ADAPUN
tulisan ini kukarangkan buatmu wahai Hawa yang kemudian agar menjadi pedoman
dalam kau menangkis segala pawana yang menerjah, api yang menjulang, ribut yang
melapah. Biar zikir yang melaung perempuan dan lemah adalah satu ditalakan alam;
ketahuilah itu tinggal ocehan mereka yang gentar sahaja. Hakikatnya, kita wahai
Hawa baik di masa ini mahupun yang kemudian adalah insan yang menongkat setiap
langkah Adam yang sumbang.
Maka izinkan aku, Dang Wangi, isteri kekanda
Jebat menyambung penderhakaan suamiku. Penderhakaan pada nasib wanita Melayu.
Penderhakaan yang hakikatnya adalah bermula daripada diriku.
Keberanian yang kupendam ini, barulah
sekarang dapat kuluahkan sisanya. Mungkin aku ini tidak sehebat kanda Jebat
yang menentang terang-terangan ibarat memalit urna hitam pada langit duha. Hakikatnya,
aku sekadar tidak mahu keberanian ini dipandang sekilas cuma. Maka pilihan yang
tinggal adalah untuk menantikan saat dan ketika yang patut untukku luahkan
segalanya. Dan sebab aku tidak sehebat kanda Jebat, maka luahan ini sekadar
menjadi warkah buatmu wahai kaum Hawa yang kemudian untuk menikmatinya, bukan
rakyat Melaka yang bermata sultan mereka.
Pada coretan ini, aku menyedari bahawa keberanian
yang kusimpan ini adalah bekalan daripada kanda Jebat jua. Pernah kekandaku itu
mengatakan bahawa keistimewaanku ini adalah sejak azali. Aku menafi. Perempuan
Melayu walau di balai istana kaki berpijak, harus menatang malu di hadapan kaum
perkasa. Apatah lagi kekandaku itu adalah pendekar istana.
Diriku sebagai pilihannya juga berasbabkan seribu
istimewa yang bersulbi dalam diri. Pada suatu ketika, akalku berawang-awangan dalam
memikirkan mulianya Teja anak Bendahara Pahang dan Tun Fatimah anak Bendahara
Seri Maharaja. Mulia raut, mulia pangkat berbanding diriku yang hina. Sekiranya
kanda kasihku dapat bertemu dengan dua insan istimewa ini sebelum semuanya
bermula, pasti tiada tempat untukku di hatinya. Dalam memikirkan perihal
demikian, kutemui ada bezanya aku dengan mereka. Teja perempuan rupawan lagi
lembut hati itu umpama mawar yang layu pada pujuk madu Hang Nadim; manakala Bendahara
Seri Maharaja pula mengingatkan hina diri maka diberi kahwin anak perempuannya
dengan Tun Ali. Maka patutlah diriku sahaja berpasang dengan pendekar istana
itu.
Diriku pacal yang hina, yang menyimpan seribu
istimewa. Disebutkan oleh kanda Jebat bahawa hinaku ini terselindung berani, akal
dan budi. Budiku berasaskan tunduk wajah ini pada mereka yang bertentang,
akalku berlandaskan hukum dunia dan akhirat lagi pula dekat dengan pentadbiran
Melaka, beraniku pula bersandarkan perkahwinan diriku si dayang istana dengan
kanda Jebat, pendekar raja. Aku hilang timbang untuk menafi walau tidak
tertanggung malu dibariskan kekata madu. Aduhai kanda Jebatku…
Cinta dan kasmaran yang dipersembahkannya
tidak dapat aku tolak. Pernah aku cuba menduga lantas disuakan pertanyaan mengapa
tidak dia menaruh hati pada perempuan di pergunungan tempat menuntut ilmu
persilatan atau gadis kampungan yang lebih murni tingkah geri. Jawabnya mudah tetapi
meranum pesona, kerana ‘Wangi kulihat sebagai suri’.
Maka akulah suri dalam hidupnya. Nyatalah asalku
daripada rusuk kanan si penderhaka yang mereka sebut-sebutkan. Tiada lain yang
lebih membanggakan selain hal yang kusebutkan itu. Sudah namanya berasal
daripada kersani, raksa juga yang mengalir pekat. Sudah dikata berasal daripada
duri, tirani juga yang membisa belulang. Maka sudah namanya berasal daripada
penderhaka, maka penderhaka juga untung nasibku. Patut jua kutiup semangat
kanda Jebat dalam jiwa sendiri biar unggun derhaka yang ditinggalkan terus
semarak. Cinta seorang pendekar derhaka seperti kanda Jebat tidak akan aku
sia-siakan.
