Monday, October 12, 2015

TENTANG BAWAH KAKI, UNTUK KILAT KAMERA (bahagian 2)

Para pelajar sudah menjadi semakin teruja. Ini benar-benar merupakan sesuatu yang dibuat pertama kali. Mungkin ia pengalaman seumur hidup bagi mereka yang tidak mampu memiliki tablet bimbit peribadi.
Sampai sahaja pada kubur yang pertama, masing-masing mulai rasa takut. Selama ini, mereka hanya membayangkan seksaan yang dihadapi oleh orang Islam yang tidak menjalankan amanah mereka di muka bumi. Kali ini, mereka dapat saksikan sendiri dengan mata kepala. Guru kelas juga sudah mulai gugup. Bagaimana jika paparan skrin menunjukkan sesuatu yang ngeri? Namun tidak mungkin dia mempamerkan segala ketakutannya di hadapan para pelajar. Bukankah dia juga harus memberi maklum balas kepada pengetua sekolah kelak?

Maka dengan segenap kudrat, dia pun mendekatkan tablet bimbitnya sendiri di atas kubur pertama. Sebenarnya, para pelajar dapat lihat getar pada genggaman guru kelas. Sekiranya ditegur, pasti darmawisata mereka hanya berakhir tanpa sebarang pelajaran yang diperoleh, kecuali ciuman mentari.
Apabila guru mendekatkan tablet bimbitnya di atas permukaan kubur, tablet berubah gelap. Guru kelas mulai panik. Tidak mungkin misi mereka gagal. Kegagalan ini akan mencemarkan nama baik Sekolah L. Bercempera soalan dan harapan di dalam kepalanya. Sudah digerak-gerakkan tablet bimbit tersebut. Entah-entah, ia tidak dapat membaca isi kubur pertama. Manalah tahu!

Setelah beberapa saat, keluarlah kenyataan bertulis huruf merah pada tablet tersebut, ‘MUSLIM A: SEORANG LELAKI. LATAR BELAKANG: TIDAK PERNAH MEMBACA KITAB SUCI AGAMA ISLAM SEUMUR HIDUP. SEKSAAN: KUBUR DIGELAPKAN.’

Semua yang berada di situ semakin teruja. Benarlah alat ini berfungsi, dan benarlah juga topik pelajaran agama Islam yang telah diajarkan dalam subjek teologi. Guru kelas mulai besar hati. Setelah memberikan arahan untuk berpecah, dia membiarkan para pelajar bertempiaran secara kumpulan untuk mencari maklumat sebelum mereka akan ditugaskan untuk menyiapkan laporan tentang dapatan mereka.
Dalam keterujaan mereka setelah 15 minit, datang seorang lelaki separuh baya dengan wajah yang masam mencuka. Ah! Pasti sahaja ada halangan ketika membuat kerja yang unik sebegini, bentak hati guru kelas. Namun dia masih cuba untuk tersenyum, mengikut adat seorang bertamadun apabila bertemu orang lain.

“Mengapa Cikgu membiarkan pelajar-pelajar Cikgu membuat kerja sebegini kejam?”

Pantang seorang guru dipersoalkan sedemikian. Ternyata ia mencabar kewarasan seorang guru dalam mendidik anak orang. Namun guru kelas tetap bersabar, mengikut adat orang bertamadun.

“Saya sedang cuba menunjukkan ketepatan agama Islam dengan ayat suci al-Quran. Bukan sahaja itu, saya mungkin sedang mempromosikan keselarasan agama ini dengan suruhanNya. Apakah buruk tindakan saya ini?” giliran guru kelas pula cuba mencabar.
“Memang ia membawa padah. Mempromosikan agama? Tiadakah cara lain yang boleh dilakukan untuk hal tersebut? Ternyata Cikgu tidak menunjukkan sifat kemanusiaan dalam diri. Seharusnya seorang guru sangat peka tentang hal ini.”

