JAUH di sudut
hati, dia mahu bebaskannya.
Sebenarnya sudah beberapa waktu dia di situ. Gadis itu akan pastikan dia
menemani lelaki tersebut saban hari. Setiap waktu rehat dan pulang dari bekerja,
tempat inilah yang akan dituju. Tabiatnya ini hingga menjadikannya dikenali
oleh penjaja dan pekerja pembersih yang berlegar di kawasan tersebut. Teguran
mereka akan disambut dengan senyuman yang ikhlas daripadanya.
Ikhlas. Ramai yang bertanya, sejauh mana keihlasan yang ditawarkan? Dia
ikhlas mahu berteman dengan lelaki itu? Sejujurnya, mereka tidak pernah
bersembang bersama. Bagaimana harus dilakukan sedemikian; kerana kotak kaca itu
menghalang segalanya! Iya, dialah lelaki kotak kaca. Itulah gelaran yang pertama
sekali didengar lantas dia jatuh hati. Adakalanya dia sendiri sangsi akan
keikhlasan yang dimiliki. Dia ikhlas menyintai lelaki itu atau kotak kacanya
atau keunikan senario ini?
Ceritanya begini; dia seorang lelaki yang dihukum untuk berdiam di dalam
kotak kaca buat selama-selamanya. Sebuah kotak kaca yang besarnya 12 meter
persegi diletakkan di tengah-tengah kesibukan kota kosmopolitan. Sebabnya; tinggal tanda
tanya. Namun ada juga didengari bahawa ‘hukuman’ yang dijalani adalah kerana
lelaki itu suka menyendiri. Lelaki itu menganggap tiada sesiapa yang memahami.
Maka kotak kaca jadi pilihan memandangkan orang yang berada di luar mandala
istimewa itu dianggap sebagai orang gila, lupa diri.
Oh! Lelaki itu benar-benar menarik! Ibarat sebuah misteri yang memanggil
dirinya untuk merungkai segala. Walaupun dipandang sinis oleh semua yang berada
di sekeliling, dia tetap tegar menemani. Sebuah bangku yang terletak paling
hampir dengan kotak kaca itu menjadi saksi. Bangku itu akan diduduki hingga
lewat malam sebelum pulang untuk tidur, semata-mata untuk menemani lelaki kotak
kaca itu.
Kerana lelaki itu, dia menjadi seorang yang tidak mengendahkan hal dunia.
Jangan katakan menonton wayang, teman-teman juga tidak dihiraukan. Dia hanya senang
berada dekat dengan kotak kaca itu. Adakalanya dia membaca novel untuk lelaki
berkenaan. Dia akan membaca dengan nyaring dengan harapan suaranya akan sampai
ke dalam kotak kaca. Walhal dia tahu bahawa hal ini tidak mungkin terjadi.
Kotak kaca itu adalah penjara jernih buat lelaki itu. Mungkin gadis itu sendiri
mahu masuk dalam dunia kotak kaca, maka dia memilih untuk menyendiri, sama
seperti lelaki itu.
Ah! Dia benar-benar tidak tahu sebab-musabab kesetiaannya kepada penghuni
kotak kaca itu. Mungkin juga atas rasa belas kerana tiada sesiapa yang
mempedulikan pemuda itu.
Ego. Pernah sekali dia terdengar seorang pemuda berbangsa lain mengatakan
hal tersebut di hadapan kotak kaca. Bukan setakat itu, lelaki itu lantas meludah
pada kotak kaca itu. Gadis itu benar-benar terkejut. Malah lebih kehairanan
apabila lelaki kotak kaca membalas tindakan tersebut dengan jelingan yang
paling tajam, penuh dendam. Adakah mereka bermusuhan?
Mengikut derap hati gadis itu, lelaki kotak kaca pasti adalah pemuda yang
bermasalah besar. Tiada sesiapa yang mahu mengurung diri di dalam sebuah kotak
yang lut sinar sepanjang masa, tanpa sebarang perhubungan dengan dunia luar.
Dan mengikut perkataan lelaki bangsa asing itu, pasti lelaki kotak kaca punya
musuh, sekurang-kurangnya seorang. Maka itu, dia memilih untuk beruzlah. Dia pasti
mahu menjadikan dirinya ‘contoh’ untuk masyarakat di luar mengambil iktibar.
Pada suatu ketika pula, seorang wanita datang pada lewat malam sambil
duduk bersila di hadapan kotak kaca. Sejujurnya, dia agak cemburu dengan wanita
berkenaan. Namun sekali lagi, siapalah dirinya untuk kecewa. Perkenalannya
dengan lelaki itu juga dibenteng dengan kaca persegi empat. Akan tetapi, tidak
menjadi kesalahan jika dia mencuri dengar, bukan? Maka pada waktu itu dia cuba untuk
mendekat, dengan harapan dia dapat mengenali lelaki kotak kaca melalui wanita
tersebut.
Wanita itu pada mulanya hanya merenung lelaki kotak kaca yang sedang
nyenyak dibuai mimpi. Kemudian dalam beberapa saat, wanita itu menangis.
