Cerpen
Dewan Siswa Januari 2009
Oleh Siti Aisyah binte Mohamed Salim
CHEM perlukan masa untuk bersendirian.
Peristiwa semalam masih mekar di ingatannya. Andy. Chem begitu rindu untuk
menyebut nama itu. Namun api kemarahan terhadap peristiwa semalam meranapkan
kasmaran yang melitupi hati. Andy benar-benar melampau. Semua lelaki sama
sahaja; membikin janji semata-mata untuk memungkirinya.
Kau yakin bahawa
Andy benar-benar telah menduakanmu kerana dia seorang lelaki, atau kerana dia seperti
semua orang yang di sekeliling, yang sudah bosan dengan telatahmu lalu
menyakiti hatimu? Hati kembali berkata-kata. Chem muak untuk melayan suara
tersebut. Oleh kerana kebosanan, Chem melakukan tawaf di sekitar kamarnya.
Andai dia boleh
menyepak mulut yang mengeluarkan suara itu, sudah lama Chem melakukannya. Kau
berani untuk menampar aku? Sergah suara hati. Siapa engkau? Tanpa aku, engkau
kesunyian! Aku yang selama ini menemani ketika engkau muram. Malah mamamu juga
meminggirkan engkau daripada hidupnya.
* * *
“Sudah
Chem. Sudah beberapa kali mama lihat kamu membersihkan bangku ini daripada daun
kering. Bangku ini sudah bersih. Cukuplah, penat mama lihat kamu.” Dengus Mama
menutup bicara. Chem masih tidak peduli dengan kata-kata Mama. Dibiarkan sahaja
Mama membebel sementara dia asyik mengebas daun-daun kering yang boleh
dikatakan sudah tiada di atas bangku.
Chem
terpaksa melakukan hal yang sedemikian. Jika tidak, dia akan merasa tidak
selesa sepanjang punggungnya berada di atas bangku taman perumahan itu. Mama
benar-benar kesal dengan tingkah Chem. Apatah lagi, tegurannya semakin tidak
diambil pusing, bertambah geram menapak di dada.
“Chem! Jangan buat
perkara sebegitu lagi. Bosan mama nasihatkan. Bukan sekali dua mama bilang. Sudah
berkali-kali. Chem buka-tutup pintu tingkap, Chem basuh semula sudu garpu yang
mama sudah cuci, Chem buat perkara-perkara yang mengarut. Jangan sampai ada
yang katakan anak Puan Azira seorang yang sakit mental. Gila!” Keras sekali
teguran Mama kali ini, tidak seperti selalu. Chem begitu terkesan dengan ucapan
Mama sebentar tadi. Kepulangannya ke asrama pada petang itu langsung tidak
membawa apa-apa kenangan indah bersama Mama.
* * *
Hati: Masih
menafikan bahawa engkau berpenyakit mental? Gila?
Chem: Ah, bodoh. Engkau terpengaruh dengan kata-kata mama dahulu. Aku tidak
sakit! Aku masih siuman. Jika tidak masakan aku di menara gading sekarang ini?
Hati: Jika demikian, mengapa engkau masih melakukan hal yang sama? Satu
soalan untukmu; engkau tidak penat dengan telatahmu yang suka mengulangi perbuatan
yang sama?
Chem: Tidak. Aku tidak pernah merasa penat, malah aku begitu berpuas hati
kerana sekurang-kurangnya aku tahu diri ini terlindung daripada bahaya kuman
dan penyakit yang semakin bercambah jumlah pertumbuhannya.
Hati: Cukuplah Chem. Engkau pasti dengan kenyataanmu? Haha... engkau lupa
bahawa manusia tidak pernah dapat menipu perasaannya sendiri? Engkau lupa siapa
gerangan aku sebenarnya?
Chem: Jadi jika sudah engkau tahu, mengapa lagi mahu bertanya?
Hati: Sengaja. Tanpa sebab. Jika sudah engkau merasa penat, mengapa masih
meneruskan pekerjaanmu yang sia-sia?
Chem: Engkau ini pengacau! Terpulang pada aku sama ada mahu meneruskannya
atau tidak.
Hati: Siapa kata aku suka? Lihat sahaja perbuatanmu. Engkau juga kehilangan
Andy akibat tabiat bodohmu.
* * *
Andy berjalan begitu pantas ke kafé.
Tercungap-cungap juga Chem mengejar. Akhirnya dapat juga dia menarik lengan
baju teman lelakinya. Sebaik sahaja ditegur begitu, Andy terpaksa menghentikan
langkah.
“Saya hendak
katakan sesuatu.” Seluruh isi kafé menjadi saksi sidang yang berlangsung antara
pasangan ideal universiti tersebut. Andy masih kelu untuk membalas kata. Walau
dapat mengagak tentang hukuman yang bakal dijatuhkan oleh hakim di hadapannya,
dia masih berlagak santai. Gayanya umpama menyimbah minyak di atas api amarah dalam
diri Chem.