Kali ini, guru kelas benar-benar terasa ditampar atas kelancangan lidah lelaki itu. Sebahagian sifat seorang guru adalah berperikemanusiaan. Jikalau itu yang dipersoalkan, runtuhlah imej seorang guru.
“Saya ditugaskan untuk mendidik para pelajar. Mereka berhak untuk tahu apa yang dipelajari oleh mereka secara mendalam. Sekiranya tuan tidak sedar, kita berpijak di tanah yang mempunyai kemajuan teknologi yang pesat. Sebagai guru, saya sedang memanfaatkan segala kemudahan yang dibekalkan oleh sistem pendidikan untuk menjadikan para pelajar saya pandai. Setuju atau tidak, tuan yang tidak berhak untuk menilai sifat kemanusiaan dalam diri saya.”
Lelaki separuh baya itu memandang sekeliling seusai hujah guru kelas. Sebahagian para pelajar yang menyedari ketegangan antara dua insan matang di hadapan mereka, berhenti daripada meneruskan projek mereka.

Lelaki separuh baya itu menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan hujah. “Saya mohon maaf atas kelancangan saya. Namun sebagai seorang guru, tidakkah Cikgu merasakan bahawa Cikgu telah mengganggu kesendirian insan lain yang tidak dikenali. Lebih mengharukan lagi, insan-insan itu sudah tamat sejarah hidupnya. Bukankah malang sekiranya ada di antara para pelajar yang mengenali insan yang di dalam kubur itu secara peribadi? Cikgu telah membuka aib insan tersebut. Bukankah itu melanggar kemanusiaan?”

Jeda sengaja dibiarkan singkat. Lelaki separuh baya itu tidak akan membiarkan guru kelas mencelah dan menjawab sebelum dia habis berhujah.

“Para pelajar itu masih muda untuk didedahkan dengan perkara sebegini. Cukuplah dengan mereka dikenalkan dengan tanggungjawab seorang muslim sebagai hamba Allah di muka bumi. Tindakan Cikgu ini hanya akan menakut-nakutkan mereka sahaja.”

“Sekali lagi saya tekankan,” guru kelas tidak tunggu lama untuk membalas serangan. “Sebagai guru, saya ditugaskan untuk mencurahkan segala ilmu kepada pelajar. Itulah yang sedang saya lakukan. Saya hanya mengguna pakai apa yang disediakan pada zaman moden ini untuk meningkatkan minat dan nilai dalam pembelajaran.”

“Untuk pengetahuan tuan, aplikasi itu tidak mendedahkan identiti orang di dalam kubur. Ia hanya menunjukkan seksaan yang sedang diterima oleh si polan. Sekiranya tuan berasa malu terhadap penggunaan alat ini ke atas kubur-kubur tersebut, tuan tanyakan pada diri sendiri; adakah salah alat itu atau orang Islam yang berada di dalam kubur itu yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka di dunia?”

Lelaki separuh baya hanya tersenyum kelat. Tidak mungkin dia akan menang sekiranya beradu cakap dengan seorang guru yang berkobar-kobar semangat ‘keguruan’nya.

Guru kelas juga semakin meluat dengan tindakan lelaki separuh baya. Oleh kerana malas hendak bersabung kata, dia mengumpulkan semua pelajar-pelajar untuk pulang ke sekolah. Kebetulan matahari sudah mencacak tinggi. Rasa kasihan pula pada penuntut-penuntut ilmu di situ.

Sebelum beredar, sempat guru kelas menutup bicara, “Suka atau tidak, kemajuan teknologi yang sedang digunakan oleh para pelajar ini akan terus berkembang. Orang Islam harus peka tentang hal ini dan bersedia sekiranya ia digunakan atas kuburan mereka secara terbuka pada suatu hari nanti. Pada waktu itu, saya sarankan tanah perkuburan adakan gerbang pengesan untuk memeriksa apa yang dibawa oleh pelawat tanah kubur. Barulah dapat ditangkap segala alat eletronik yang mengaibkan masyarakat.”
Lelaki separuh baya menghantar guru dan para pelajarnya yang menaiki bas dengan senyuman kelat. Apa yang boleh disimpulkan lagi daripada perbincangan singkat tadi?

Di dalam bas, guru terfikir, bagaimana pula dia harus laporkan segalanya kepada pengetua? Adakah kilat kamera menanti kepulangan mereka?

No comments:

Post a Comment