Friday, May 11, 2012

LELAKI KOTAK KACA




JAUH di sudut hati, dia mahu bebaskannya.

Sebenarnya sudah beberapa waktu dia di situ. Gadis itu akan pastikan dia menemani lelaki tersebut saban hari. Setiap waktu rehat dan pulang dari bekerja, tempat inilah yang akan dituju. Tabiatnya ini hingga menjadikannya dikenali oleh penjaja dan pekerja pembersih yang berlegar di kawasan tersebut. Teguran mereka akan disambut dengan senyuman yang ikhlas daripadanya.

Ikhlas. Ramai yang bertanya, sejauh mana keihlasan yang ditawarkan? Dia ikhlas mahu berteman dengan lelaki itu? Sejujurnya, mereka tidak pernah bersembang bersama. Bagaimana harus dilakukan sedemikian; kerana kotak kaca itu menghalang segalanya! Iya, dialah lelaki kotak kaca. Itulah gelaran yang pertama sekali didengar lantas dia jatuh hati. Adakalanya dia sendiri sangsi akan keikhlasan yang dimiliki. Dia ikhlas menyintai lelaki itu atau kotak kacanya atau keunikan senario ini?

Ceritanya begini; dia seorang lelaki yang dihukum untuk berdiam di dalam kotak kaca buat selama-selamanya. Sebuah kotak kaca yang besarnya 12 meter persegi diletakkan di tengah-tengah kesibukan kota kosmopolitan. Sebabnya; tinggal tanda tanya. Namun ada juga didengari bahawa ‘hukuman’ yang dijalani adalah kerana lelaki itu suka menyendiri. Lelaki itu menganggap tiada sesiapa yang memahami. Maka kotak kaca jadi pilihan memandangkan orang yang berada di luar mandala istimewa itu dianggap sebagai orang gila, lupa diri.

Oh! Lelaki itu benar-benar menarik! Ibarat sebuah misteri yang memanggil dirinya untuk merungkai segala. Walaupun dipandang sinis oleh semua yang berada di sekeliling, dia tetap tegar menemani. Sebuah bangku yang terletak paling hampir dengan kotak kaca itu menjadi saksi. Bangku itu akan diduduki hingga lewat malam sebelum pulang untuk tidur, semata-mata untuk menemani lelaki kotak kaca itu.

Kerana lelaki itu, dia menjadi seorang yang tidak mengendahkan hal dunia. Jangan katakan menonton wayang, teman-teman juga tidak dihiraukan. Dia hanya senang berada dekat dengan kotak kaca itu. Adakalanya dia membaca novel untuk lelaki berkenaan. Dia akan membaca dengan nyaring dengan harapan suaranya akan sampai ke dalam kotak kaca. Walhal dia tahu bahawa hal ini tidak mungkin terjadi. Kotak kaca itu adalah penjara jernih buat lelaki itu. Mungkin gadis itu sendiri mahu masuk dalam dunia kotak kaca, maka dia memilih untuk menyendiri, sama seperti lelaki itu.

Ah! Dia benar-benar tidak tahu sebab-musabab kesetiaannya kepada penghuni kotak kaca itu. Mungkin juga atas rasa belas kerana tiada sesiapa yang mempedulikan pemuda itu.

Ego. Pernah sekali dia terdengar seorang pemuda berbangsa lain mengatakan hal tersebut di hadapan kotak kaca. Bukan setakat itu, lelaki itu lantas meludah pada kotak kaca itu. Gadis itu benar-benar terkejut. Malah lebih kehairanan apabila lelaki kotak kaca membalas tindakan tersebut dengan jelingan yang paling tajam, penuh dendam. Adakah mereka bermusuhan?

Mengikut derap hati gadis itu, lelaki kotak kaca pasti adalah pemuda yang bermasalah besar. Tiada sesiapa yang mahu mengurung diri di dalam sebuah kotak yang lut sinar sepanjang masa, tanpa sebarang perhubungan dengan dunia luar. Dan mengikut perkataan lelaki bangsa asing itu, pasti lelaki kotak kaca punya musuh, sekurang-kurangnya seorang. Maka itu, dia memilih untuk beruzlah. Dia pasti mahu menjadikan dirinya ‘contoh’ untuk masyarakat di luar mengambil iktibar.

