Tuesday, November 12, 2013

Wangi Suri

ADAPUN tulisan ini kukarangkan buatmu wahai Hawa yang kemudian agar menjadi pedoman dalam kau menangkis segala pawana yang menerjah, api yang menjulang, ribut yang melapah. Biar zikir yang melaung perempuan dan lemah adalah satu ditalakan alam; ketahuilah itu tinggal ocehan mereka yang gentar sahaja. Hakikatnya, kita wahai Hawa baik di masa ini mahupun yang kemudian adalah insan yang menongkat setiap langkah Adam yang sumbang.

Maka izinkan aku, Dang Wangi, isteri kekanda Jebat menyambung penderhakaan suamiku. Penderhakaan pada nasib wanita Melayu. Penderhakaan yang hakikatnya adalah bermula daripada diriku.

Keberanian yang kupendam ini, barulah sekarang dapat kuluahkan sisanya. Mungkin aku ini tidak sehebat kanda Jebat yang menentang terang-terangan ibarat memalit urna hitam pada langit duha. Hakikatnya, aku sekadar tidak mahu keberanian ini dipandang sekilas cuma. Maka pilihan yang tinggal adalah untuk menantikan saat dan ketika yang patut untukku luahkan segalanya. Dan sebab aku tidak sehebat kanda Jebat, maka luahan ini sekadar menjadi warkah buatmu wahai kaum Hawa yang kemudian untuk menikmatinya, bukan rakyat Melaka yang bermata sultan mereka.

Pada coretan ini, aku menyedari bahawa keberanian yang kusimpan ini adalah bekalan daripada kanda Jebat jua. Pernah kekandaku itu mengatakan bahawa keistimewaanku ini adalah sejak azali. Aku menafi. Perempuan Melayu walau di balai istana kaki berpijak, harus menatang malu di hadapan kaum perkasa. Apatah lagi kekandaku itu adalah pendekar istana.

Diriku sebagai pilihannya juga berasbabkan seribu istimewa yang bersulbi dalam diri. Pada suatu ketika, akalku berawang-awangan dalam memikirkan mulianya Teja anak Bendahara Pahang dan Tun Fatimah anak Bendahara Seri Maharaja. Mulia raut, mulia pangkat berbanding diriku yang hina. Sekiranya kanda kasihku dapat bertemu dengan dua insan istimewa ini sebelum semuanya bermula, pasti tiada tempat untukku di hatinya. Dalam memikirkan perihal demikian, kutemui ada bezanya aku dengan mereka. Teja perempuan rupawan lagi lembut hati itu umpama mawar yang layu pada pujuk madu Hang Nadim; manakala Bendahara Seri Maharaja pula mengingatkan hina diri maka diberi kahwin anak perempuannya dengan Tun Ali. Maka patutlah diriku sahaja berpasang dengan pendekar istana itu.

Diriku pacal yang hina, yang menyimpan seribu istimewa. Disebutkan oleh kanda Jebat bahawa hinaku ini terselindung berani, akal dan budi. Budiku berasaskan tunduk wajah ini pada mereka yang bertentang, akalku berlandaskan hukum dunia dan akhirat lagi pula dekat dengan pentadbiran Melaka, beraniku pula bersandarkan perkahwinan diriku si dayang istana dengan kanda Jebat, pendekar raja. Aku hilang timbang untuk menafi walau tidak tertanggung malu dibariskan kekata madu. Aduhai kanda Jebatku…

Cinta dan kasmaran yang dipersembahkannya tidak dapat aku tolak. Pernah aku cuba menduga lantas disuakan pertanyaan mengapa tidak dia menaruh hati pada perempuan di pergunungan tempat menuntut ilmu persilatan atau gadis kampungan yang lebih murni tingkah geri. Jawabnya mudah tetapi meranum pesona, kerana ‘Wangi kulihat sebagai suri’.  

Maka akulah suri dalam hidupnya. Nyatalah asalku daripada rusuk kanan si penderhaka yang mereka sebut-sebutkan. Tiada lain yang lebih membanggakan selain hal yang kusebutkan itu. Sudah namanya berasal daripada kersani, raksa juga yang mengalir pekat. Sudah dikata berasal daripada duri, tirani juga yang membisa belulang. Maka sudah namanya berasal daripada penderhaka, maka penderhaka juga untung nasibku. Patut jua kutiup semangat kanda Jebat dalam jiwa sendiri biar unggun derhaka yang ditinggalkan terus semarak. Cinta seorang pendekar derhaka seperti kanda Jebat tidak akan aku sia-siakan.