Tangisannya penuh hiba. Gadis itu mahu memujuk, tetapi dikawal diri sendiri
agar jangan mencampuri emosi wanita tersebut. Setelah tangisannya reda, wanita
itu mengeluarkan sehelai kertas daripada kocek seluar lalu membaca isinya
selantang mungkin;
LELAKI KOTAK
KACA
Sebuah kotak
kaca
bina khas buatmu
agar kau berteman angkuh
sementara ia kasih awalmu
biarkan kau jadi pameran
buat kami
yang tegar memeluk bumi.
bina khas buatmu
agar kau berteman angkuh
sementara ia kasih awalmu
biarkan kau jadi pameran
buat kami
yang tegar memeluk bumi.
Seraya tamat sajak ringkas itu, wanita itu menunduk sebelum mengesat
airmata yang berbaki. Gadis itu benar-benar terkedu. Adakah wanita berkenaan
adalah mangsa kasmaran yang ingkar? Atau mungkin kesumatnya adalah hal yang
sama dengan lelaki bangsa asing yang pernah ditemuinya?
Hari ini, gadis itu akan berusaha untuk melepaskan lelaki itu. Jika semua
orang tidak mampu mengampuni dosa lelaki itu, biarkan dia sahaja menelan
keburukan yang pernah dilakukan lelaki berkenaan. Setiap insan di dunia berhak
untuk miliki peluang kedua, bukan?
Maka kali ini dia sudah bersiap-siap untuk memecahkan kotak kaca itu.
Sudah dipersiapkan kapak kecik di dalam beg tangan untuk membebaskan lelaki
tersebut. Nekad, itu bisik hatinya. Namun nanti siapakah yang lebih marah atas
tindakannya? Orang yang di luar kotak kaca atau lelaki itu sendiri? Ah! Lelaki
itu bukan berasal daripada golongan Yajuj dan Majuj. Maka hukuman ini dirasakan
terlalu kejam buatnya.
Tengah hari ini, lelaki itu kelihatan tenang di dalam kotak kaca. Gadis
itu terlihat dia sedang menulis sesuatu, maka gadis itu menghampiri. Lelaki itu
tersedar akan dirinya yang diperhati, atau pastinya dia sudah ‘mengenali’ gadis
itu, berhenti menulis sebelum memandang ke arah gadis itu. Mereka bertukar
pandang lantas tersenyum.
Tiada sesiapa di sekeliling. Hal ini memudahkan kerja gadis tersebut. Dia
dan lelaki kotak kaca menghampiri satu sama lain sebaik sahaja kaki gadis itu
mendekat dengan kotak kaca. Sayangnya tembok kaca masih menjadi penghalang
sentuhan tapak tangan mereka berdua. Lelaki itu tersenyum penuh pengharapan,
penuh cinta. Begitu juga gadis itu.
Setelah tersedar, gadis itu lekas-lekas mengeluarkan kapak di dalam beg
sandangnya. Lelaki itu kelihatan terkejut dengan gaya gadis itu yang bersungguh-sungguh mahu
memecahkan kotak kaca tersebut. Dia menggeleng keras seperti dalam ketakutan
yang berat. Entah bagaimana tangan yang memegang kapak ibarat akur pada reaksi
lelaki itu lalu terhenti.
Mata gadis itu mula berkaca. Dia tidak pasti mengapa. Bukankah telah
dikhabarkan bahawa ikhlasnya juga masih sangsi terasnya? Lalu airmata yang
mengalir juga tidak tahu apa puncanya. Yang pasti itu adalah airmata duka,
bukan sebaliknya. Namun gadis itu terpaksa mengalah, jika itu yang dimahukan
lelaki kotak kaca. Seraya itu, kapak kecil itu pun terlepas daripada tangan.
Dengan penuh kecewa, gadis itu mengundur untuk ke bangku yang sememangnya
peneman setia kesetiaannya. Lelaki itu cuba memujuk tetapi apakan daya,
kotak kaca itu memang menghancurkan segalanya. Sejenak masing-masing cuba mencari
maksud daripada tindakan yang baru sahaja berlalu. Adakah ini yang terbaik?
Gadis itu keliru. Keliru dengan diri sendiri, juga dengan lelaki itu.
Jelaslah ‘hukuman’ yang dijalani adalah pilihannya sendiri. Dia mengharapkan
jawapan pada kekeliruan itu boleh dijumpai pada mata lelaki itu, lantas dia pun
menoleh ke arah kotak kaca. Alangkah terkejutnya apabila didapati lelaki itu
sedang terduduk sambil memegang dada dengan keadaan sangat cemas.
Gadis itu masih keliru. Dia mendekat. Selang beberapa langkah barulah
difahami bahawa lelaki itu seperti dalam kelemasan. Dia memegang dadanya sambil
mencuri-curi nafas. Mukanya kelihatan pucat. Gadis itu panik. Tiada sesiapa di
sekeliling. Nasib baik akalnya pantas mencongak jawapan maka segeralah dia
mencari kapak kecil yang dilepaskan tadi.
Dia tidak peduli lagi. Kotak kaca itu harus dipecahkan, lelaki itu harus
diselamatkan. Namun kaca itu terlalu tebal. Tenaganya masih sekelumit untuk
merempuh kotak kaca itu. Kali ini, mereka berdua sama-sama menangis. Lelaki itu
meringkuk kelemasan sementara gadis itu berusaha tanpa jemu.
Akhirnya lelaki kotak kaca kelihatan kaku. Mukanya pucat lesi. Dia
terdiam dalam keadaan yang penuh belas. Gadis itu juga mengokol dalam limpahan
airmata. Lelaki kota
kaca akhirnya tewas pada hukumannya sendiri, begitu juga dengan gadis tersebut.
No comments:
Post a Comment