Monday, October 12, 2015

TENTANG BAWAH KAKI, UNTUK KILAT KAMERA (bahagian 1)

HARI itu istimewa, khususnya di mata para pelajar. Bohong jika ada yang menafikan kebanggaan para guru apabila dapat membawakan ilmu dalam bilik darjah ke alam realiti.

Lebih bohong lagi jika ada yang menafikan keterujaan para pelajar apabila tiba hari diadakan aktiviti berdarmawisata. Berlari dan memecahkan kesepian sesuatu kawasan bukankah itu sebahagian aturcara kehidupan orang muda? Nikmat sebegitu sudah lama tercarik dari kehidupan mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kota.

Namun hari itu lebih istimewa.

Darmawisata kali ini bukan sahaja mengghairahkan para pelajar, malah pengetualah orang yang paling tidak sabar. Sudah diniatkan, pengetua akan menampal bukti dan kemegahan di dada laman sosial sekolah. Sudah dikarang dalam minda kekata yang akan bergulat kemegahan. Sudah dibayangkan jalannya pasti mendongak saat para ibu bapa dari sekolah lain berbisik kagum ketika dia berjalan di luar sekolah.

Siapa di kota ini yang tidak tahu tentang Sekolah L? Institut yang mendobrak persepsi masyarakat tentang kemampuan institusi pendidikan khususnya di peringkat sekolah. Kecanggihan peralatan pengajaran di sekolah ini sudah setanding dengan institusi pendidikan di Barat. Malah teknologi yang diguna mungkin yang pertama dalam sejarah kota itu.
Sekali lagi, hari itu pasti istimewa.

Ketika surat pemberitahuan tentang darmawisata kali ini diberikan kepada para pelajar, bercampur aduk emosi dalam satu kelas. Ada yang gembira dan teruja, tidak kurang juga yang terdiam seribu bahasa. Surat itu langsung melayang dari tangan ke tangan, hingga tiba ke tangan guru kelas.

Dia juga tidak kurang lagaknya.

Menjadi guru pertama yang akan membawa pelajar mendobrak adat darmawisata dalam sistem pendidikan, ada bangga bersarang dalam dadanya. Malah guru-guru lain juga teruja dan tidak sedikit yang bermerah mata. Apatah lagi statusnya sebagai guru subjek teologi. Makin kuat dengusan guru subjek akademik di pojok-pojok pejabat guru.

Siapa sangka subjek teologi yang berdiri tidak sama tinggi dengan subjek-subjek lain hingga ia juga boleh melakukan darmawisata khas ini? Siapa sangka ia boleh mencabar subjek-subjek yang lain yang sekadar berdarmawisata ke hutan simpanan atau museum negara?

Pada harinya, seluruh isi sekolah menghantar rombongan pertama dalam sejarah itu ke luar pagarnya. Dalam jangkaan si pengetua, surat pemberitahuan yang telah diberikan kepada pelajar-pelajar itu sejak 4 hari lalu sudah sampai ke tangan media. Sayangnya, tiada sebarang kilat kamera yang menghantar pelajar-pelajar Sekolah L. Pengetua tidak patah semangat. Dia sudah merancang untuk memperbaiki ucapan bangganya yang telah ditulis dalam komputer riba untuk dibacakan sebaik sahaja rombongan pelajar itu pulang petang nanti. Ucapan yang sama akan dikongsikan pada media. Jika tidak hari ini, pasti esok pihak media akan tiba di hadapan pintu Sekolah L.

Guru kelas yang mengajar subjek teologi pula tidak putus-putus menyuruh para pelajar bertafakur. Niatnya sebenar hanya dua, untuk menenangkan pelajar yang ghairah dan menenangkan hatinya yang gemuruh dan teruja. Dia juga sudah melakar ucapan kepada para waris pelajar. Malah alat tablet bimbit yang dikendongnya sentiasa dijalankan ke kiri dan kanan untuk merakam setiap saat yang berlaku di sekeliling para pelajar.

Perjalanan darmawisata mereka tidak lama. Dalam masa 40 minit, mereka sudah boleh turun dari bas yang menikmati teriknya mentari di kawasan lawatan mereka. Sebaik sahaja mereka turun, ada pelajar yang masih bertafakur. Namun ada juga pelajar yang tidak henti-henti berceloteh sambil jari telunjuk mereka bergerak ke sini sana.

“Baiklah para pelajar sekalian,” guru kelas memulakan bicara. Sejak di dalam bas, belum ada interaksi antara para pelajar dan guru kelas. Entah masing-masing menyimpan gemuruh sendiri.