Pada suatu ketika pula, seorang wanita datang pada lewat malam sambil duduk bersila di hadapan kotak kaca. Sejujurnya, dia agak cemburu dengan wanita berkenaan. Namun sekali lagi, siapalah dirinya untuk kecewa. Perkenalannya dengan lelaki itu juga dibenteng dengan kaca persegi empat. Akan tetapi, tidak menjadi kesalahan jika dia mencuri dengar, bukan? Maka pada waktu itu dia cuba untuk mendekat, dengan harapan dia dapat mengenali lelaki kotak kaca melalui wanita tersebut.

Wanita itu pada mulanya hanya merenung lelaki kotak kaca yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Kemudian dalam beberapa saat, wanita itu menangis. Tangisannya penuh hiba. Gadis itu mahu memujuk, tetapi dikawal diri sendiri agar jangan mencampuri emosi wanita tersebut. Setelah tangisannya reda, wanita itu mengeluarkan sehelai kertas daripada kocek seluar lalu membaca isinya selantang mungkin;

LELAKI KOTAK KACA

Sebuah kotak kaca
bina khas buatmu
agar kau berteman angkuh
sementara ia kasih awalmu
biarkan kau jadi pameran
buat kami
yang tegar memeluk bumi.

Seraya tamat sajak ringkas itu, wanita itu menunduk sebelum mengesat airmata yang berbaki. Gadis itu benar-benar terkedu. Adakah wanita berkenaan adalah mangsa kasmaran yang ingkar? Atau mungkin kesumatnya adalah hal yang sama dengan lelaki bangsa asing yang pernah ditemuinya?

Hari ini, gadis itu akan berusaha untuk melepaskan lelaki itu. Jika semua orang tidak mampu mengampuni dosa lelaki itu, biarkan dia sahaja menelan keburukan yang pernah dilakukan lelaki berkenaan. Setiap insan di dunia berhak untuk miliki peluang kedua, bukan?

Maka kali ini dia sudah bersiap-siap untuk memecahkan kotak kaca itu. Sudah dipersiapkan kapak kecik di dalam beg tangan untuk membebaskan lelaki tersebut. Nekad, itu bisik hatinya. Namun nanti siapakah yang lebih marah atas tindakannya? Orang yang di luar kotak kaca atau lelaki itu sendiri? Ah! Lelaki itu bukan berasal daripada golongan Yajuj dan Majuj. Maka hukuman ini dirasakan terlalu kejam buatnya.

Tengah hari ini, lelaki itu kelihatan tenang di dalam kotak kaca. Gadis itu terlihat dia sedang menulis sesuatu, maka gadis itu menghampiri. Lelaki itu tersedar akan dirinya yang diperhati, atau pastinya dia sudah ‘mengenali’ gadis itu, berhenti menulis sebelum memandang ke arah gadis itu. Mereka bertukar pandang lantas tersenyum.
Tiada sesiapa di sekeliling. Hal ini memudahkan kerja gadis tersebut. Dia dan lelaki kotak kaca menghampiri satu sama lain sebaik sahaja kaki gadis itu mendekat dengan kotak kaca. Sayangnya tembok kaca masih menjadi penghalang sentuhan tapak tangan mereka berdua. Lelaki itu tersenyum penuh pengharapan, penuh cinta. Begitu juga gadis itu.

Setelah tersedar, gadis itu lekas-lekas mengeluarkan kapak di dalam beg sandangnya. Lelaki itu kelihatan terkejut dengan gaya gadis itu yang bersungguh-sungguh mahu memecahkan kotak kaca tersebut. Dia menggeleng keras seperti dalam ketakutan yang berat. Entah bagaimana tangan yang memegang kapak ibarat akur pada reaksi lelaki itu lalu terhenti.