“Awak fikir saya
tidak nampak awak bersama Sta semalam?” Hanya soalan itu sahaja yang mampu
keluar dari geseran bibir Chem. Andy pula masih membisu. Di jemalanya mencongak
kata yang paling sesuai untuk meredakan api kemarahan teman istimewanya.
Andy sedar ahli
kafé itu sedang memerhatikan mereka berdua. Dengan pantas dia menarik Chem ke
sebuah pojok yang agak tersembunyi. Chem yang masih lagi menanti jawapan balas
dari Andy, hanya menurut.
“Kami berdua hanya
keluar bersama untuk menghabiskan tugasan berkumpulan. Kenapa? Saya tidak
nampak mana salahnya.” Mata Andy masih melilau, berjaga-jaga supaya perbalahan
mereka tidak kedengaran oleh pelajar lain. “Tidak perlu salah sangka.”
Chem hanya mampu
menjeling Andy, sudah puas dia mendengar alasan cliché. Tanpa diduga, muncul
Rat, salah seorang teman mereka. Memang tujuan Rat adalah mencari Chem untuk
memberikan alat tulis yang dikirimnya sebentar tadi. Kali ini Andy pula yang
menghadiahkan jelingan kepada Chem. Tidak suka benar dia jika ada orang luar
muncul tika mereka sedang bertengkar. “Maaf Chem, Andy.
Ini dia fail yang engkau kirim dari aku, Chem. Engkau berhutang denganku 80
sen.” Rat masih lagi
tercungap-cungap. Mungkin kerana dia baru sahaja berlari.
Chem pun dengan
pantas mengeluarkan beberapa keping syiling untuk melangsaikan hutangnya. Setelah
meletakkan beberapa keping duit syiling di telapak tangan, dia mengira
berulang-ulang kali untuk memastikan jumlah yang diberikan itu tepat. Andy
hanya merenung tajam pada perlakuan Chem. Mulutnya ditahan untuk mengeluarkan kata
marah.
“Tidak apa Chem.
Aku yakin engkau kira dengan tepat. Jika hendak tunggu engkau mengiranya sampai
100 kali, lambat juga aku sampai ke kelas nanti. Terima kasih ya.” Rat
melemparkan ‘ciuman terbang’ tanpa rasa bersalah kepada kedua orang sahabatnya
dan beredar dari tempat itu.
“Seronok mengulang
perbuatan awak?” Ayat Andy ringkas. Chem semakin meluat bila dia dapat mengagak
bahawa Andy cuba mengubah judul perbualan. “Awak cuba lari dari mauduk
perdebatan kita?” Ayat Chem pula yang ringkas kali ini. Andy membalas dengan
kerlingan.
“Awak tahu, kerana
tingkah awak yang sebegini yang buat saya rimas dengan awak? Awak bukan lagi
Chem yang saya kenal. Chem dahulu adalah seorang yang mendengar kata apabila
saya menegur.” Chem dilupakan sebentar tentang judul perdebatan yang awal,
digantikan dengan tajuk yang baru.
“Awak fikir saya
tidak cuba membuang tabiat ini? Saya sudah cuba beberapa kali. Tetapi dengan
adanya orang di sekeliling yang tidak memberi dorongan seperti awak, saya akan
terus bertambah sakit!” Puas Chem melontarkan kemarahannya pada Andy. “Maka
awak salahkan saya?” Chem menjeling tajam. Bosan juga bertengkar tanpa
penyelesaian.
Pergaduhan semalam
masih lagi hijau di ingatannya. Chem begitu bosan dengan keadaan mereka yang di
sekeliling yang hanya tahu menegur, tetapi tidak membantu. Mama dan Andy sama
sahaja.
“Obsessive
compulsive disorder atau OCD adalah sejenis penyakit mental yang membuatkan
seseorang itu yang tidak dapat berhenti daripada memikirkan sesuatu yang
negatif akan berlaku. Ia membuatkan seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan
berulang kali untuk menyenangkan hati daripada terus runsing tentang sesuatu
perkara. Perbuatan mereka ini dinamakan ritual. Kebiasaannya mereka yang
menghadapi penyakit ini adalah mereka yang ‘cintakan kesempurnaan’. Hey Chem… bukankah
ini semua sinonim dengan situasi diri engkau? Hahaha.”
Chem akui, jika
dirinya mampu lari dari suara hati sendiri, sudah lama dia akan lakukan perkara
sebegitu. Suara hatinya sudah melampau. “Engkau sedar atau tidak, bahawa engkau
telah menyakiti dirimu sendiri? Engkau telah menyakitkan hatiku!” Hendak atau
tidak, Chem terpaksa bersuara demi menghentikan hatinya dari terus berucap.