Namun derhakaku punya lainnya. Tidak mampu kuhunus keris laksana kanda Jebat. Dayang berbunga santun. Derhakaku menyimpuh ayu. Lantangku bertatang Melayu. Tidak mahu kuturuti langkah kanda Jebat yang berani azmat. Biarkan aku menderhaka dengan caraku sendiri. Dengan kudrat wanita masih kusimpan kemas, segala tingkahku hakikatnya adalah tanda penderhakaan pada raja Melaka.

Malah cintaku pada kanda Jebat juga menjadi tanda penderhakaanku pada Sultan Mansur Syah. Hak Sultan terhadap diriku telah kucantas demi kasihku pada kanda yang satu. Kalau sudah namanya penderhaka, onar sekecil itu tidak sedikit pun mencalarkan sukmaku. Aku rela bersatu dengan kanda Jebat kerana itulah hakikat, itulah nasib diriku. Wahai kaum Hawa yang kemudian, jadilah dirimu sekuatku yang berdiri pada kesalahan sendiri. Kanda Jebat sebagai pendekar Sultan juga telah menconteng arang ke muka Sultan setiap kali kami bersama. Maka pesanku wahai kaum Hawa yang kemudian, carilah pendekar untuk hidupmu. Jangan kau cari yang mahir silat cuma seperti abang Tuah. Bukan niatku menutur biadab tentang abang Tuah, tetapi kanda Jebat lebih berani mengikut hatinya. Pendekar dan cinta, suatu persandingan yang indah walau canggung di mata. Lebih canggung lagi apabila pendekar yang memperjuangkan keadilan dituduh penderhaka!

Kanda Jebat. Pendekar Melayu sejati. Sanggupku nafikan kehandalan abang Tuah kerana kebestarian kanda Jebat. Kandaku itu tidak berkhidmat di bumi Melaka tanpa mata dan telinga. Mata dan telinganya lebih tajam daripada musang yang bersiang di waktu malam. Malah ketika suaranya bangun untuk menuntut bela kematian abang Tuah, aku telah lama bersiaga di belakang. Sudah aku katakan, kita kaum Hawa adalah tongkat buat suami agar jauh sumbang mereka melangkah. Malah akulah wanita yang menjulang semangat suamiku saat istana Melaka dikuasai. Kata kanda Jebat, tingkahnya ini demi kepentingan raja, rakyat dan negeri Melaka. Aku pantas menurut demi mencium wangi syurga di telapaknya. Malangnya, haruman yang dijanjikan itu dimulai pula dengan bau hanyir pada pentadbiran kerajaan Melaka. Hakikatnya, aku juga sudah menghidu bau yang sama seperti yang difikirkan oleh kanda Jebat. Bau hanyir kezaliman Orang Besar-Besar itu sudah kuhidu awal sebelum Sultan memperisterikan Raden Galuh. Namun aku dayang istana cuma, lagi pula mengipas dan menghidangkan buahan buat raja sahaja tugas di sisi singgahsana. Kanda Jebat mahukan kejayaan Melaka, kejayaan Melayu jua. Istana yang dirampas bukan sekadar menuntut bela kematian abangnya. Bukan bermakna kuasa dan nama mahu dikuasai. Kanda Jebat mahukan kesaksamaan. Adil milik seluruh umat manusia lebih-lebih lagi buat abang Tuah, raja Melaka dan rakyat Melayu. Aduhai, begitu murni pengorbanan kanda Jebat.

Sepekan aku di istana sebagai permaisuri Melaka. Bayangkan aku si dayang istana yang asalnya terceruk di pojok balai, dapat menyimpuh di atas singgahsana. Kanda Jebat yang kumuliakan, yang dituduh sebagai pendosa memberikan segala penghormatan itu kepadaku. Tidak kutemui pendekar seberani itu dalam memberikan sanjungan buat kaum yang dituduh lemah ini. Sungguh aku bertuah, wahai kaum Hawa yang kemudian.