Namun derhakaku punya lainnya. Tidak mampu
kuhunus keris laksana kanda Jebat. Dayang berbunga santun. Derhakaku menyimpuh
ayu. Lantangku bertatang Melayu. Tidak mahu kuturuti langkah kanda Jebat yang
berani azmat. Biarkan aku menderhaka dengan caraku sendiri. Dengan kudrat
wanita masih kusimpan kemas, segala tingkahku hakikatnya adalah tanda penderhakaan
pada raja Melaka.
Malah cintaku pada kanda Jebat juga menjadi
tanda penderhakaanku pada Sultan Mansur Syah. Hak Sultan terhadap diriku telah
kucantas demi kasihku pada kanda yang satu. Kalau sudah namanya penderhaka,
onar sekecil itu tidak sedikit pun mencalarkan sukmaku. Aku rela bersatu dengan
kanda Jebat kerana itulah hakikat, itulah nasib diriku. Wahai kaum Hawa yang
kemudian, jadilah dirimu sekuatku yang berdiri pada kesalahan sendiri. Kanda
Jebat sebagai pendekar Sultan juga telah menconteng arang ke muka Sultan setiap
kali kami bersama. Maka pesanku wahai kaum Hawa yang kemudian, carilah pendekar
untuk hidupmu. Jangan kau cari yang mahir silat cuma seperti abang Tuah. Bukan
niatku menutur biadab tentang abang Tuah, tetapi kanda Jebat lebih berani
mengikut hatinya. Pendekar dan cinta, suatu persandingan yang indah walau
canggung di mata. Lebih canggung lagi apabila pendekar yang memperjuangkan
keadilan dituduh penderhaka!
Kanda Jebat. Pendekar Melayu sejati.
Sanggupku nafikan kehandalan abang Tuah kerana kebestarian kanda Jebat. Kandaku
itu tidak berkhidmat di bumi Melaka tanpa mata dan telinga. Mata dan telinganya
lebih tajam daripada musang yang bersiang di waktu malam. Malah ketika suaranya
bangun untuk menuntut bela kematian abang Tuah, aku telah lama bersiaga di
belakang. Sudah aku katakan, kita kaum Hawa adalah tongkat buat suami agar jauh
sumbang mereka melangkah. Malah akulah wanita yang menjulang semangat suamiku
saat istana Melaka dikuasai. Kata kanda Jebat, tingkahnya ini demi kepentingan
raja, rakyat dan negeri Melaka. Aku pantas menurut demi mencium wangi syurga di
telapaknya. Malangnya, haruman yang dijanjikan itu dimulai pula dengan bau
hanyir pada pentadbiran kerajaan Melaka. Hakikatnya, aku juga sudah menghidu
bau yang sama seperti yang difikirkan oleh kanda Jebat. Bau hanyir kezaliman
Orang Besar-Besar itu sudah kuhidu awal sebelum Sultan memperisterikan Raden
Galuh. Namun aku dayang istana cuma, lagi pula mengipas dan menghidangkan
buahan buat raja sahaja tugas di sisi singgahsana. Kanda Jebat mahukan kejayaan
Melaka, kejayaan Melayu jua. Istana yang dirampas bukan sekadar menuntut bela
kematian abangnya. Bukan bermakna kuasa dan nama mahu dikuasai. Kanda Jebat
mahukan kesaksamaan. Adil milik seluruh umat manusia lebih-lebih lagi buat
abang Tuah, raja Melaka dan rakyat Melayu. Aduhai, begitu murni pengorbanan
kanda Jebat.
Sepekan aku di istana sebagai permaisuri
Melaka. Bayangkan aku si dayang istana yang asalnya terceruk di pojok balai,
dapat menyimpuh di atas singgahsana. Kanda Jebat yang kumuliakan, yang dituduh
sebagai pendosa memberikan segala penghormatan itu kepadaku. Tidak kutemui
pendekar seberani itu dalam memberikan sanjungan buat kaum yang dituduh lemah
ini. Sungguh aku bertuah, wahai kaum Hawa yang kemudian.
Sepekan juga kami di dalam istana tiada lain melainkan
untuk membincangkan maslahat negara jua. Kandaku itu menyatakan bahawa dia mendengar
cicip onar yang berlegar di istana. Aku yang menurut juga membulat muafakat
kerana sejak kakiku mula memijak lantai istana, hal yang sama sudah aku lihat sendiri.