Mata gadis itu mula berkaca. Dia tidak pasti mengapa. Bukankah telah dikhabarkan bahawa ikhlasnya juga masih sangsi terasnya? Lalu airmata yang mengalir juga tidak tahu apa puncanya. Yang pasti itu adalah airmata duka, bukan sebaliknya. Namun gadis itu terpaksa mengalah, jika itu yang dimahukan lelaki kotak kaca. Seraya itu, kapak kecil itu pun terlepas daripada tangan.

Dengan penuh kecewa, gadis itu mengundur untuk ke bangku yang sememangnya peneman setia kesetiaannya. Lelaki itu cuba memujuk tetapi apakan daya, kotak kaca itu memang menghancurkan segalanya. Sejenak masing-masing cuba mencari maksud daripada tindakan yang baru sahaja berlalu. Adakah ini yang terbaik?

Gadis itu keliru. Keliru dengan diri sendiri, juga dengan lelaki itu. Jelaslah ‘hukuman’ yang dijalani adalah pilihannya sendiri. Dia mengharapkan jawapan pada kekeliruan itu boleh dijumpai pada mata lelaki itu, lantas dia pun menoleh ke arah kotak kaca. Alangkah terkejutnya apabila didapati lelaki itu sedang terduduk sambil memegang dada dengan keadaan sangat cemas.

Gadis itu masih keliru. Dia mendekat. Selang beberapa langkah barulah difahami bahawa lelaki itu seperti dalam kelemasan. Dia memegang dadanya sambil mencuri-curi nafas. Mukanya kelihatan pucat. Gadis itu panik. Tiada sesiapa di sekeliling. Nasib baik akalnya pantas mencongak jawapan maka segeralah dia mencari kapak kecil yang dilepaskan tadi.

Dia tidak peduli lagi. Kotak kaca itu harus dipecahkan, lelaki itu harus diselamatkan. Namun kaca itu terlalu tebal. Tenaganya masih sekelumit untuk merempuh kotak kaca itu. Kali ini, mereka berdua sama-sama menangis. Lelaki itu meringkuk kelemasan sementara gadis itu berusaha tanpa jemu.

Akhirnya lelaki kotak kaca kelihatan kaku. Mukanya pucat lesi. Dia terdiam dalam keadaan yang penuh belas. Gadis itu juga mengokol dalam limpahan airmata. Lelaki kota kaca akhirnya tewas pada hukumannya sendiri, begitu juga dengan gadis tersebut.

*cerpen disiarkan di Berita Minggu Singapura pada Februari 2012*

GAMI DAN SECAWAN KOPI DINGIN



INGIN sekali kau mencipta sebuah pemadam. Pastinya ia harus luar biasa. Pemadam yang berupaya menghapus segala sisa perasaanmu yang tidak dapat dilepaskan. Bukan sahaja itu. Jika termampu, kau juga mahu ia hapuskan masa lalu agar kau tidak bertemu dengan bahagia.

Ruang kedai kopi moden ini masih lengang kerana petugas pejabat masih menunggu waktu pelepasan. Kerjamu di pejabat pula terpaksa kau tinggalkan segera kerana perasaan yang melapah mengganggu konsentrasimu. Ia yang tidak sanggup kau tanggung lagi kerana keresahan rindu yang mendalam. Ah! Kau yakin kau sedang kecamuk.

Kecamuk ini telah kau sampaikan kepada suamimu beberapa bulan lalu. Dia sekadar menyatakan kau terlalu runsing dengan urusan pejabat. Jauh di lubuk hati, kau menafi. Namun untuk menidakkan kata-katanya, kau takut dituduh tidak dengar kata. Maka kau mengiya walau hatimu sedar ada yang canggung dari bicara kalian berdua.

Maka kau memilih untuk mencari sendiri jawapannya. Kau bertemu dengan ibu dan ayah kalian dan nyatakan hal yang mengganggu jiwamu yang hakikatnya kau sendiri tidak tahu puncanya. Pemergian suamimu yang jauh atas urusan kerja selama beberapa minggu memberimu ruang untuk mencari jawapannya sendiri.

