengenakan pakaian yang cantik-cantik. Cukup sekadar kemas. Kemas seperti Cikgu!” Munsyi Abdullah ketawa kecil untuk melembutkan keadaan. Ternyata Cikgu Hasan tidak berselera untuk ikut ketawa.

“Baiklah Cikgu. Daripada apa yang Cikgu sebutkan tadi dan Cikgu kaitkan dengan kata atau konsep wali Allah, adakah kewalian itu hanya berkisar pada hal yang fizikal sahaja? Adakah wali Allah itu hanya diberi kehebatan dari aspek fizikal tetapi akalnya kosong?” Cikgu Hasan benar-benar terkejut dengan pernyataan biadab Munsyi Abdullah. Dia membulatkan matanya sebelum menjawab. “Biadab sekali Tuan berbicara! Di manakah hormat Tuan terhadap orang Melayu, pemilik tanah yang Tuan berpijak kini?”

Munsyi Abdullah terasa mahu ketawa seraya mendengar kata-kata Cikgu Hasan. Mungkin guru muda itu terlupa bahawa ketuanan Melayu sudah tergadai. Namun jika dibangkitkan hal tersebut, pasti makin meluap-luap amarahnya. Maka Munsyi Abdullah hanya menyimpan kemas senyuman ejek sambil menanti ayat seterusnya dari Cikgu Hasan.

“Tuan Munsyi mungkin memandang dari sudut lahiriahnya sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa ketokohan Habib kebanyakannya berkisar pada aspek fizikal. Lalu Tuan mengharapkan Habib menjadi seperti Residen dalam memegang tampuk kepimpinankah? Adakah itu mampu berlaku? Akal Habib tidak pernah kosong, Tuan. Wali Allah sepertinya mempunyai fokus yang lebih luas. Beliau memikirkan kemaslahatan umat manusia di akhirat, alam abadi. Cuma hal ini tidak dipancarkan dengan jelas. Ia  hanya diperlihatkan dengan ilmu agama yang dicurahkan kepada anak-anak tempatan, sebagai bekalan hidup di dunia dan akhirat yang lebih aman dan sejahtera.”

Jeda sebentar antara mereka. Walaupun sudah lama berbahas, masih tidak kelihatan sebarang kereta kuda. Rahmat! Bisik hati Cikgu Hasan. Sekurang-kurangnya ia membuka peluang untuknya berdebat lebih panjang dengan orang kuat bangsa Inggeris itu. “Cikgu tahu tidak,” Abdullah Munsyi mula bersuara. “Kerana Habib tidak memperlihatkan kebijaksanaannya dengan jelas, maka orang Inggeris memperlekehkannya. Kelakukan dan penampilannya ibarat orang yang tidak bertamadun. Malah tidak salah orang Inggeris kerana mengaitkannya dengan agama Islam yang tidak maju. Hal ini kerana Habib adalah lambang agama Islam pada masa ini!”

Kelihatannya hujah Munsyi Abdullah semakin keras. “Hanya dengan tidak berbaju dan tidak memperlihatkan ketokohan dalam hal kepimpinan sudah dianggap tidak bertamadun? Tuan memang sudah melampau!” Darah sudah naik ke kepala Cikgu Hasan. Lelaki di hadapannya ini memang biadab! Sudahlah menghina tokoh yang disayangi orang tempatan, malah diselitkan juga dengan agama yang disanjungi. Tidak boleh jadi! Dia harus membela.

“Kata-kata saya bukan cakap kosong, Cikgu.” Munsyi Abdullah sedar dia sudah membuatkan telinga guru sekolah itu memerah. Kali ini dia harus lebih berhati-hati. Dia tidak mahu sebarang kesusahan di kemudian hari. Maka kata-kata yang bakal dilontarkan akan disusun serapi yang mungkin. “Saya katakan sedemikian kerana kelakuannya mungkin mempengaruhi minda Melayu zaman ini. Lihat sahaja segala keajaiaban yang mampu dilakukan! Dia boleh melihat apa yang berlaku di tempat lain, boleh memanggil hujan. Saya juga terdengar yang dia mampu menyembuhkan kaki kanak-kanak yang sudah patah hanya dengan bacaan selawat, doa dan usapan! (Isa Kamari 2011: 179). Itu semuanya berunsur magis! Cikgu harus sedar bahawa agama Islam sangat menentang unsur mistik selain kekuasan Allah.”

Cikgu Hasan menggeleng kepala. Hal yang disebutkan oleh Munsyi Abdullah mampu dipatahkan. Dia segera mengumpul segala idea yang mampu diperoleh untuk menyerang balas. “Tuan Munsyi. Magis yang ditentang dalam Islam adalah segala yang membuatkan manusia syirik atau menyekutukan Tuhan. Setiap magis yang dilakukan oleh Habib Nuh tidak lain adalah sekadar tujuannya menghulurkan pertolongan kepada orang yang dilanda musibah. Inilah yang disebutkan sebagai karamah. Secara tidak langsung, ia memberi keyakinan kepada masyarakat tempatan tentang kehebatan agama Allah. Hal ini seiring dengan pendapat Tuan bahawa Habib adalah lambang agama Islam dalam masyarakat masa ini. Jika seseorang itu percaya pada Allah, segalanya mampu terjadi. Kun fa yakun! Hal inilah yang cuba dibuktikan oleh Habib Nuh. Habib cuba menambah keyakinan orang tempatan untuk mempercayai agama Allah.”