Sepekan juga kami di dalam istana tiada lain melainkan untuk membincangkan maslahat negara jua. Kandaku itu menyatakan bahawa dia mendengar cicip onar yang berlegar di istana. Aku yang menurut juga membulat muafakat kerana sejak kakiku mula memijak lantai istana, hal yang sama sudah aku lihat sendiri. Oleh kerana muasal yang kupegang dan disedari pula oleh kanda Jebat, maka diizinkan diriku berkata-kata pada saat duduknya di singgahsana. Sekali lagi, dialah pendekar hebat di mata seorang Hawa. Malah hebatnya dia telah diberikan para dayang yang lain peluang juga untuk bersuara sama, tanpa mengira kedudukan seorang perempuan di balai istana. Jika sebelum ini sultan Melaka mengarahkan para perwara cuma menghibur dan menari di balairung, pendekar sehebat kanda Jebat pula membiarkan suara Hawa bertala syurah di tengah tempat yang sama. Malangnya para dayang itu tiada lain hanya hamba yang menurut membuta tuli, maka tidak dapatlah dipakai segala fikrah. Lalu kanda Jebat naik berang lantas dibunuh kesemua dayang dan pesuruh yang berdiri di sampingnya. Kanda Jebat tidak berdosa. Lantang dan kerasnya dipengaruh diriku jua sebagai isterinya. Tanya pada dirimu sendiri wahai kaum Hawa yang kemudian, api cemburu jugakah yang menuang dalam sarafmu sekiranya para dayang tidak berguna itu disimpan lama dalam istana? Maka dengan sebab itu suamiku menghabiskan semuanya. Biar tiada lagi wanita sia-sia yang indah pada raut membanjir istana. Biar diriku enak di dalam istana sendiri. Sungguh mulia hati kanda Jebat, suamiku.

Sepekan jugalah aku tidak henti menghidangkannya santapan yang istimewa, sesuai buatnya sebagai Sultan Melaka. Saat kanda Jebat santap, aku duduk di sisinya dan berbincang. Aku sebagai dayang istana tahu benar selok-belok pentadbiran. Maklum juga akalku ini adalah daripada telinga yang dipasang saat perbualan antara para menteri dan Orang Besar-Besar. Mataku pula menyaksikan sendiri tingkah raja yang layu dihembus hasutan para pembantu. Maka apa yang diketahui olehku, langsung kusampaikan pada kanda Jebat. Lantaran itu, kami rangka kesaksamaan di bumi Melaka, bagi menyambung perjuangan abang Tuah yang mengimpikan kemakmuran negara Melayu ini.

Telah kusuarakan hasratku pada kanda Jebat. Sultan Melaka yang layu tiada lain sebabnya kecuali kurang arif pada panduan raja-raja Melayu, juga para menteri yang menurut kata hati yang membuta tuli dalam menasihati raja yang kabur. Mahuku sebagai permaisuri Melaka adalah semua rakyat di bumi Melayu menuntut ilmu yang benar. Tidak mengira lelaki atau perempuan, pangkat atau darjat. Sebagai suri terhadap rakyatku, aku harapkan semuanya berguru. Biar fikrah bersatu antara Orang Besar-Besar dan rakyat jelata. Jika tidak, perhitungan berat sebelah sepertimana yang dirasakan abang Tuah akan berulang. Aku mahu hukum ini terjadi keras. Selain ilmu yang biasa dipelajari rakyat jelata, aku mahu mereka berguru dengan orang luar. Lupakah tentang asal keturunan Melayu yang merentas negara Cina, Keling hatta ke dalam kerajaan laut? Maka rakyat akan kudesak untuk memperpanjangkan jejak ilmu daripada setiap negara, bermula dengan Majapahit yang baik dalam pembuatan keris. Masih tersilau sinar Taming Sari yang digenggam kanda Jebat sewaktu di singgahsana. Pasti rakyat Melaka akan terbilang di seluruh alam sekiranya punya ilmu yang mengharum dalam jiwa.