Alangkah bodohnya dirimu kerana membaca tulisan cik Elizabeth Gilbert pada kala itu. Buku Eat, Pray, Love membuka satu dimensi yang tidak pernah kau sangka. Malangnya, pengaruh buku itu melekat juga pada dirimu. Lalu kau rasakan cinta buat suamimu sudah tiada, sama seperti Cik Gilbert yang keliru dengan rumah tangga dan dirinya sendiri. Namun untuk pergi sejauh cik Gilbert, kau belum mampu lagi.

Apatah lagi kau kembali mencari suamimu apabila bersendiri. Malah kepulangannya memberimu suatu kemanisan perasaan, hingga kau jadi lupa pada pencarianmu. Sayangnya segalanya berakhir segera apabila dia membuka mulut pada suatu hari dan bersuara, “bukan dirimu sahaja dalam hatiku.” Pada saat itu, kau bobrok umpama tersekat dalam runtuhan perasaan yang kau sangka konkrit.

Iya, perasaan itulah yang akhirnya membuatmu mencari pemadam luar biasa tadi!

Kau memilih untuk mewaraskan diri sendiri. Kau memilih untuk menjadi adil lantas bersemuka dengan suamimu. Kalian duduk semeja, berdiskusi tentang penyelesaian yang boleh diambil. Rupa-rupanya, kau masih tidak mampu melepaskannya. Begitu juga tentang dirinya. Kau jengkel dengan pengakuan itu tetapi tidak mahu sekali-kali membiarkannya salah.

Akhirnya kau memutuskan bahawa pertemuan senja ini harus berlaku. Kau bakal meminang wanita kedua dalam hidup suamimu. Agak perit untuk ditelan tetapi kau sudah meyakinkan diri sendiri bahawa inilah yang sewajarnya. Sewajarnya? Kau tidak pernah berjumpa dengan perkataan ini sebelum kopi hangat di sisimu itu menjadi teman. Baru kini kau percaya pada perkataan itu.

Entah mengapa kau menggali hal keadilan dalam hidup insan. Sekali lagi, kau baru teringat bahawa insan itu memang bersifat pelupa. Bukankah insan dari perkataan nisyan dalam bahasa Arab yang bererti lupa? Kau terlupa untuk bersoal siasat berkenaan hal keadilan ini saat kau bersemuka dengan suamimu tempoh hari.

Bercakap tentang keadilan, bukankah itu yang disangsikan setiap wanita saat suami mereka bertemu perempuan yang kedua? Jika direnung tentang keadaan suamimu, tidak mungkin dia tidak mampu berlaku adil. Apa yang dikhuatiri setiap isteri seperti jaminan kewangan dan kasih sayang pasti diselesaikannya dengan mudah. Hidup selama 10 tahun bersamanya membuatkanmu kenal dirinya luar dan dalam. Malah sewaktu problema ini mula-mula bersarang, kau dapat merasai keberadaannya. Bukankah itu bererti kau cukup mengenalinya?

Namun jika kau bicarakan tentang keadilan, kau tersedar bahawa suamimu sudah tidak dapat berlaku adil, hatta saat dia melihat wanita kedua itu suatu masa dahulu. Keadilan perasaan sudah dicarik terlebih dahulu sebelum kau persoalkan keadilan lahiriahnya. Sungguh dia tidak berlaku adil kerana membiarkan hatinya diduduki wanita lain sedangkan kau menyediakan seluruh tempat di hatimu buatnya.

Kopi hangat yang kau pesan tadi semakin mendingin saat kau melayan fikiranmu. Kau tetap membiarkan ia tidak disentuh kerana ada sesuatu yang kau yakin belum selesai lagi. Maka kau lanjutkan penggalian mindamu. Apa sebenarnya keadilan yang layak kau kongsi bersama dua insan yang bakal kau temui nanti?

Entah dari mana, timbul suatu kesedaran dalam dirimu. Ibarat suatu kuasa ghaib datang lalu menampar wajahmu. Apakah hak dirimu untuk menghakimi suamimu lantas menuduhnya tidak adil dalam menjaga perasaanmu? Kau memikirkan bahawa suamimu tidak mampu berlaku adil kerana keadilan perasaan yang dimiliki, digugah dengan kehadiran wanita kedua itu.

