INGIN sekali kau
mencipta sebuah pemadam. Pastinya ia harus luar biasa. Pemadam yang berupaya
menghapus segala sisa perasaanmu yang tidak dapat dilepaskan. Bukan sahaja itu.
Jika termampu, kau juga mahu ia hapuskan masa lalu agar kau tidak bertemu
dengan bahagia.
Ruang kedai kopi moden ini masih lengang kerana petugas pejabat masih
menunggu waktu pelepasan. Kerjamu di pejabat pula terpaksa kau tinggalkan
segera kerana perasaan yang melapah mengganggu konsentrasimu. Ia yang tidak
sanggup kau tanggung lagi kerana keresahan rindu yang mendalam. Ah! Kau yakin
kau sedang kecamuk.
Kecamuk ini telah kau sampaikan kepada suamimu beberapa bulan lalu. Dia
sekadar menyatakan kau terlalu runsing dengan urusan pejabat. Jauh di lubuk
hati, kau menafi. Namun untuk menidakkan kata-katanya, kau takut dituduh tidak
dengar kata. Maka kau mengiya walau hatimu sedar ada yang canggung dari bicara
kalian berdua.
Maka kau memilih untuk mencari sendiri jawapannya. Kau bertemu dengan ibu
dan ayah kalian dan nyatakan hal yang mengganggu jiwamu yang hakikatnya kau
sendiri tidak tahu puncanya. Pemergian suamimu yang jauh atas urusan kerja
selama beberapa minggu memberimu ruang untuk mencari jawapannya sendiri.
Alangkah bodohnya dirimu kerana membaca tulisan cik Elizabeth Gilbert
pada kala itu. Buku Eat, Pray, Love membuka
satu dimensi yang tidak pernah kau sangka. Malangnya, pengaruh buku itu melekat
juga pada dirimu. Lalu kau rasakan cinta buat suamimu sudah tiada, sama seperti
Cik Gilbert yang keliru dengan rumah tangga dan dirinya sendiri. Namun untuk
pergi sejauh cik Gilbert, kau belum mampu lagi.
Apatah lagi kau kembali mencari suamimu apabila bersendiri. Malah
kepulangannya memberimu suatu kemanisan perasaan, hingga kau jadi lupa pada
pencarianmu. Sayangnya segalanya berakhir segera apabila dia membuka mulut pada
suatu hari dan bersuara, “bukan dirimu sahaja dalam hatiku.” Pada saat itu, kau
bobrok umpama tersekat dalam runtuhan perasaan yang kau sangka konkrit.
Iya, perasaan itulah yang akhirnya membuatmu mencari pemadam luar biasa
tadi!
Kau memilih untuk mewaraskan diri sendiri. Kau memilih untuk menjadi adil
lantas bersemuka dengan suamimu. Kalian duduk semeja, berdiskusi tentang
penyelesaian yang boleh diambil. Rupa-rupanya, kau masih tidak mampu
melepaskannya. Begitu juga tentang dirinya. Kau jengkel dengan pengakuan itu
tetapi tidak mahu sekali-kali membiarkannya salah.
Akhirnya kau memutuskan bahawa pertemuan senja ini harus berlaku. Kau
bakal meminang wanita kedua dalam hidup suamimu. Agak perit untuk ditelan
tetapi kau sudah meyakinkan diri sendiri bahawa inilah yang sewajarnya. Sewajarnya?
Kau tidak pernah berjumpa dengan perkataan ini sebelum kopi hangat di sisimu
itu menjadi teman. Baru kini kau percaya pada perkataan itu.
Entah mengapa kau menggali hal keadilan dalam hidup insan. Sekali lagi,
kau baru teringat bahawa insan itu memang bersifat pelupa. Bukankah insan dari
perkataan nisyan dalam bahasa Arab yang bererti lupa? Kau terlupa untuk bersoal
siasat berkenaan hal keadilan ini saat kau bersemuka dengan suamimu tempoh
hari.
Bercakap tentang keadilan, bukankah itu yang disangsikan setiap wanita
saat suami mereka bertemu perempuan yang kedua? Jika direnung tentang keadaan
suamimu, tidak mungkin dia tidak mampu berlaku adil. Apa yang dikhuatiri setiap
isteri seperti jaminan kewangan dan kasih sayang pasti diselesaikannya dengan
mudah. Hidup selama 10 tahun bersamanya membuatkanmu kenal dirinya luar dan
dalam. Malah sewaktu problema ini mula-mula bersarang, kau dapat merasai
keberadaannya. Bukankah itu bererti kau cukup mengenalinya?
Namun jika kau bicarakan tentang keadilan, kau tersedar bahawa suamimu
sudah tidak dapat berlaku adil, hatta saat dia melihat wanita kedua itu suatu
masa dahulu. Keadilan perasaan sudah dicarik terlebih dahulu sebelum kau
persoalkan keadilan lahiriahnya. Sungguh dia tidak berlaku adil kerana
membiarkan hatinya diduduki wanita lain sedangkan kau menyediakan seluruh
tempat di hatimu buatnya.