Oleh kerana muasal yang kupegang dan disedari pula oleh kanda Jebat, maka
diizinkan diriku berkata-kata pada saat duduknya di singgahsana. Sekali lagi,
dialah pendekar hebat di mata seorang Hawa. Malah hebatnya dia telah diberikan
para dayang yang lain peluang juga untuk bersuara sama, tanpa mengira kedudukan
seorang perempuan di balai istana. Jika sebelum ini sultan Melaka mengarahkan para
perwara cuma menghibur dan menari di balairung, pendekar sehebat kanda Jebat
pula membiarkan suara Hawa bertala syurah di tengah tempat yang sama. Malangnya
para dayang itu tiada lain hanya hamba yang menurut membuta tuli, maka tidak
dapatlah dipakai segala fikrah. Lalu kanda Jebat naik berang lantas dibunuh
kesemua dayang dan pesuruh yang berdiri di sampingnya. Kanda Jebat tidak
berdosa. Lantang dan kerasnya dipengaruh diriku jua sebagai isterinya. Tanya
pada dirimu sendiri wahai kaum Hawa yang kemudian, api cemburu jugakah yang menuang
dalam sarafmu sekiranya para dayang tidak berguna itu disimpan lama dalam istana?
Maka dengan sebab itu suamiku menghabiskan semuanya. Biar tiada lagi wanita
sia-sia yang indah pada raut membanjir istana. Biar diriku enak di dalam istana
sendiri. Sungguh mulia hati kanda Jebat, suamiku.
Sepekan jugalah aku tidak henti menghidangkannya
santapan yang istimewa, sesuai buatnya sebagai Sultan Melaka. Saat kanda Jebat
santap, aku duduk di sisinya dan berbincang. Aku sebagai dayang istana tahu
benar selok-belok pentadbiran. Maklum juga akalku ini adalah daripada telinga
yang dipasang saat perbualan antara para menteri dan Orang Besar-Besar. Mataku pula
menyaksikan sendiri tingkah raja yang layu dihembus hasutan para pembantu. Maka
apa yang diketahui olehku, langsung kusampaikan pada kanda Jebat. Lantaran itu,
kami rangka kesaksamaan di bumi Melaka, bagi menyambung perjuangan abang Tuah
yang mengimpikan kemakmuran negara Melayu ini.
Telah kusuarakan hasratku pada kanda Jebat.
Sultan Melaka yang layu tiada lain sebabnya kecuali kurang arif pada panduan
raja-raja Melayu, juga para menteri yang menurut kata hati yang membuta tuli
dalam menasihati raja yang kabur. Mahuku sebagai permaisuri Melaka adalah semua
rakyat di bumi Melayu menuntut ilmu yang benar. Tidak mengira lelaki atau
perempuan, pangkat atau darjat. Sebagai suri terhadap rakyatku, aku harapkan
semuanya berguru. Biar fikrah bersatu antara Orang Besar-Besar dan rakyat
jelata. Jika tidak, perhitungan berat sebelah sepertimana yang dirasakan abang
Tuah akan berulang. Aku mahu hukum ini terjadi keras. Selain ilmu yang biasa
dipelajari rakyat jelata, aku mahu mereka berguru dengan orang luar. Lupakah
tentang asal keturunan Melayu yang merentas negara Cina, Keling hatta ke dalam
kerajaan laut? Maka rakyat akan kudesak untuk memperpanjangkan jejak ilmu daripada
setiap negara, bermula dengan Majapahit yang baik dalam pembuatan keris. Masih
tersilau sinar Taming Sari yang digenggam kanda Jebat sewaktu di singgahsana.
Pasti rakyat Melaka akan terbilang di seluruh alam sekiranya punya ilmu yang
mengharum dalam jiwa.
Kanda Jebat merestui perkiraanku. Seraya itu
juga disuruhnya aku mengangkat dakwat dalam mencatat fikrah tersebut. Selain
itu, aku juga menyuakan kebencianku pada anasir luar di dalam istana kepada Sultan
Jebat. Aku tiupkan semangat buatnya bahawa pentadbiran Melaka juga mampu makmur
tanpa ihsan Majapahit. Malah rakyat Melaka lebih bijak daripada orang
Majapahit. Lupakah orang Melaka bahawa Tun Bijaya Sura pernah mempermainkan
anjing Betara Majapahit, malah dihadapkan kakinya pula pada betara tersebut.