Lupkah kau pada firman Allah taala? Sedangkan dari surah Al-Nisaa’ sudah diturunkan: “Maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.  

Jelas pada ayat tersebut lelaki digalakkan mengahwini lebih daripada seorang wanita sahaja. Hanya jika mereka khuatir untuk tidak mampu menggalas amanah yang berat itu, maka mereka tidak disuruh melebihi daripada seorang. Malah ayat itu menyatakan bahawa keadaan yang dibolehkan itu bagi mengelak kezaliman. Oh, adakah kau mahu bergelar insan yang zalim kerana menafikan hak seorang lelaki dan perempuan lain? Siapa dirimu untuk menzalimi; sedangkan Rasulullah sendiri seorang kekasih Allah terlalu jauh dari sifat hanyir itu?

Allah swt sudah meyakini bahawa kaum Adam mampu berlaku adil. Lalu di mana pula hak buat kaum Hawa untuk menuduh kaum Adam tidak mampu? Maka kau tersedar bahawa keadilan kini berat sebelah pada kaum Hawa pula! Kau sebenarnya yang tidak berlaku adil. Kau cuba menafikan kemampuan lelaki yang sebenarnya sudah diketahui oleh Yang Maha Kuasa sejak azali lagi.

Sebagai seorang isteri, kau seharusnya tidak melalui fasa bobrok dan jengkel sepertimana saat kau mendengar luahan cintanya pada wanita itu buat pertama kali. Malah Nabi Muhammad saw pernah bersabda, “Tidak boleh bagi seorang manusia bersujud kepada manusia lain. Sekiranya perbuatan sujud manusia kepada manusia lain ini baik, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kerana hak suami ke atasnya terlalu besar,”

Kau telan hadith tersebut dalam-dalam. Betapa tingginya taraf suami berbanding seorang isteri. Sekali lagi kau tersedar. Kau hanya sebahagian tanggungjawab suamimu, bukan hartanya. Dengan itu, masih ada lagi tanggungjawab suamimu yang bertebaran di muka bumi ini tanpa kau sedari. Kau terlalu bongkak jika menganggap dirimu adalah segalanya buat dirinya. Kau hanya seorang insan yang diciptakan di dunia untuk melengkapi kehidupan suamimu, begitu juga sebaliknya. Dia bukan milikmu, begitu juga sebaliknya.

Lalu dirimu ini milik siapa? Aduh… mengapa kau masih perlu mengulang soalan yang sudah kau pelajari sejak pertama kau dicelikkan dengan Islam? Kau milik Yang Esa! Kau terlalu leka dengan cinta yang dicurahkan suamimu lantas terlupa bahawa cintanya adalah untuk meraih cintaNya. Kau yang bersalah dalam hal ini, bukan dia!

Kau terkenang sebuah novel yang pernah kau telusuri. Novel Bulan Berbisik itu membawa suatu pesona kepadamu. Kisah cinta seorang isteri yang beralih pada cinta Rabb dari cinta suaminya seolah-olah mengajarmu agar jangan berduka. Benarlah cinta buat suamimu adalah untuk mencapai cintaNya.


Mungkin inilah kedamaian yang kau dambakan selama ini. CintaNya yang tidak pernah memungkiri seharusnya menjadi tujuanmu. Akhirnya kau menghirup juga kopi sejuk itu dengan rasa tenang. Sememangnya kopi dingin itu melawan tradisi tetapi ia lebih nyaman dari yang hangat. Kau juga harus berani merela, berani melawan tradisi yang dipegang wanita. Percaya padaNya kerana kedamaian yang bakal kau terokai jauh lebih damai dari sifat semu dunia yang melalaikan. Maka timbullah keresahan rindu yang kau cari tadi. Rindu dalam mencari cinta hakiki.

*cerpen disiarkan di Berita Harian Singapura pada April 2012.*