Kopi hangat yang kau pesan tadi semakin mendingin saat kau melayan
fikiranmu. Kau tetap membiarkan ia tidak disentuh kerana ada sesuatu yang kau yakin
belum selesai lagi. Maka kau lanjutkan penggalian mindamu. Apa sebenarnya
keadilan yang layak kau kongsi bersama dua insan yang bakal kau temui nanti?
Entah dari mana, timbul suatu kesedaran dalam dirimu. Ibarat suatu kuasa
ghaib datang lalu menampar wajahmu. Apakah hak dirimu untuk menghakimi suamimu
lantas menuduhnya tidak adil dalam menjaga perasaanmu? Kau memikirkan bahawa suamimu
tidak mampu berlaku adil kerana keadilan perasaan yang dimiliki, digugah dengan
kehadiran wanita kedua itu.
Lupkah kau pada firman Allah taala? Sedangkan dari surah Al-Nisaa’ sudah
diturunkan: “Maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu
berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku
adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,
atau memadailah dengan hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih
dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.
Jelas pada ayat tersebut lelaki digalakkan mengahwini lebih daripada
seorang wanita sahaja. Hanya jika mereka khuatir untuk tidak mampu menggalas
amanah yang berat itu, maka mereka tidak disuruh melebihi daripada seorang.
Malah ayat itu menyatakan bahawa keadaan yang dibolehkan itu bagi mengelak
kezaliman. Oh, adakah kau mahu bergelar insan yang zalim kerana menafikan hak
seorang lelaki dan perempuan lain? Siapa dirimu untuk menzalimi; sedangkan
Rasulullah sendiri seorang kekasih Allah terlalu jauh dari sifat hanyir itu?
Allah swt sudah meyakini bahawa kaum Adam mampu berlaku adil. Lalu di
mana pula hak buat kaum Hawa untuk menuduh kaum Adam tidak mampu? Maka kau
tersedar bahawa keadilan kini berat sebelah pada kaum Hawa pula! Kau sebenarnya
yang tidak berlaku adil. Kau cuba
menafikan kemampuan lelaki yang sebenarnya sudah diketahui oleh Yang Maha Kuasa
sejak azali lagi.
Sebagai seorang isteri, kau seharusnya tidak melalui fasa bobrok dan
jengkel sepertimana saat kau mendengar luahan cintanya pada wanita itu buat
pertama kali. Malah Nabi Muhammad saw pernah bersabda, “Tidak boleh bagi
seorang manusia bersujud kepada manusia lain. Sekiranya perbuatan sujud manusia
kepada manusia lain ini baik, nescaya aku akan perintahkan wanita sujud kerana
hak suami ke atasnya terlalu besar,”
Kau telan hadith tersebut dalam-dalam. Betapa tingginya taraf suami
berbanding seorang isteri. Sekali lagi kau tersedar. Kau hanya sebahagian
tanggungjawab suamimu, bukan hartanya. Dengan itu, masih ada lagi tanggungjawab
suamimu yang bertebaran di muka bumi ini tanpa kau sedari. Kau terlalu bongkak
jika menganggap dirimu adalah segalanya buat dirinya. Kau hanya seorang insan
yang diciptakan di dunia untuk melengkapi kehidupan suamimu, begitu juga
sebaliknya. Dia bukan milikmu, begitu juga sebaliknya.
Lalu dirimu ini milik siapa? Aduh… mengapa kau masih perlu mengulang
soalan yang sudah kau pelajari sejak pertama kau dicelikkan dengan Islam? Kau
milik Yang Esa! Kau terlalu leka dengan cinta yang dicurahkan suamimu lantas
terlupa bahawa cintanya adalah untuk meraih cintaNya. Kau yang bersalah dalam
hal ini, bukan dia!
Kau terkenang sebuah novel yang pernah kau telusuri. Novel Bulan Berbisik itu membawa suatu pesona kepadamu.
Kisah cinta seorang isteri yang beralih pada cinta Rabb dari cinta suaminya
seolah-olah mengajarmu agar jangan berduka. Benarlah cinta buat suamimu adalah
untuk mencapai cintaNya.
Mungkin inilah kedamaian yang kau dambakan selama ini. CintaNya yang
tidak pernah memungkiri seharusnya menjadi tujuanmu. Akhirnya kau menghirup
juga kopi sejuk itu dengan rasa tenang. Sememangnya kopi dingin itu melawan
tradisi tetapi ia lebih nyaman dari yang hangat. Kau juga harus berani merela, berani
melawan tradisi yang dipegang wanita. Percaya padaNya kerana kedamaian yang
bakal kau terokai jauh lebih damai dari sifat semu dunia yang melalaikan. Maka
timbullah keresahan rindu yang kau cari tadi. Rindu dalam mencari cinta hakiki.
No comments:
Post a Comment