Kanda Jebat merestui perkiraanku. Seraya itu juga disuruhnya aku mengangkat dakwat dalam mencatat fikrah tersebut. Selain itu, aku juga menyuakan kebencianku pada anasir luar di dalam istana kepada Sultan Jebat. Aku tiupkan semangat buatnya bahawa pentadbiran Melaka juga mampu makmur tanpa ihsan Majapahit. Malah rakyat Melaka lebih bijak daripada orang Majapahit. Lupakah orang Melaka bahawa Tun Bijaya Sura pernah mempermainkan anjing Betara Majapahit, malah dihadapkan kakinya pula pada betara tersebut. Tidakkah diingat kelicikan orang Melayu sebegini? Lalu pertolongan Pateh Karma Wijaya, orang Majapahit dalam pentadbiran istana adalah kelemahan yang sengaja dibungai. Dengan seluruh rakyat Melaka berilmu kelak, pasti negeri ini mampu menjadi kota perdagangan yang makmur, hasil kebijaksanaan orang Melayu jua. Justeru para menteri dan pembantu raja tentulah lebih berilmu dan berakal. Alangkah indahnya Melaka pada waktu itu!

Cita-cita dan impian kanda Jebat dan diriku adalah mahasuci. Melaka yang aman makmur, jauh daripada hasutan para Orang Besar-Besar yang tamak kuasa. Tidakkah dipelajari daripada kerajaan terdahulu bahawa perebutan kuasa adalah punca kepincangan istana? Lupakah pada kisah Singapura yang dilanggar todak dan nasib anak yang bijaksana? Ternyata anasir dalaman maha dahsyat daripada hasutan orang luar. Maka aku putuskan untuk mempersiagakan isi istana daripada perbalahan dalaman. Tetapi isi istana ini juga nanti bakal dihuni Orang Besar-Besar yang baharu, yang datang daripada rakyat jelata bersama ilmu penuh di dada. Maka wajarlah sikap kerasku pada ilmu dalam rakyat disebarkan segera. Semuanya demi kepentingan Melaka. 

Namun hati perempuanku tidak dapat menolak gulana yang menikam sukma. Maka pada suatu ketika telah kukhabarkan pada kanda Jebat bahawa kita ini berdua cuma. Rakyat yang jahil serta alpa langsung tidak menyebelahi kita. Maka dengan apa jua kita dapat bertahan untuk membina semula negeri Melaka ini. Masih kulihat senyumnya yang memula bicara bahawa aku juga yang boleh menyelesaikannya. Sebagai isteri yang tidak lain hanya melayan kehendak suami, aku tambah gundah. Penawar apa yang boleh kuberikan pada rakyat Melaka yang diracuni latah para menteri ini. Semangatmu yang aku pinta, bisik kanda Jebat.

Sehabis semangat aku serahkan buat kanda Jebat untu tujuan murninya sehingga tibalah pagi gerbang istana menyambut abang Tuah. Kedatangannya turut menyambut senyum yang paling penuh daripada kanda Jebat. Walaupun selaksa rakyat Melaka berdiri di belakang panglima Sultan Mansur Syah itu, aku mengerti bahawa kedua-dua beradik itu tidak mampu menyembunyikan girang hati. Setelah membawa abang Tuah ke balai istana, kami bertiga duduk bersama beramah mesra. Aku yang tidak mampu mengangkat muka atas sebab segannya memandang kedua-dua pendekar Melaka yang mulia, hanya mampu mendengar sambil menyelang tawa yang dituturkan antara dua saudara itu. Sayangnya, ria mereka tidak lama. Sebagaimana saksinya aku gurau senda mereka, aku juga menjadi saksi amarah yang terlepas daripada abang Tuah yang terlalu menyendeng pada raja Melaka. Maka di hadapanku inilah tumpahnya darah kanda Jebat yang dikatakan penderhaka.

Hakikat penderhakaan yang dibawa oleh kanda Jebat belum sempat tertelan pun oleh rakyat Melaka. Maka wajarkah disandangkan gelaran penderhaka itu buat kanda Jebat? Sungguh aku terkilan pada niat murni kanda Jebat. Singgahsana itu layak buat pemikir dan pemberani sepertinya.


Tujuh purnama kian berlalu. Sepi bergulat perit lantas membakar seluruh tubuh ini. Rindu dendam yang bertaut juga tidak ikut perginya rembulan saat mentari menjenguk bumi. Berbekal rindu yang tidak terperi azmatnya pada kanda Jebat jugalah kupahatkan limpahannya pada tulisan ini. Agar kau Hawa yang kemudian mengetahui bahawa kekuatan masih kusimpan kemas dalam nubari, bekal meniti hari meneman pewaris pendekar ini. Aku Dang Wangi, biar kau anggap bagai suri.

*Cerpen ini mendapat hadiah Sebutan Terhormat dalam Anugerah Pena Emas 2013. 


No comments:

Post a Comment