Tidakkah diingat kelicikan orang Melayu sebegini? Lalu pertolongan Pateh Karma
Wijaya, orang Majapahit dalam pentadbiran istana adalah kelemahan yang sengaja
dibungai. Dengan seluruh rakyat Melaka berilmu kelak, pasti negeri ini mampu
menjadi kota perdagangan yang makmur, hasil kebijaksanaan orang Melayu jua.
Justeru para menteri dan pembantu raja tentulah lebih berilmu dan berakal.
Alangkah indahnya Melaka pada waktu itu!
Cita-cita dan impian kanda Jebat dan diriku
adalah mahasuci. Melaka yang aman makmur, jauh daripada hasutan para Orang
Besar-Besar yang tamak kuasa. Tidakkah dipelajari daripada kerajaan terdahulu
bahawa perebutan kuasa adalah punca kepincangan istana? Lupakah pada kisah
Singapura yang dilanggar todak dan nasib anak yang bijaksana? Ternyata anasir
dalaman maha dahsyat daripada hasutan orang luar. Maka aku putuskan untuk
mempersiagakan isi istana daripada perbalahan dalaman. Tetapi isi istana ini
juga nanti bakal dihuni Orang Besar-Besar yang baharu, yang datang daripada
rakyat jelata bersama ilmu penuh di dada. Maka wajarlah sikap kerasku pada ilmu
dalam rakyat disebarkan segera. Semuanya demi kepentingan Melaka.
Namun hati perempuanku tidak dapat menolak
gulana yang menikam sukma. Maka pada suatu ketika telah kukhabarkan pada kanda
Jebat bahawa kita ini berdua cuma. Rakyat yang jahil serta alpa langsung tidak
menyebelahi kita. Maka dengan apa jua kita dapat bertahan untuk membina semula
negeri Melaka ini. Masih kulihat senyumnya yang memula bicara bahawa aku juga
yang boleh menyelesaikannya. Sebagai isteri yang tidak lain hanya melayan
kehendak suami, aku tambah gundah. Penawar apa yang boleh kuberikan pada rakyat
Melaka yang diracuni latah para menteri ini. Semangatmu yang aku pinta, bisik
kanda Jebat.
Sehabis semangat aku serahkan buat kanda
Jebat untu tujuan murninya sehingga tibalah pagi gerbang istana menyambut abang
Tuah. Kedatangannya turut menyambut senyum yang paling penuh daripada kanda
Jebat. Walaupun selaksa rakyat Melaka berdiri di belakang panglima Sultan
Mansur Syah itu, aku mengerti bahawa kedua-dua beradik itu tidak mampu
menyembunyikan girang hati. Setelah membawa abang Tuah ke balai istana, kami
bertiga duduk bersama beramah mesra. Aku yang tidak mampu mengangkat muka atas
sebab segannya memandang kedua-dua pendekar Melaka yang mulia, hanya mampu mendengar
sambil menyelang tawa yang dituturkan antara dua saudara itu. Sayangnya, ria
mereka tidak lama. Sebagaimana saksinya aku gurau senda mereka, aku juga
menjadi saksi amarah yang terlepas daripada abang Tuah yang terlalu menyendeng
pada raja Melaka. Maka di hadapanku inilah tumpahnya darah kanda Jebat yang
dikatakan penderhaka.
Hakikat penderhakaan yang dibawa oleh kanda
Jebat belum sempat tertelan pun oleh rakyat Melaka. Maka wajarkah disandangkan
gelaran penderhaka itu buat kanda Jebat? Sungguh aku terkilan pada niat murni
kanda Jebat. Singgahsana itu layak buat pemikir dan pemberani sepertinya.
Tujuh purnama kian berlalu. Sepi bergulat
perit lantas membakar seluruh tubuh ini. Rindu dendam yang bertaut juga tidak ikut
perginya rembulan saat mentari menjenguk bumi. Berbekal rindu yang tidak
terperi azmatnya pada kanda Jebat jugalah kupahatkan limpahannya pada tulisan
ini. Agar kau Hawa yang kemudian mengetahui bahawa kekuatan masih kusimpan
kemas dalam nubari, bekal meniti hari meneman pewaris pendekar ini. Aku Dang
Wangi, biar kau anggap bagai suri.
*Cerpen ini mendapat hadiah Sebutan Terhormat dalam Anugerah Pena Emas 2013.