“Aku tahu Chem.
Namun aku berpuas hati. Aku dapat mengingatkan engkau tentang situasi dirimu
sekarang. Apa yang engkau inginkan sebenarnya? Setelah semua yang engkau kasihi
lari dari dirimu, engkau sudah tidak punya apa-apa. Jadi apa sebenarnya yang engkau mahu?” Chem
mundar-mandir di dalam kamar kecil itu, merangka jawapan yang ringkas dan padat.
“Engkau tahu
Chem,” suara hati kembali menyambung pembicaraan, “Mama sudah memiliki Encik
Al. Bila-bila masa sahaja dia dapat hidup bersama dengan lelaki korporat itu
dan membina kehidupan yang baru. Andy pula sudah memiliki Sta. Engkau juga akan
dibuang dari hidupnya. Akhirnya apa yang engkau ada selain aku?”
Chem sudah mula
risau. Benar kata suara hatinya kali ini. Giliran matanya pula yang mentawafi
bilik tidurnya sementara akalnya dipaksa memikirkan jalan penyelesaian terbaik.
“Engkau ada sebarang buah fikiran, wahai suara hati?”
“Engkau meminta
fikrah dari aku? Engkau meminta aku membantumu? Bukankah aku yang dahulunya
‘penyibuk’ di dalam hidup kau?” Dengus Chem memulakan ayatnya, “Jangan mengada-ngada.
Kali ini aku memerlukanmu. Bantu aku.”
Suara hati
membisu. Chem membisu. Tiba-tiba bilik itu juga bisu. Tiada suatu bunyi pun
yang kedengaran. Chem menunggu suara hati memulakan bicara. “Engkau cederakan
dirimu sendiri.” Cadangan suara hati agak mengejutkan Chem. Sesuatu perkara
yang tidak pernah difikirkan, telah diajukan.
“Untuk apa? Aku
hanya menokok sakit pada diri sendiri.”
“Engkau mungkin
tidak diendahkan kerana engkau masih mampu berfikir. Apa kata engkau berlakon,
berpura-pura hilang kawalan diri hingga sanggup mencederakan diri sendiri?
Pasti mereka akan kembali dan memberikan engkau perhatian sepertimana yang
diharapkan.” Syarahan suara hati begitu menarik minat Chem.
Memang tiada
salahnya tentang apa yang diutarakan. Cuma masalahnya sama ada dia sendiri
berani atau tidak untuk melakukan tindakan sedemikian. Dengan pantas matanya
terpandang pada sebilah pisau pena di atas meja belajar teman sekamarnya.
“Ambil itu. Ambil itu,” pengaruh suara hati.
Pisau pena yang
berwarna merah jambu sudah berada di tangan. Chem memanahnya dengan pandangan
yang tajam. Yakin, dia akan melakukannya. “Apa lagi, kelar-kelar badanmu. Lagi
baik biar sampai berdarah. Biar Andy dan mama cuak.” Suara hati tiba-tiba
dilantik sebagai ‘guru’ oleh Chem pada ketika itu.
“Aku mahu kelar di
bahagian pergelangan tangan,” balas Chem. Berkeyakinan. Kali ini suara hati pula yang kehairanan.
“Bagaimana jika engkau terkerat nadi dirimu sendiri? Atau sebenarnya engkau
mahu membunuh diri?”
“Engkau gila?! Aku
masih tahu hukum membunuh diri itu berdosa besar dan kebodohan yang teramat.
Aku sekadar mahu mencederakan diriku sendiri, sepertimana nasihatmu sebentar
tadi. Jika aku lakukan di bahagian pergelangan tangan, ia menampakkan kesan
yang lebih mendalam.” Suara hati membisu. Oleh kerana tiada respon, Chem nekad
melangsungkan niatnya.
Tangannya
terkelar. Ada cecair merah keluar dari sisi gelang maniknya. Terasa benar
sakitnya, namun Chem membiarkan sahaja. “Benar engkau telah mengelar tanganmu?
Aku tidak rasa pun. Cuba engkau lakukan sekali lagi.” Chem akur. Cecair merah
makin banyak meluncur keluar. Dirinya sudah lemah.
“Sekali lagi Chem!
Engkau lakukannya dengan salah tadi. Buat sekali lagi. Kenapa dengan engkau?! Penakut!”
Tempelak suara hati terus membangkitkan semangat Chem bahawa dia harus melakukan lagi.
“Sekali lagi Chem!
Buat dengan betul-betul!”
Chem kehilangan
kudrat. Pandangannya semakin kelabu. Ingatannya hanya pada Tuhan, mama dan
Andy.
“Sekali lagi Chem!
Sekali lagi!”
“Sekali lagi!”
*cerpen disiarkan di Dewan Siswa Januari 2009.
No comments:
Post a Comment