“Kita sudah tiba di tanah perkuburan Al-Syadid. Maaf kerana saya hanya mampu membuat ucapan permulaan di sini, bukan di sekolah. Saya rasakan yang kamu semua hanya mampu fokus sekiranya perbicaraan saya buat di sini.”

Jeda. Guru kelas berjaya memancing perhatian para pelajar sambil dibantu gigitan mentari. Ah! Pancaran mentari pagi masih belum buas lagi.

“Buat pertama kali, darmawisata kita akan berlangsung di sebuah tanah perkuburan. Sepertimana yang kamu semua tahu, sekolah kita sudah menggunakan kemajuan teknologi maklumat dalam pembelajaran. Saya rasa ia menjadi suatu kerugian sekiranya saya dan para guru subjek teologi tidak menggunakannya dalam pembelajaran kamu semua. Malah lebih baik lagi kerana darmawisata ini datang daripada usulan penderma tablet bimbit yang sedang kamu gunakan di sekolah. Justeru itu, kami menyokong usulan tersebut dengan mengadakan darmawisata pada hari ini.”
Pelajar bertukar ghairah. Barulah mereka teringat akan tablet bimbit yang sedang mereka masing-masing kendong di tangan. Jarang benar pihak sekolah membenarkan pelajar membawa tablet bimbit keluar dari bilik darjah. Maka darmawisata kali ini jelas bukan yang sebarangan.

“Kamu harus ikut arahan saya sekarang. Saya mahu kamu hidupkan tablet bimbit masing-masing. Kemudian, pergi pada aplikasi LuaSeb yang telah dimuatnaik dalam tablet bimbit masing-masing.”
Sekarang, pelajar kecoh membuka penutup tablet bimbit masing-masing. Maka ada yang meliuk-liukkan badan kerana cuba mengimbangi diri yang memegang tablet bimbit sambil menggalas beg yang penuh dengan makanan yang menjadi adat pelajar berdarmawisata. Oleh kerana sudah terbiasa, mereka hanya mampu mengikut arahan dalam masa beberapa saat walaupun saling melanggar satu sama lain.
“Sementara kamu pergi pada aplikasi tersebut, ingin saya jelaskan serba sedikit mengenai aplikasi ini. Aplikasi ini merupakan suatu kemajuan IT yang dinamakan sebagai Luasan Sebenar atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai ‘Augmented Reality’. Untuk pengetahuan kamu, aplikasi ini digunakan untuk membaca maklumat mengenai sesuatu perkara dengan mendekatkan tablet ini pada permukaan objek itu. Ia juga boleh menjadi alat sinaran-X bagi sesetengah perkara. Sebagai contoh, mari sini Andy!”
Pelajar yang bernama Andy terpinga-pinga saat namanya dipanggil. Sesungguhnya hatinya sedang merintih kerana terpaksa beradu fokus dengan peluhnya sendiri yang semakin menitik di tubir mata.
“Saya akan dekatkan tablet saya ke muka Andy. Ia akan mengeluarkan segala maklumat mengenai Andy. Kamu semua boleh datang dekat dan lihat dapatan saya.”

Guru kelas pun mendekatkan tabletnya pada wajah Andy. Selang 2 saat, wajah Andy sudah terakam di tablet guru kelas beserta maklumat peribadi pelajar itu bertempiaran di sekeliling gambar wajahnya. Barulah mereka tahu bahasa Andy dilantik sebagai pengawas di sekolah kerana markah peperiksaannya tidak pernah jatuh dan sokongan kuat dari ibu bapanya di rumah setelah skrin tablet memaparkan maklumat-maklumat itu. Semua pelajar menunjukkan kagum. Ada yang terlalu teruja sehingga mencuba pada rakan-rakan yang berdekatan dengan mereka.

Guru kelas hanya tersenyum melihat keterujaan pelajar-pelajarnya. Dia yakin pembelajaran hari itu akan berjaya.

“Pada hari ini, kita akan ke beberapa kubur di tanah perkuburan Al-Syadid ini. Saya mahu kamu dekatkan tablet kamu pada setiap permukaan kubur. Dengan itu, kita akan lihat seksaan kubur yang sebenar dan kamu boleh mengaitkan dengan apa yang kita pelajari di dalam bilik darjah. Sejauh mana seksaan kubuh pagi orang Islam itu benar ataupun tidak.”

No comments:

Post a Comment