Senyuman puas terukir di bibir Cikgu Hasan. Mungkin puas kerana sudah habis segala amarah diwajarkan melalui hujah yang dibentangkan. Namun dia sempat menyambung, “Unsur magis adalah cara yang termudah untuk meyakinkan manusia terhadap sesuatu perkara yang tidak dapat dibuktikan oleh indera yang lima. Allah memberikan mukjizat berbentuk magis kepada Nabi Musa untuk menentang Firaun. Tongkat Baginda yang berupaya bertukar menjadi ular dan memakan semua ular-ular ahli sihir yang sengaja mencabar kehebatan agama Allah. Rasulullah SAW sendiri membelah bulan demi membuktikan kekuasan Allah. Adakah para Anbiya’ ini menggunakan magis dengan tujuan syirik? Na’uzubillah!”

Munsyi Abdullah ibarat disentap apabila terdengar ayat akhir Cikgu Hasan. Tidak sangka dia rupa-rupanya yang dangkal dalam hal ini. Namun egonya sebagai seorang ilmuan menjadikannya kekal mahu menjawab, “Ah! Bukankah sudah disabdakan oleh Rasulullah bahawa: “Keutamaan darjat seorang ‘alim (ahli ilmu) ke atas seorang ‘abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama berbanding bintang-bintang.” (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud). Maka jika Habib Nuh mahu dijulang lebih tinggi, dia harus mencapai darjat orang ‘alim. Darjat tersebut pula tidak mampu dicapai jika Habib hanya bergaul dengan anak-anak sahaja! Natijahnya, beliau hanya dipandang sebagai seorang ‘abid, bukan seorang ‘alim. Orang ‘alim atau bijak pandai tidak duduk di bawah pokok dan hanya berdendang selawat (Isa Kamari 2011: 290). Mereka bermusyawarah, mengembangkan ilmu dan memikirkan hal yang membangunkan manusia.”

Cikgu Hasan menghela nafas yang dalam. Jika sudah ungkal, Munsyi Abdullah ini sememangnya tidak boleh dibentuk lagi. Akhirnya beliau memilih untuk berkonklusi memandang hari pun semakin gelap. “Habib Nuh juga seorang yang bijak. Habib bijak dalam mempromosikan agama Islam kepada orang luar. Tahukah Tuan bahawa seorang lelaki memeluk Islam walhal pada mula dituduhnya Habib mencuri di kedainya? Di situlah kebijaksanaan dan ketokohan Habib terpancar. Ia bukan sekadar terlihat pada kepimpinan politik negara sahaja. Sudahlah Tuan. Maaf kerana saya mengambil masa Tuan terlalu lama.”

Munsyi Abdullah hanya tersenyum. Dalam diam, dia sebenarnya seronok berdebat dengan guru tersebut. sekurang-kurangnya jelaslah dia bahawa terdapat juga orang Melayu yang pandai dan boleh mewakili bangsanya. “Terima kasih kerana sudi berbincang bersama saya. Namun memandangkan hari semakin gelap, saya rasa saya harus berpatah balik dan pulang ke rumah sahaja!” Mereka berdua tertawa sama, menunjukkan bahawa perbincangan yang telah berlaku adalah semata-mata kerana bersilang pendapat, bukan untuk permusuhan. Mereka kekal saudara sesama Islam.

“Jika Tuan masih mahu mendapatkan kereta kuda, baik Tuan berjalan ke hadapan sedikit. Di sana mungkin ada yang lalu berbanding di sini yang agak sunyi. Saya pula hanya ingin berjalan kaki ke rumah orang tua saya di kawasan ini. Saya tinggalkan Tuan di sini sahaja ya?” Munsyi Abdullah membalas pertanyaan itu dengan seukir senyuman. Mereka berjabat tangan, tanda ukhuwah yang telah dibina sebelum Cikgu Hasan berlalu dari situ.

Munsyi Abdullah penuh dengan perasaan puas hati atas perbincangan ringkas tadi. Dia memberanikan diri berjalan pulang sendirian di kaki lima itu, Kaki lima menjadi ruang yang terlindung bagi pejalan kaki daripada hujan dan panas. Namun kaki lima ini tidak berupaya melindunginya daripada kejutan yang menerkamnya sejurus kemudian.

[Kisah ini merupakan sisipan peristiwa daripada bab ‘Rumah Kedai’ daripada novel Duka Tuan Bertakhta karya Isa Kamari  pada tahun 2011 pada halaman 318.]
*cerpen disiarkan di Tunas Cipta edisi June 2012

No comments:

Post a Comment